Thursday, November 1, 2007

BANTULAH ADIK KITA SEPANJANG MASA

Rakan, Datuk Dr Malik Munip, memberitahu saya bagaimana masyarakat Orang Asli menyokong penuh penubuhan UMNO dan menyifatkan pemimpin-pemimpin parti itu sebagai "abang" yang akan dapat membantu mereka sepanjang masa. Masyarakat Orang Asli mahu pemimpin Melayu terus membantu mereka terutama dalam meningkatkan sosioekonomi dan tahap kehidupan yang lebih sempurna. Ini adalah permintaan yang ikhlas.

Sehubungan itu, usaha berterusan kerajaan dalam membantu masyarakat Orang Asli perlu diperhebatkan lagi untuk memastikan UMNO yang menjadi tonggak kerajaan sekarang dapat menunaikan permintaan masyarakat Orang Asli dalam membantu mereka sepanjang masa. Nasib Orang Asli yang juga "adik" kepada bangsa Melayu perlu terus diberikan pembelaan agar "berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah" dengan kaum-kaum lain di negara ini. Rakyat negara ini boleh belajar daripada Orang Asli mengenai ilmu perhutanan, rahsia tumbuhan herba dan perimbangan alam sekitar.


Malaysiakini melaporkan sekumpulan peguam menerima pelajaran terbaik daripada seorang Semai mengenai kehidupan harian mereka ketika ini. Tijah Yok Chopil dari Bidor Perak memberitahu peserta Persidangan Undang-undang Malaysia bahawa kehidupan masyarakat Orang Asli sentiasa tenang di kampung mereka dan tidak melakukan perbuatan seperti jenayah, mencuri atau merogol. Ini kerana Orang Asli sentiasa berbangga dan mengamalkan budaya, adat istiadat dan kepercayaan mereka dengan baik dan teratur.

Mereka tidak bimbang dengan kedudukan ekonomi negara kerana selama ini menjalani kehidupan semula jadi yang tidak terlalu bergantung kepada kewangan. Penulis beberapa buku mengenai Orang Asli ini menjelaskan alam sekitar dan keadaan semula jadi sentiasa selamat di kawasan masyarakat Orang Asli. Adat mereka mengajar untuk membuat perimbangan kepada keadaan alam sekitar dan yakin tidak mahu menjalani kehidupan sebagai warga kota yang sibuk dan mencabar.

(Renungan Rimau : Sejak dari dulu lagi, masyarakat Orang Asli adalah golongan yang lurus dan jujur. Oleh itu, adalah satu "dosa besar" menipu mereka terutama membuat pelbagai janji tetapi tidak ditunaikan. Adalah satu kezaliman jika mengambil tanah mereka tanpa memberikan pampasan sewajarnya. Ikutilah contoh yang dilakukan oleh Tan Sri Mustapa Kamal daripada MK LAND. Orang Asli di Sungai Penchala ada banglo dan rumah teres).

No comments: