Wednesday, July 11, 2012

MELAYU PERLU BERSATU


Oleh Ibrahim Yahaya

BANGSA Melayu nusantara harus menerima kenyataan bahawa evolusi budaya  berupaya memantap dan memartabatkan budaya mereka di seluruh dunia.


Sehubungan itu, seni budaya rumpun Melayu  di Malaysia, Indonesia, Brunei , Singapura dan sebahagian Thailand serta Filifina perlu dibiarkan berkembang dan mendapat pengiktirafan kerajaan.

Pemimpin serta pengamal budaya dari Malaysia dan Indonesia yang berhimpun di Seminar Budaya di Sawahlunto, Sumatera Barat, pada 5 Julai lalu sependapat sebagai orang Melayu mereka harus berbangga seni budaya itu berhak diamalkan dan diiktiraf oleh kerajaan di mana saja mereka berada.

Sehubungan itu, bangsa Melayu yang mempunyai ikatan kuat menerusi talian agama, budaya dan bahasa perlu bertekad memperkukuhkan semangat nusantara dan serumpun menerusi program agama, budaya dan bahasa selain saling kunjung-mengunjungi  dari semasa ke semasa.

Ikatan serumpun ini tidak harus diputuskan oleh golongan berfikiran sempit yang sentiasa membesarkan isu atau menyebarkan maklumat tidak tepat seperti isu yang dimainkan oleh pihak tertentu terutama media di Indonesia mengenai tarian tor-tor dan gendang sembilan, bulan lalu.

Isu itu bermula  pada 14 Jun apabila kerajaan Malaysia bersetuju mengiktiraf  Tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan (gendang sembilan) sebagai budaya suku kaum Mandailing dan didaftarkan bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Ia dipohon oleh Persatuan Halak Mandailing Malaysia yang mempunyai 500,000 ahli.

Bermula dari situ, ada media di Indonesia memanipulasi istilah klaim (dakwaan pemilikan) oleh Malaysia yang meniup api kemarahan di kalangan rakyat yang sanggup mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Malaysia di media Indonesia dan media sosial. Ada juga berdemonstrasi dan merosakkan harta negara di republik itu. 

Jika dibiarkan ia boleh menimbulkan ketegangan hubungan kedua-dua negara kerana isu remeh-temeh yang dimanipulasikan.

Menyampaikan ucaptama di seminar anjuran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim menegaskan budaya dan agama seharusnya menjadi pegangan merapatkan hubungan serumpun dan nusantara.

Menerusi kedua-dua talian itu, bangsa Melayu yang berada di nusantara yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Brunei dan menjangkau ke sebahagian Filifina akan terus bersatu terutama dalam mempertahankan amalan peradaban murni turun-temurun.

Menerusi kedua-dua talian itu, bangsa Melayu yang berada di nusantara yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Brunei dan menjangkau ke sebahagian Filifina akan terus bersatu terutama dalam mempertahankan amalan peradaban murni turun-temurun.

Menurutnya, nusantara tidak dapat dipisahkan dari Alam Melayu dan sudah pasti bangsa Melayu berada di pelbagai tempat di rantau ini. Sejarah menjelaskan bangsa Melayu, seperti juga bangsa lain membawa amalan hidup dan budaya mereka  ke perantauan.


Ini termasuklah orang Minangkabau, Mandailing, Jawa, Bugis dan Sunda yang merantau ke Malaysia. Orang Mandailing, umpamanya,  mengamalkan tarian tor-tor dan gendang sembilan di Malaysia seperti juga masyarakat Mandailing di Indonesia.

Mereka berhak mengamalkannya mengikut Konvensi  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjamin kebebasan mengamalkan sesuatu budaya mengikut asal dan peraturan hidup mereka. Ia terkandung dalam Fasal 27 Konvensi Antarabangsa Hak Sivil dan Politik PBB.

Fasa 27 menyebut di negara-negara yang memiliki kelompok minoriti berdasarkan suku bangsa, agama dan bahasa, orang-orang tergolong dalam kelompok minoriti itu tidak boleh diingkari haknya dalam masyarakat bersama-sama anggota kelompoknya yang lain untuk menikmati budaya mereka sendiri, untuk menjalankan dan mengamalkan agamanya sendiri atau menggunakan bahasa mereka sendiri.

Seminar itu dirasmikan wakil Gabenor Sumatera Barat,  Muslim Kasim dan dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Othman Mohamad yang mewakili Presiden DMDI Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Dalam pada itu, Dr Rais yang ditemui wartawan Malaysia dan tempatan selepas menyampaikan ucaptama turut mengulas lanjut tarian Tor Tor dan gendang sembilan yang dijadikan isu.

Menurutnya, seni  budaya yang diamalkan masyarakat Malaysia dan Indonesia perlu dibiarkan berkembang mengikut evolusinya sendiri.  Seni budaya yang dikongsi bersama itu tidak harus dibuat apa-apa asalkan ia tidak membabitkan sebarang kesalahan di sisi undang-undang antarabangsa.

“Tarian tor tor dan gendang sembilan Mandailing harus diwarisi oleh masyarakat Mandailing. Mereka berhak untuk amalkan dan seharusnya masyarakat Mandailing di Malaysia juga berhak mengamalkannya.”

Untuk itu, katanya,  sistem pengiktirafan menerusi pendaftaran bukan untuk Malaysia tetapi masyarakat itu sendiri dan ia perlu dimaklumi seperti orang Minang dengan silat randai, yang menjadi  sebahagian daripada jiwa kumpulan masyarakat itu.

Isu itu tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang mengekang atau menyempitkan hubungan rakyat kedua-dua negara. “Mereka yang tidak kenal sejarah barangkali agak berbaur pendapat, oleh itu kita harus hati-hati dalam menentukan budaya.”

Masyarakat, katanya, perlu mengenal sejarah dan evolusi budayanya sendiri di samping adanya hak antarabangsa yang tidak seharusnya dibuat tiruan untuk dijadikan alat berniaga. Mereka seharusnya tidak lekas buat tuduhan agar rakyat kita perlu kekal dalam pengertian hidup aman damai.

Sementara itu, Muslim ketika ditemui wartawan berkata sebagai seorang Melayu dan bangsa serumpun dengan rakyat Malaysia, beliau merasa bangga jika adat-adat Melayu itu dikembangkan ke seluruh dunia.

"Ada 500,000 orang keturunan Mandailing di Malaysia, wajar kalau dibawa cara hidup dan budayanya dikembangkan di sana untuk kepentingannya sendiri. Justeru jangan berfikiran sempit. Kita harus berfikiran luas sehingga hal-hal yang kecil itu tidak menjadi tambatan (kekangan) bagi hubungan persahabatan Indonesia dan Malaysia.

"Oleh kerana itu kita mendorong ke depan untuk generasi muda (dan kita juga) perlu lanjutkan dengan pertukaran pelajar antara Indonesia dan Malaysia. Dengan itu terjalin rasa bersama bangsa serumpun antara dua negara," katanya.

Kontroversi  lain antara Malaysia dan Indonesia sebelum ini ialah tarian Pendet dan Barongan (Reog Ponorogo), tarian endang selain lagu “Rasa Sayang” serta batik.

Bagi Datuk Wira Dr Abdul  Latiff Bakar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), peradaban Melayu berdasarkan bahasa Melayu, budaya Melayu dan agama Islam perlu terus menjadi jatidiri peradaban Melayu itu sendiri.

Untuk mewujudkan kesatuan budaya dan dunia Melayu itu adalah perlu perpaduan dan kesatuan bangsa Melayu itu sendiri sehingga peradaban Melayu itu setara dengan peradaban dunia.

Untuk memperkuatkan jati diri Melayu, Dr Abdul Latiff berkata perkembangan peradaban Melayu menjadi tanggungjawab rakyat  mempertahankan seni budaya dan bahasa Melayu menjadi bahasa Ilmu, bahasa komunikasi, bahasa perdagangan bahkan menjadi bahasa kerajaan.

Rumpun Melayu, katanya, telah mewariskan budaya Melayu dan nilai perabadan tingi, yang dibawa warga Melayu serumpun dari pelbagai suku. Terpulanglah kepada generasi akan datang untuk mengamal, mengekal dan terus mempertahankannya. - BERITA HARIAN (11-7-2012)

No comments: