Monday, July 2, 2012

RAIS BANTU JURUFOTO, JURUKAMERA


KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Nasib lebih 500 jurufoto dan jurukamera yang berkhidmat dengan agensi-agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) mendapat pembelaan menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mahu mereka menerima faedah perkhidmatan dan gaji yang lebih baik.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf supaya mengkaji semula beberapa cadangan bagi menambah baik perkhidmatan kumpulan itu.

Antaranya ialah kenaikan pangkat sehingga Gred 54 berbanding Gred 38 sebagai gred maksimum bagi jawatan itu di bawah Sistem Saraan Malaysia pada masa ini, kata Rais dalam perjumpaan khas pertama beliau dengan jurufoto dan jurukamera dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di kementerian itu di sini, pada Isnin.

Turut hadir dalam perjumpaan itu ialah Kamaruddin dan Timbalan Ketua Setiausaha KPKK Datuk Dr Rothiah Omar.

Dr Rais berkata langkah itu akan membuka laluan kerjaya yang lebih luas kepada mereka memandangkan dunia fotografi begitu luas manakala foto dan video adalah pemangkin kepada tamadun moden.

Beliau berkata pada permulaannya KPPK akan membawa perkara itu kepada perhatian pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan sekiranya tidak selesai di peringkat itu, beliau akan membawanya ke Kabinet untuk pertimbangan.

Rais berharap faedah dan syarat perkhidmatan lebih baik dapat meningkatkan produktiviti negara melalui bidang fotografi memandangkan kehidupan masyarakat tidak lengkap tanpa foto dan video yang dilihat dan ditonton menerusi akhbar dan televisyen setiap hari.

Katanya melalui penambahbaikan itu juga seseorang jurufoto mungkin boleh dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat walaupun tidak memiliki kelayakan ijazah kerana pertimbangan dibuat berdasarkan bakat dan kebolehannya merakam gambar dengan baik.

Dr Rais turut menasihati kumpulan itu agar meningkatkan lagi tahap profesionalisme mereka sejajar dengan peningkatan dalam skim perkhidmatan mereka.

Beliau turut mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian supaya mengkaji semula kes-kes jurufoto dan jurukamera yang tidak menerima kenaikan pangkat selama lebih 10 tahun untuk membawa perkara itu ke perhatian pihak JPA.

Pada sidang akhbar selepas itu, Dr Rais berkata beliau berharap dengan langkah itu kumpulan berkenaan tidak akan terasa terasing dan berasa perkhidmatan mereka dihargai.

Sementara itu, Ketua Unit Foto Bernama Mustaza Mohd Yusoff mengucapkan terima kasih kepada menteri dan menyifatkan langkah itu sebagai telah meningkatkan semangat jurufoto dan jurukamera dan berharap ia akan menjanjikan masa depan yang lebih cerah.

Timbalan ketua unit yang sama, Zid Omar juga berterima kasih kepada Dr Rais dan yakin langkah itu akan membuka ruang kepada para jurufoto dan jurukamera untuk meningkatkan tahap profesionalisme mereka.

"Selama ini jurufoto dan jurukamera melakukan pekerjaan yang mencabar dan berbahaya tetapi kurang dihargai. Saya gembira kerana menteri nampak tugas kami dan menghargai kami dan melihat kerjaya ini sebagai mempunyai masa depan," kata beliau.

Seorang lagi jurufoto Bernama, yang juga timbalan ketua di unit yang sama, Kasim Saad menaruh harapan tinggi agar langkah baik yang diusahakan Dr Rais itu akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.
- BERNAMA

No comments: