Sunday, November 18, 2007

HENDAK JADI PM BERTANDING PILIHAN RAYA

Ramai orang yang bercita-cita hendak menjadi Perdana Menteri Malaysia. Setakat ini, hanya lima orang saja yang berjaya menjadi PM. Yang paling hampir untuk menjadi PM iaitu sebagai Timbalan Perdana Menteri juga tidak merasa kerana pelbagai sebab antaranya meletakkan jawatan, diminta meletakkan jawatan, meninggal dunia dan membawa diri. Itulah kisah hidup pemimpin di negara ini.

Dalam mood pilihan raya sekarang, orang yang menjadi tumpuan ialah Perdana Menteri. Ini kerana beliau saja yang akan menentukan "bila" pilihan raya akan datang. Ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu, Paklah berkata beliau belum mendapat ilham lagi dan ini bermakna tarikh pilihan raya belum ada di kepalanya. Oleh itu, rakyat negara ini perlu menunggu lagi sehingga Paklah mendapat ilham.

Ketika menunggu itulah muncul pula "Perdana Menteri" lain yang mengumumkan bahawa beliau tahu "tarikh pilihan raya" itu tetapi tidak mahu memberitahu kepada media. PM baru ini ialah Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. Apa ni? Kalau dah tahu tarikh pilihan raya, beritahu sajalah kepada media. Kalau tidak tahu, buat cara tidak tahu dan janganlah kenyataan kita memburukkan imej orang lain. Apa tidaknya. Jika Pengerusi SPR mengetahui tarikh PRU diadakan maka sudah tentu ia mendapatnya daripada PM kerana umum mengetahui PM saja yang akan memberikan tarikh itu.

TS Abdul Rashid ini memang gemar bercakap dan sesetengah orang menyifatkan orang yang suka bercakap boleh mendatangkan kebaikan atau keburukan kepada agensi yang diterajuinya. Jika ia bertujuan untuk memberi penjelasan, maka eloklah seseorang ketua itu bercakap tetapi jika tidak mempunyai tujuan, maka "bahan" yang dihamburkan itu sudah pasti menjadi "kontroversial" dan menimbulkan prasangka. Diam sajalah.

No comments: