Friday, April 8, 2011

PRN SARAWAK KE 10 (3)

Oleh Ibrahim Yahaya

Dua pemimpin tertinggi - satu pusat dan satu negeri - meminta rakyat Sarawak pada 16 April ini memberi mandat kepada BN untuk memerintah semula negeri itu. Alasannya mudah iaitu untuk memastikan Sarawak terus stabil dan menjadi negeri termaju.

Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika melakukan tinjauan mesra di bazaar Kota Sentosa semalam, mahu penduduk di DUN Kota Sentosa yang kebanyakan menjalankan perniagaan memilih BN bagi memastikan mereka terus menikmati keuntungan dengan persekitaran yang stabil dan harmoni. Menurutnya, pelbagai usaha dibuat untuk menjadikan kawasan itu yang hanya mempunyai 40 rumah kedai kepada lebih 500 buah sekarang. Ini tidak boleh dilaksanakan tanpa kerajaan negeri yang baik dan komited untuk membantu rakyat negeri ini tidak kira di bandar atau kawasan pendalaman. Walaupun berucap di Kota Sentosa namun ingatan beliau itu ditujukan kepada semua penduduk Sarawak terutama golongan ahli perniagaan yang telah menikmati keuntungan daripada kesejahteraan di negeri itu hasil urustadbir yang cekap dan mantap. Tanpa kecekapan urustadbir ini, negeri akan bergolak dan lemah apatah lagi berlaku perbalahan di antara pemimpin pelbagai kaum dan etnik.

Bagi Tan Sri Taib Mahmud, beliau yakin kerajaan negeri BN yang akan diberi mandat pada 16 April ini akan komited untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri yang termaju di Malaysia. Menurutnya, tiada pembangunan dapat dilakukan tanpa komitmen dan pengalaman kepemimpinan yang prihatin terhadap keperluan dan aspirasi rakyat. Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri bertujuan untuk memastikan Sarawak melangkah menuju ekonomi berpendapatan tinggi. Hasrat beliau mahu melihat Sarawak terus maju seharusnya disokong oleh penduduk negeri itu yang akan melihat peralihan kepemimpinan daripada TS Taib kepada pemimpin yang lebih muda dan dinamik untuk membawa Sarawak menjadi negeri maju.

Kenyataan kedua-dua pemimpin ini sudah pasti akan menjadi ingatan kepada penduduk Sarawak jika mereka mahu memastikan negeri itu terus maju dengan persekitaran yang stabil dan harmoni. BN yang telah memerintah negeri itu sentiasa komited dan berpandangan jauh untuk membawa pembangunan di seluruh Sarawak.

Pengalaman selama ini sebenarnya membantu mereka untuk menyusun langkah dari tahun ke tahun terutama dalam menyediakan pelbagai kemudahan terutamanya pendidikan, perumahan dan pekerjaan kepada rakyat. Politik pembangunan yang dibawa selama ini membuahkan pelbagai hasil dengan pembinaan infrastrukutur secara berperingkat-peringkat di negeri itu. Kesungguhan ini penting kerana walaupun ada sesetengah tempat lambat mendapat kemudahan itu kerana faktor geografi dan perbelanjaan yang tinggi, kerajaan negeri tetap membuat rancangan jangka panjang agar tiada pihak yang tertinggal. Manifesto yang dilancarkan oleh KM di Sibu semalam menyaksikan bahawa BN mahu terus memberikan pelbagai kemudahan kepada rakyat di samping berjanji untuk menjalankan urustadbir yang bersih dan teratur.

No comments: