Wednesday, February 22, 2012

DEBAT ANWAR & SAIFUL?

Oleh Agendadaily

KUALA LUMPUR: Kalau gian sangat nak berdebat...Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh lupakan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaliknya beliau terbuka jika mahu bersemuka dengan bekas pembantunya sendiri iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, atau Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata sekiranya Anwar mahu berdebat beliau boleh mengaturkannya berbahas dengan Saiful.

Manakala Setiausaha Agung Perkasa Syed Hasan Syed Ali berkata tidak wajar Najib diheret dalam politik murahan Anwar sebaliknya mencadangkan beliau berentap dengan bosnya,Ibrahim Ali.

Tengku Adnan dipetik UMNO-Online menolak cadangan untuk mengadakan perbahasan antara Najib dan Anwarkerana tidak ada apa yang perlu untuk didebatkan.

Katanya, pakatan pembangkang sengaja mewujudkan provokasi berdasarkan kepada perbahasan yang diadakan sebelum ini selain cuba untuk mempolitikkan usaha kerajaan dan kemudian membuat fitnah ke atas para pemimpin Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak nampak sebarang keperluan untuk debat diadakan antara Datuk Seri Najib dan Anwar tetapi sekiranya Anwar mahu berdebat saya boleh mengaturkan untuk beliau berbahas dengan bekas pembantunya sendiri iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail telah meminta Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN untuk merintis jalan bagi mengadakan perbahasan antara Perdana Menteri dengan Anwar.

“Apa yang mahu didebatkan antara Perdana Menteri dengan Anwar kerana pembangkang hanya akan menjadikan ia sebagai medan politik semata-mata dan bukannya membincangkan apa yang patut dibicarakan kerana pakatan pembangkang sendiri tidak mempunyai tujuan atau sebab munasabah sehingga debat perlu diwujudkan

“Kalau mahu berdebat pun, bukan Perdana Menteri lawan Anwar tambahan pula, Datuk Seri Najib sebagai pemimpin negara tidak mempunyai masa untuk melayan tuntutan sedemikian kerana sebagai pemimpin yang bertanggungjawab beliau akan menumpukan sepenuh perhatian kepada kesejahteraan dan keselesaan rakyat dan negara,” tegasnya.

Kata beliau lagi, perbahasan yang berlangsung antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dibuat adalah untuk membincangkan permasalahan dalam masyarakat Cina di negara ini.

“DAP menuduh MCA dengan pelbagai tuduhan termasuklah kononnya MCA ‘dicucuk hidung’ oleh UMNO dan tidak dapat bersuara dalam BN apatah lagi untuk memainkan peranan kepada masyarakat Cina sedangkan realitinya tidak sedemikian dan debat
tersebut telah dapat menerangkan kepada masyarakat Cina sendiri tentang perjuangan MCA.

“Berkaitan masyarakat Melayu pula tidak ada apa yang mahu didebatkan kerana kita mempunyai UMNO yang sentiasa menjaga kepentingan dan hak bangsa Melayu dengan terus memastikan agama Islam ditegakkan. Ini telah dibuktikan sejak daripada
UMNO ditubuhkan, berjuang untuk kemerdekaan dan kemudiannya membawa kemajuan kepada masayarakat keseluruhan.”

Jelas beliau lagi, berdasarkan kepada perbahasan antara MCA dan DAP juga dapat dilihat bagaimana sandiwara pembangkang yang gemar mempolitikkan isu tertentu dan menyimpang daripada landasan perbincangan.

“Seharusnya mereka jadikan ia sebagai platform untuk kepentingan dan kemajuan tetapi sebaliknya berlaku sebagaimana Guan Eng telah bertanya kenapa tidak ada pemimpin UMNO yang dibawa kemuka pengadilan berbanding pemimpin MCA yang
dibicarakan sedangkan hakikatnya ia tidak sebagaimana yang mereka tuduh.”

Sabtu lalu, MCA dan DAP berdebat selama satu jam sempena Persidangan Masyarakat Cina di Persimpangan Politik di Berjaya Times Square yang menyaksikan bagaimana Guan Eng kelihatan hebat ketika memberi ceramah di atas pentas politik tetapi apabila diberi peluang, beliau enggan menjawab beberapa kritikan terhadapnya.

Penampilan dan hujah-hujah Soi Lek jauh lebih menyakinkan yang antara lain menjelaskan MCA bersama BN telah 63 tahun memerintah. Walaupun banyak kebaikan dilakukan, sudah tentu ada kelemahan dan kepincangan tetapi pakatan pembangkang yang baru tiga tahun mentadbir beberapa negeri, telah menyaksikan penyelewengan dan rasuah yang berleluasa.

Syed Hasan dalam satu kenyataan kata Anwar perlu berdebat berhubung sokongannya pada Israel.

Dengan nada menyindir beliau berkata elok berdepan dengan Ibrahim sesuai dengan nama Anwar Ibrahim.

Katanya kena buku dengan ruas...lagi pun mereka sama-sama pernah jadi penghuni kem Kamunting-21/2/2012

(Renungan Rimau : Apa tajuk debat Anwar dengan Saiful? Macamana bunyinya? Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad kata PM tidak payah berdebat dengan DSAI kerana membuang masa saja. Senator Ezam Mohd Nor pula kata DSAI akan gunakan debat untuk menghidupkan nyawa politik ketua pembangkang itu saja. Atau pun elok juga jika DSAI berdebat dengan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali. Amacam? )

No comments: