Oleh Ibrahim Yahaya
BANGSA Melayu nusantara harus menerima kenyataan bahawa evolusi budaya berupaya memantap dan memartabatkan budaya
mereka di seluruh dunia.
Sehubungan itu,
seni budaya rumpun Melayu di Malaysia,
Indonesia, Brunei , Singapura dan sebahagian Thailand serta Filifina perlu
dibiarkan berkembang dan mendapat pengiktirafan kerajaan.
Pemimpin serta pengamal budaya dari Malaysia dan Indonesia yang
berhimpun di Seminar Budaya di Sawahlunto, Sumatera Barat, pada 5 Julai lalu sependapat
sebagai orang Melayu mereka harus berbangga seni budaya itu berhak diamalkan
dan diiktiraf oleh kerajaan di mana saja mereka berada.
Sehubungan itu, bangsa Melayu yang mempunyai ikatan kuat
menerusi talian agama, budaya dan bahasa perlu bertekad memperkukuhkan semangat
nusantara dan serumpun menerusi program agama, budaya dan bahasa selain saling
kunjung-mengunjungi dari semasa ke
semasa.
Ikatan serumpun ini tidak harus diputuskan oleh golongan
berfikiran sempit yang sentiasa membesarkan isu atau menyebarkan maklumat tidak
tepat seperti isu yang dimainkan oleh pihak tertentu terutama media di
Indonesia mengenai tarian tor-tor dan gendang sembilan, bulan lalu.
Isu itu bermula pada
14 Jun apabila kerajaan Malaysia bersetuju mengiktiraf Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan (gendang
sembilan) sebagai budaya suku kaum Mandailing dan didaftarkan bawah Akta
Warisan Kebangsaan 2005. Ia dipohon oleh Persatuan Halak Mandailing Malaysia
yang mempunyai 500,000 ahli.
Bermula dari situ, ada media di Indonesia memanipulasi
istilah klaim (dakwaan pemilikan) oleh Malaysia yang meniup api kemarahan di
kalangan rakyat yang sanggup mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Malaysia di media
Indonesia dan media sosial. Ada juga berdemonstrasi dan merosakkan harta negara
di republik itu.
Jika dibiarkan ia boleh menimbulkan ketegangan hubungan
kedua-dua negara kerana isu remeh-temeh yang dimanipulasikan.
Menyampaikan ucaptama di seminar anjuran Dunia Melayu Dunia
Islam (DMDI), Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama
Dr Rais Yatim menegaskan budaya dan agama seharusnya menjadi pegangan
merapatkan hubungan serumpun dan nusantara.
Menerusi kedua-dua talian itu, bangsa Melayu yang berada di
nusantara yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Brunei dan menjangkau ke
sebahagian Filifina akan terus bersatu terutama dalam mempertahankan amalan
peradaban murni turun-temurun.
Menerusi kedua-dua talian itu, bangsa Melayu yang berada di
nusantara yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Brunei dan menjangkau ke
sebahagian Filifina akan terus bersatu terutama dalam mempertahankan amalan
peradaban murni turun-temurun.
Menurutnya, nusantara tidak dapat dipisahkan dari Alam
Melayu dan sudah pasti bangsa Melayu berada di pelbagai tempat di rantau ini.
Sejarah menjelaskan bangsa Melayu, seperti juga bangsa lain membawa amalan
hidup dan budaya mereka ke perantauan.
Ini termasuklah orang Minangkabau, Mandailing, Jawa, Bugis
dan Sunda yang merantau ke Malaysia. Orang Mandailing, umpamanya, mengamalkan tarian tor-tor dan gendang sembilan
di Malaysia seperti juga masyarakat Mandailing di Indonesia.
Mereka berhak mengamalkannya mengikut Konvensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjamin
kebebasan mengamalkan sesuatu budaya mengikut asal dan peraturan hidup mereka. Ia
terkandung dalam Fasal 27 Konvensi Antarabangsa Hak Sivil dan Politik PBB.
Fasa 27 menyebut di negara-negara yang memiliki kelompok minoriti
berdasarkan suku bangsa, agama dan bahasa, orang-orang tergolong dalam kelompok
minoriti itu tidak boleh diingkari haknya dalam masyarakat bersama-sama anggota
kelompoknya yang lain untuk menikmati budaya mereka sendiri, untuk menjalankan
dan mengamalkan agamanya sendiri atau menggunakan bahasa mereka sendiri.
Seminar itu dirasmikan wakil Gabenor Sumatera Barat, Muslim Kasim dan dihadiri Speaker Dewan
Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Othman Mohamad yang mewakili Presiden DMDI
Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Dalam pada itu, Dr Rais yang ditemui wartawan Malaysia dan
tempatan selepas menyampaikan ucaptama turut mengulas lanjut tarian Tor Tor dan
gendang sembilan yang dijadikan isu.
Menurutnya, seni
budaya yang diamalkan masyarakat Malaysia dan Indonesia perlu dibiarkan
berkembang mengikut evolusinya sendiri.
Seni budaya yang dikongsi bersama itu tidak harus dibuat apa-apa asalkan
ia tidak membabitkan sebarang kesalahan di sisi undang-undang antarabangsa.
“Tarian tor tor dan gendang sembilan Mandailing harus diwarisi
oleh masyarakat Mandailing. Mereka berhak untuk amalkan dan seharusnya
masyarakat Mandailing di Malaysia juga berhak mengamalkannya.”
Untuk itu, katanya, sistem pengiktirafan menerusi pendaftaran
bukan untuk Malaysia tetapi masyarakat itu sendiri dan ia perlu dimaklumi
seperti orang Minang dengan silat randai, yang menjadi sebahagian daripada jiwa kumpulan masyarakat
itu.
Isu itu tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang mengekang atau
menyempitkan hubungan rakyat kedua-dua negara. “Mereka yang tidak kenal sejarah
barangkali agak berbaur pendapat, oleh itu kita harus hati-hati dalam
menentukan budaya.”
Masyarakat, katanya, perlu mengenal sejarah dan evolusi
budayanya sendiri di samping adanya hak antarabangsa yang tidak seharusnya
dibuat tiruan untuk dijadikan alat berniaga. Mereka seharusnya tidak lekas buat
tuduhan agar rakyat kita perlu kekal dalam pengertian hidup aman damai.
Sementara itu, Muslim ketika ditemui wartawan berkata
sebagai seorang Melayu dan bangsa serumpun dengan rakyat Malaysia, beliau merasa
bangga jika adat-adat Melayu itu dikembangkan ke seluruh dunia.
"Ada 500,000 orang keturunan Mandailing di Malaysia, wajar kalau dibawa
cara hidup dan budayanya dikembangkan di sana untuk kepentingannya sendiri. Justeru
jangan berfikiran sempit. Kita harus berfikiran luas sehingga hal-hal yang
kecil itu tidak menjadi tambatan (kekangan) bagi hubungan persahabatan
Indonesia dan Malaysia.
"Oleh kerana itu kita mendorong ke depan untuk generasi muda (dan kita
juga) perlu lanjutkan dengan pertukaran pelajar antara Indonesia dan Malaysia.
Dengan itu terjalin rasa bersama bangsa serumpun antara dua negara,"
katanya.
Kontroversi lain
antara Malaysia dan Indonesia sebelum ini ialah tarian Pendet dan Barongan
(Reog Ponorogo), tarian endang selain lagu “Rasa Sayang” serta batik.
Bagi Datuk Wira Dr Abdul
Latiff Bakar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), peradaban
Melayu berdasarkan bahasa Melayu, budaya Melayu dan agama Islam perlu terus menjadi
jatidiri peradaban Melayu itu sendiri.
Untuk mewujudkan kesatuan budaya dan dunia Melayu itu adalah
perlu perpaduan dan kesatuan bangsa Melayu itu sendiri sehingga peradaban
Melayu itu setara dengan peradaban dunia.
Untuk memperkuatkan jati diri Melayu, Dr Abdul Latiff
berkata perkembangan peradaban Melayu menjadi tanggungjawab rakyat mempertahankan seni budaya dan bahasa Melayu menjadi
bahasa Ilmu, bahasa komunikasi, bahasa perdagangan bahkan menjadi bahasa
kerajaan.
Rumpun Melayu, katanya, telah mewariskan budaya Melayu dan
nilai perabadan tingi, yang dibawa warga Melayu serumpun dari pelbagai suku. Terpulanglah
kepada generasi akan datang untuk mengamal, mengekal dan terus
mempertahankannya. - BERITA HARIAN (11-7-2012)