Saturday, February 25, 2012

PELAJARI DAN FAHAMI SEJARAH

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Banyak aspek sejarah tanah air yang mesti dipelajari dan difahami masyarakat terutamanya golongan muda supaya mereka tidak terpengaruh dengan fakta sejarah yang diputar belit untuk kepentingan sesuatu kelompok, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata pengajaran subjek Sejarah di sekolah amat penting agar fakta dan naratif sejarah yang betul disebar dan diajar tanpa prasangka atau putar belit luaran.

"Mereka (golongan muda) tidak pernah mengalami pahit getir perjuangan, tidak kerap mendengar kisah pengorbanan pimpinan perdana negara seperti Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan dan Mat Salleh.

"Jika mereka tidak mengerti akan sejarah dan budi perjuangan luhur, kesilapan kita ialah lantaran mereka tidak diajar secukupnya sejarah sebenar," katanya semasa berucap merasmikan Kolokium Sejarah Malaysia di Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Kira-kira 500 peserta yang terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi, sekolah menengah, persatuan belia, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan serta swasta menyertai kolokium sehari anjuran Jabatan Warisan Negara.

Rais berkata tindakan sesetengah pihak baru-baru ini yang menyanjung pimpinan komunis Malaya seperti Chin Peng dan Rashid Maidin sebagai wira yang harus diberi penghormatan dan diberi tempat semula di dalam masyarakat semasa, boleh disanggah dengan kajian dan penyelidikan sejarawan tempatan.

Beliau berkata menurut kajian yang dilakukan pensyarah UM, Dr Ho Hui Ling, dalam kertas penyelidikannya bertajuk "Suasana di Tanah Melayu Pada Zaman Darurat 1948-1960 - Satu Tinjauan", ribuan anggota keselamatan dan orang awam dibunuh oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

"Menurut Ho, seramai 1,865 anggota keselamatan dibunuh dan 2,560 lagi dicederakan. Ini tidak termasuk bilangan besar orang awam yang dibunuh oleh mereka di kampung-kampung tradisional.

"Sesungguhnya kekejaman pengganas komunis dan kezaliman gerombolan komunis di zaman darurat memang tiada tolok bandingnya," katanya.

Rais berkata kewajaran agar Chin Peng dan rakan-rakannya diberikan pengampunan tidak timbul kerana pimpinannya telah bergelumang dengan keganasan yang mengakibatkan pembunuhan ribuan manusia dan kemusnahan harta benda berada di tahap "yang tiada mengharapkan kemaafan".

"Persoalannya adalah kenapa masih ada pihak yang merasakan bahawa pimpinan pengganas komunis Malaya itu harus dimaafkan dan diberi tempat semula di dalam masyarakat?.

"Jawapan yang boleh diberi ialah reaksi mereka itu semata-mata berasaskan sentimen dan gelagat supaya mereka tampak bebas bersuara dan bebas mengemukakan hujah tanpa fakta asas yang bersifat sejarah," katanya.

Beliau berkata akibat tidak memahami sejarah juga menyebabkan ada sesetengah pihak menafikan banyak perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Sesungguhnya asas perpaduan di negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah memahami, menghayati dan memanfaatkan sejarah. Rukunegara, Negaraku dan perisytiharan kemerdekaan adalah dokumen sejarah yang harus dijadikan ejen memupuk perpaduan di kalangan rakyat," katanya. - BERNAMA

No comments: