Friday, February 28, 2014

BRTV - SALURAN BERITA RAKYAT

DEWASA ini, bukan mudah menarik penonton melekat di depan televisyen.

Pelbagai pilihan kandungan yang disediakan terutama hiburan menolak jauh minat untuk menonton berita. Apatah lagi bahan berita itu hanya menonjolkan kehebatan suatu pihak sahaja atau dipersembahkan dalam keadaan hambar dan membosankan. Lebih banyak tolakan daripada tarikan.

Oleh itu, usaha bersungguh-sungguh perlu dilaksanakan bagi menarik perhatian penonton untuk menyaksikan bahan berita. Keutamaan adalah memastikan bahan berita itu terkini dan menarik.

Bahan itu tidak semestinya membabitkan satu bencana alam saja tetapi jika ada kejadian seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam perigi dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat menyelamatnya, ia juga menarik dipaparkan.
Yang penting, ada laporan terkini memaparkan usaha menyelamat berkenaan.

Untuk itu, usaha pertama yang dilaksanakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV (BRTV), Datuk Ibrahim Yahaya ialah menyedarkan petugas bilik berita kepentingan menyediakan bahan berita terkini apabila beliau menyertai Bernama TV (BRTV) pada Ogos 2013.

“Selepas menyertai BRTV, berita terkini dua minit diperkenalkan setiap jam mulai pukul 9 pagi hingga 6 petang. Kami mulakan dengan pembaca berpengalaman dan seterusnya wartawan. Insentif turut diberikan sebagai galakan," kata beliau dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Pengalaman membaca berita di depan kamera secara langsung membolehkan petugas BRTV menerap keyakinan untuk membuat laporan kejadian daripada lokasi apabila diperlukan.

Keyakinan ini penting untuk membolehkan laporan menarik dan bersahaja dipaparkan. Wartawan dilatih oleh pengacara berpengalaman dan sehingga kini BRTV mempunyai ramai wartawan yang boleh membaca berita terkini dan membuat laporan di lokasi.

Sejak ditubuhkan pada 28 Februari 2008 sebagai saluran berita pertama di negara ini, BRTV telah melalui pelbagai proses perubahan dari segi pemilikan saham dan pengurusan. Bermula sebagai unit khas audio visual Bernama pada September 1998 sempena Sukan Komanwel, ia terus berkembang sehingga diberikan penghormatan untuk menyediakan bahan berita di saluran 502 Astro.

Antara berita dalam bentuk visual pertama unit itu ialah temu bual dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad selama setengah jam. Temuramah itu dibekalkan kepada semua stesen televisyen dan mereka menyiarkannya.

Maka bermula perkhidmatan berita berbentuk teks kepada perkhidmatan berita berbentuk visual dan seterusnya menyediakan program berita untuk pelanggan pertama iaitu Telekom Malaysia. BRTV juga mencatatkan sejarah sebagai agensi pertama di negara ini yang menghantar visual menerusi internet sama ada dalam atau luar negara sebelum diikuti oleh stesen televisyen lain.

Semangat petugas BRTV untuk menyediakan berita dan bahan bual bicara yang baik tidak pernah pudar. Petugas baru BRTV digandingkan dengan kakitangan Bernama yang berpengalaman dalam bidang penulisan dan audio visual. Hasilnya - bahan berita dan bual bicara yang baik. Antara liputan besar adalah Pilihan Raya Umum ke-12 dan kejadian gempa bumi di bandar Aceh selain pelbagai wabak penyakit.

Episod duka juga berlaku dalam saluran berita ini apabila pada 2 September 2011, petugas BRTV, jurugambar Noramfaizul Mohd. Nor, 39, terbunuh apabila terkena tembakan curi di Somalia. Ia mendapat liputan media dalam dan luar negara dan Allahyarham dianggap sebagai wira kerana berani membuat liputan di medan perang. 

Sudah pasti semangat juangnya akan dicontohi oleh petugas muda BRTV dan media tempatan.
Kini BRTV bergerak ke depan dengan persiapan untuk membuat siaran langsung atau lintas langsung menggunakan sistem Internet yang mudah dan cepat. Penggunaan sistem streambox itu membolehkan wartawan lokasi membuat laporan hanya dengan menggunakan telefon genggam.

“Mulai pertengahan Mac, BRTV akan melaporkan peristiwa besar dan bencana alam di lokasi menggunakan Internet. Jika kawasan itu tiada kemudahan Internet, bahan yang dirakam akan disimpan di ‘awan’ sehinggalah ada kemudahan Internet untuk disiarkan di televisyen." kata Ibrahim.

Beliau yang berpengalaman selama 30 tahun dalam media cetak dan elektronik, kini sedang memperkemaskan webtv yang baru diwujudkan. Webtv ini yang boleh dilayari menerusi www.bernamanews.tv menyediakan perkhidmatan siaran langsung Bernama TV, tawaran tontonan video (video on demand), berita dalam bentuk teks dan gambar selain memberi peluang kepada penonton untuk menghantar cadangan dan teguran.

Penubuhan webtv itu adalah sebagai pemangkin kepada usaha mewujudkan satu saluran berita berbahasa Inggeris di mana beritanya dalam Bahasa Inggeris selain program lain termasuk bual-bicara dan dokumentari.

“Penghijrahan program bual bicara Biztalk dan Bernama Today akan berlaku untuk dimuatkan webtv itu. Selain itu, bahan dalam bahasa Inggeris yang diperoleh daripada pelbagai pihak termasuk Finas akan disiarkan tidak lama lagi," katanya.

Menurut Ibrahim, pihaknya juga memperkemaskan unit bual bicara dengan memperkenalkan satu lagi program bual bicara dikenali Ruang Bicara selain mengekalkan Hello Malaysia.
“Kita kini mencari sumber kewangan untuk membina studio khas bagi berita dan bual bicara dalam bahasa Inggeris selain studio khas untk program Hello Malaysia." katanya.

BRTV juga kini dalam proses memperhebatkan laporan sukan dan yang terbaru ialah satu program bual bicara sukan dikendalikan oleh seorang hos yang akan dijadikan salah seorang ikon BRTV.

Sebagai peneraju utama, Ibrahim kini bersama-sama dengan petugas Bahagian Pemasaran bergerak cergas untuk mendapatkan iklan bagi saluran berita 24 jam ini, selain tajaan dalam bentuk barangan elektronik atau kenderaan.

Antaranya membuat persembahan dengan syarikat ternama selain bertemu dengan peneraju utama agensi kerajaan dan kementerian.

“BRTV kini dalam peringkat akhir untuk membuat program bual bicara pagi dari satu studio yang disediakan oleh pelanggan bagi mewujudkan kelainan dalam persembahan. Kita diajar untuk berfikir di luar kotak sepanjang masa," katanya.

Pelbagai perancangan disusun pada tahun ini termasuk pengenalan logo baru dan lagu Bernama TV selain usaha lain untuk menjadikan BRTV sebagai saluran berita terbaik di rantau ini.

No comments: