Wednesday, June 27, 2012

APA JADI NASIB 'PAK LAWAK'?

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Nampaknya ketika soldadu maya (solmaya) pembangkang mempromosikan kemunculan US Azhar Idrus dalam Astro Oasis, solmaya yang menyokong kerajaan mempersoalkan bagaimana seorang penceramah yang lantang mengkritik kerajaan diberi ruang oleh stesen satelit itu.

Apa keistimewaan AI (macam AI Anwar Ibrahim pulak) sehingga beliau menjadi bahan perbualan dalam alam maya?

Sudah pasti, bagi mereka yang mengikuti ceramahnya terutama menerusi Youtube yang bersepah-sepah tentunya mengetahui sikap sebenar 'tukang ceramah' itu dalam menjawab pelbagai soalan termasuk mengenai politik dan manusia sejagat.

Jawapannya yang bersahaja sehingga membuat pendengarnya tergelak besar menyebabkan beliau digemari ramai termasuklah menjadi bahan percakapan dua pelawak Zizan dan Johan.

Malah ada yang menganggapnya sebagai 'Pak Lawak' kerana cara penyelesaian masalah yang dikemukakan mudah dan ringkas. Jawapannya banyak menggeletekkan hati terutama soalan pelik yang datang dari pelbagai sudut. Ini termasuk pembelian seluar dalam dan soal nafsu serakah.

Dalam satu jawapannya mengenai UMNO, AI pernah mengatakan ia sebuah parti 'tengkorak kering'.

Baru-baru ini beliau amat marah kerana ceramah yang didakwanya sepatut ada dalam Himpunan Sejuta Belia oleh KBS dibatalkan. Bertambah marahlah apabila sesetengah pihak mengatakan ia digantikan dengan pertunjukan K-POP yang dibidas oleh AI sebagai pertunjukan maksiat untuk generasi muda. Alahai.

Kemelut kemunculannya di stesen satelit itu sudah pasti akan ditangani dengan baik oleh semua pihak ibarat mencabut rambut dalam tepung, yang utamanya rambut berjaya diambil tetapi tepung tidak berselerak.

Bagi Astro, sudah tentulah mereka akan membuat terbaik kerana perjalanannya pasti diawasi bukan saja oleh pihak berkuasa ke atasnya iaitu SKMM tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya.

Mungkin ada pihak yang akan mempersoalkan adakah stesen satelit itu semakin galak menyokong pembangkang terutama selepas ia memberi banyak ruang kepada kisah pembangkang dalam laporan beritanya. Apa pula pandangan anda?

No comments: