Saturday, February 25, 2012

MALAYSIA TUAN RUMAH AMRI

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Malaysia akan menjadi tuan rumah Persidangan Menteri-menteri Penerangan Asean (AMRI) ke-11 dari 28 Feb hingga 1 Mac.

Bertemakan 'Media: Mengakrabkan Hubungan, Menjalin Budaya ke Arah Komuniti Satu Asean', persidangan di Hotel Royale Chulan itu akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mac.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata persidangan itu terdiri daripada empat mesyuarat termasuk Pegawai Kanan Bertanggungjawab untuk Maklumat Asean (SOMRI) dan Menteri-menteri Asean yang Bertanggungjawab bagi Mesyuarat Maklumat (AMRI).

Rais berkata Malaysia akan mengemukakan isu media sosial yang semakin berkembang ketika ini untuk dibahaskan pada persidangan yang diadakan setiap dua tahun sekali itu.

"Oleh itu, para menteri Asean yang bertanggungjawab mengenai informasi atau penerangan perlu membincangkan hal ini dan bagaimana kita wajar bertukar-tukar pendapat dan juga dasar semoga Asean harmonis dalam keadaan kita mengendalikan media sosial yang diperkatakan begitu banyak pada saat ini," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menghadiri 'Asean Musical Extravaganza' iaitu persembahan gala untuk meraikan menteri-menteri Penerangan Asean. Persembahan itu akan diadakan di Istana Budaya pada 1 Mac.
-- BERNAMA

No comments: