Sunday, November 11, 2007

GUNA OTAK KETIKA BERTUGAS

Wartawan yang membuat liputan demonstrasi jalanan perlu sedar bahawa mereka akan menghadapi risiko tinggi jika berlaku kejadian pergaduhan atau kumpulan yang berdemonstrasi "naik angin" atau menjadi "gila babi". Ini yang berlaku pada krew TV3 pada 1988, apabila kereta yang dinaiki ditendang dan cermin kereta dipecahkan oleh pendemonstrasi jalanan. Ini menyebabkan ada diantaranya mengalami kecederaan.

Selain menghadapi "serangan" daripada pendemonstrasi jalanan, mereka juga tidak terkecuali daripada menerima "kesan" tindakan polis dalam menyuraikan demonstrasi jalanan itu. Ini termasuk pancutan air atau gas pemedih mata. Ini kerana pancutan air dan gas pemedih mata tidak memilih orang. Dalam ertikata yang lain, jika wartawan berada di tempat kejadian, sudah pasti mereka akan menerima kesan itu.

Wartawan juga perlu memakai akreditasi media atau berjaket yang memudahkan mereka dikenalpasti oleh polis yang menjalankan tugas. Jika mereka tidak memakai akreditasi atau jaket pengenalan seperti wartawan TV3 atau RTM, sudah pasti mereka akan menerima kesan tindakan polis. Ini kerana dalam keadaan yang "kelam-kabut" sudah pasti pihak polis menjalankan tugas terbaik untuk mengawal keadaan. Dalam kebisingan demonstrasi jalanan berkenaan, sudah tentu polis tidak mendengar apa yang ingin disampaikan oleh wartawan. Boleh digambarkan jika berlaku kekecohan atau pendemonstrasi melemparkan batu kepada polis, sudah pasti pasukan keselamatan akan bertindak pantas mengejar "mereka yang membuat kacau". Tidak hairanlah wartawanpun boleh menjadi "mangsa" daripada kekalutan itu. Oleh itu, wartawan perlu mencari tempat yang sesuai dan strategik untuk mengelakkan diri mereka menjadi mangsa.


Malaysiakini melaporkan beberapa wartawan yang membuat liputan perhimpunan Bersih semalam ditendang dan dipukul oleh anggota polis anti-rusuhan yang bertindak meleraikan perhimpunan di kawasan Masjid Negara.

Kekecohan berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika polis menembak meriam air dan gas pemedih mata ke atas lebih 2,000 orang. Dalam keadaan kelamkabut tersebut, beberapa orang wartawan tempatan dan wartawan asing, turut menjadi mangsa.

Seorang wartawan wanita, yang enggan namanya disebut, berkata dia dipukul dengan cota oleh seorang anggota polis yang cuba meleraikan orang ramai di situ. “Dia pukul...punggung saya dan dia kata kepada saya' Pergi, pergi, pergi, seolah-seolah saya ini kaldai," katanya.

Seorang lagi wartawan, yang juga tidak mahu namanya disebut, berkata dia ditendang dua kali oleh anggota polis -- di belakang dan bahagian pahanya. Beliau kesal terhadap pihak berkuasa yang menggunakan "kekerasan yang tidak sepatutnya berlaku'" terhadap wartawan. "Saya terkejut dengan tindakan ganas pihak polis itu," tambahnya.

Mereka berdua adalah antara lima wartawan yang sedang berdiri di belakang barisan anggota polis sebelum mereka tiba-tiba dipukul oleh kira-kira 10 anggota polis.
Seorang daripada mereka, wartawan wanita dari sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan, cedera akibat dipukul. Seorang anggota polis menendang lehernya ketika dia terbaring dan enggan berhenti walaupun dirayu oleh wartawan-wartawan lain.

(Renungan Rimau : Wartawan perlu berhati-hati sepanjang masa. Carilah kawasan yang strategik untuk membuat laporan. Jika perlu berada betul-betul di tempat kejadian, fikirkanlah plan B jika berlaku keributan. Oleh kerana sesuatu perkara itu berlaku pantas, tidak mustahil kita akan menjadi mangsa. Wartawan mungkin menjadi mangsa "batu" yang dibaling oleh perusuh kerana batu tidak ada mata atau perasaan. Tiba-tiba ia singgah di kepala dan darah mula mengalir.)

No comments: