Monday, October 18, 2010

PERHIMPUNAN AGUNG ABU DI TOKYO

TOKYO, Jepun - Perhimpunan Agung Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU) ke-47 yang akan berlangsung di sini esok akan membincangkan usaha berterusan penyiar serantau memperkukuhkan kedudukan mereka sekarang dan masa hadapan bagi menghadapi kesan kemurungan ekonomi dunia.

Selain itu, program pendigitalan televisyen yang berjalan lancar di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah akan menjadi perhatian utama bagi ahli ABU terutama dalam mempertingkatkan penggunaan televisyen sebagai medium interaktif dengan penonton.

Bertemakan "Pencapaian Pendigitalan : Pendekatan dan Strategi Praktikal", perhimpunan agung ini menarik minat seramai 400 perwakilan dari 200 negara anggota. Mereka akan berkumpul di sebuah hotel terkemuka di sini bagi majlis pembukaan pada sebelah pagi dan perbincangan topik profesional termasuk program pendigitalan televisyen di negara anggota ABU dan perkongsian pengalaman negara maju yang telah melaksanakan sepenuhnya.

Antara yang pembentang kertas kerja pada Sesi Perbincangan Profesional ialah Ketua Pengarah Penyiaran yang juga Naib Presiden ABU, Datuk Ibrahim Yahaya. Topik perbincangan beliau ialah "Menuju Era Digital : Perjalanan RTM".

Dalam sidang media petang ini, Presiden ABU, Yoshinori Imai, yakin semua ahli ABU akan mengambil bahagian yang cergas terutama pada Sesi Perbincangan Profesional selain mencari formula terbaik bagi meningkatkan industri penyiaran di rantau Asia Pasifik.

Sejak Khamis lalu, pelbagai perbincangan diadakan oleh jawatankuasa teknikal, jawatankuasa program dan Kumpulan Kerja Radio negara-negara ahli bagi berkongsi pengalaman dan mencari pendekatan terbaik bagi memperbaiki industri penyiaran di Asia Pasifik.

Semalam, Sesi Topik Utama Teknikal diadakan yang membincangkan Penyiaran Berteknologi Tinggi dan Masa Depan Televisyen membabitkan program definisi tinggi (HD) dan televisyen bersepadu serta program tiga dimensi.

Serentak itu juga diadakan mesyuarat Majlis Pentadbiran yang dipengerusikan oleh Presiden ABU dan dihadiri ahli majlis termasuk Jepun, Malaysia, Thailand, Iran dan Korea Selatan. Perbincangan mesyuarat merangkumi pelbagai topik semasa dan agenda penting menjelang perhimpunan agung esok. Perkara lain ialah keahlian, penganjuran masa depan dan program lima tahun ABU.

ABU ialah kesatuan penyiar di rantau Asia Pasifik yang ditubuhkan bermatlamat untuk mewujudkan satu rangkaian penyiar yang mampu berkongsi pengalaman dan kepakaran selain mengadakan usahasama dalam program televisyen dan teknikal.

Keahlian ABU terbahagi kepada ahli penuh, ahli penuh tambahan, ahli bersekutu, ahli gabungan dan ahli di kalangan institusi di seluruh dunia.

Ketika ini, ada 56 ahli penuh dari 39 negara termasuk Malaysia dan Jepun, 37 ahli penuh tambahan dari 18 negara dan rantau, 40 ahli bersekutu dari 22 negara/rantau, 59 ahli gabungan dari 24 negara dan sembilan institusi dari tujuh negara.

Antara ahli institusi ialah Persatuan Penyiar Antarabangsa United Kingdom (AIB), Telekomuniti Asia Pasifik, Thailand (APT), Radio Digital Mondiale, Switzerland (DRM), Forum DMB Dunia, United Kingdom (World DMB) dan Institut Berita Antarabangsa, Belgium (INSI).

2 comments:

Anak Perelih said...

ABU = Anything But UMNO
ABU = Asalkan Bukan UMNO

ibrahim yahaya said...

Sdr Perelih,

Sebenarnya Asia-Pacific Broadcasting Union. Allah Bless U. U means you and me. U means UMNO.