Tuesday, November 20, 2007

BULAN BIRU PASTI JATUH KE RIBA

Mengapa PAS hari ini menyokong usaha mewujudkan wilayah pembangunan ekonomi? Jawapannya parti itu sudah tentu mengetahui apa yang tersurat dan tersirat dalam program besar kerajaan yang bertujuan untuk menyemarakkan pembangunan ekonomi di wilayah yang masih mundur dan ketinggalan. Tidak kecuali negeri yang diperintah oleh PAS sekarang iaitu Kelantan.

Parti itu sudah pasti menunggu dengan sabar agar Wilayah Koridor Ekonomi Timur (ECER) menjadi kenyataan dan bukannya seperti menunggu "bulan jatuh ke riba" yang dinyatakan oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat ketika pelancaran ECER yang lalu. Tidak percaya ka? Dua lagi koridor ekonomi ialah Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan Wilayah Koridor Ekonomi Utara (NCER) dan seterusnya di Sabah dan Sarawak.


Malaysiakini melaporkan PAS menyokong dan menyambut baik wilayah pembangunan ekonomi kerana ia boleh memajukan orang Melayu, terutama penduduk luar bandar di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan untuk menjaga kepentingan rakyat supaya mereka mendapat manfaat daripada pembangunan wilayah-wilayah itu. Antaranya, kata beliau ialah supaya tanah milik orang Melayu tidak terlepas kepada orang asing seperti yang berlaku di dalam projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

"Dasar kerajaan ialah lebih mengutamakan pelabur dan pemaju dan bukannya kepada rakyat khususnya orang Melayu," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Ketiga-tiga wilayah pembangunan ekonomi itu dimajukan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Khazanah Nasional memajukan WPI, Petronas (ECER) dan Sime Darby (NCER).

Mahfuz berkata, amat penting untuk kerajaan merangka kawalan tanah supaya tidak terlepas kepada pelabur asing. Sepatutnya kerajaan mengadakan perbincangan dengan semua pihak sebelum memperkenalkan koridor ekonomi.

"Ini bukan bermakna PAS mahu menafikan hak orang lain tetapi kerajaan perlu mengutamakan rakyat tempatan," katanya. PAS tidak mahu apa yang terjadi kepada orang Melayu di WPI turut berlaku di wilayah pembangunan ekonomi lain.

Katanya, menurut laporan United Engineer Malaysia (UEM) antara pemaju di WPI, sebahagian besar tanah di dalam wilayah tersebut telah dibeli oleh pelabur Singapura.

(Renungan Rimau : Eloklah PAS menyokong kerana ia membawa kebaikan kepada bangsa Melayu. Apa yang perlu untuk memastikan pembabitan bangsa Melayu secara langsung dengan projek-projek wilayah pembangunan ekonomi itu. Jangan pula orang lain makan daging, bangsa Melayu terus makan tulang dan lebihan sup. Ini sudah berlaku sejak sekian lama. Berhentikanlah. Sudahlah yang lepas-lepas, yang akan datang pastikan jangan berulang. Kita sudah jauh dibelakang).

No comments: