Friday, October 22, 2010

TDM : PEMBANGKANG PANDAI JANJI

Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan jangan fikir dengan menukar kerajaan segalanya akan berubah kerana pembangkang sebenarnya akan berbuat perkara yang sama dengan apa yang dilakukan kerajaan sekiranya mereka berkuasa.

“ Sudah tentu semasa pilihan raya anda buat banyak janji, terutama sekiranya anda tidak menjangka untuk menang,”kata bekas Perdana Menteri itu. Katanya sesetengah demokrasi tidak dapat dijayakan kerana rakyat tidak dapat menetapkan pendirian mereka.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya di Forum Antarabangsa mengenai "Pembentukan Warga Global: Liberalisasi Media dan Realiti Baru Politik" yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010.

"Kita lihat banyak negara demokratik, di mana pemimpin bertukar setiap dua tahun, tiada kemajuan langsung. Di sesetengah negara, demokrasi sebenarnya menghalang kemajuan dan menjadikan negara tidak stabil," tambahnya.

Demokrasi juga gagal di beberapa negara kerana ia tidak dapat menunaikan apa yang dijanjikan. "Sistem pilihan raya contohnya, jika anda mahukan 100 peratus majoriti sebelum anda bentuk sebuah kerajaan, akhirnya anda tidak akan ada kerajaan," kata Dr Mahathir.

Katanya itu sebabnya negara perlu berpuas hati dengan kerajaan majoriti, di mana walaupun kerajaan majoriti pastinya tidak dapat memuaskan hati minoriti, namun peruntukan khusus buat kaum minoriti tetap disediakan.

Sementara itu ketika bercakap kepada para wartawan selepas itu Dr Mahathir berkata masih banyak yang perlu dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selepas dua tahun menjawat jawatan Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri itu berkata Najib yang mewarisi kerajaan lemah, sedang berusaha membetulkan keadaan, dan sedang berdepan dengan waktu-waktu yang sukar untuk melakukannya.

"Anda dapat lihat, adakalanya dia gagal, adakalanya dia berjaya, adakalanya dia ada idea yang baik, dan adakalanya tidak. Ia memang dijangka," katanya.

Dr. Mahathir berkata beliau juga berharap agar Najib dapat meraih sokongan rakyat kerana jika tidak, alternatifnya mungkin seorang pemimpin yang lebih buruk, dan ia akan tambah memburukkan keadaan.- AGENDADAILY.

(Renungan Rimau : Dengarlah cakap Negarawan ini jika kita mahu memastikan Malaysia terus aman dan makmur. Ada pihak yang mahu matlamat menghalalkan cara sehingga tidak kisah negara ini menjadi apa saja asalkan impian tercapai. Marilah kita tolak 'saudagar mimpi' atau penyebar maklumat palsu bersiri. Ini bukan mengenai siapa jadi kerajaan tetapi siapa yang mampu memusnahkan negara ini yang selama ini telah mencapai kejayaan dan cemerlang.)

1 comment:

Anonymous said...

YBhg. Datuk,

Saya berpendapat rakyat Malaysia kini perlu mengurangkan aktiviti berpolitik, apatah lagi berpolitik dengan cara yang sempit.

Ini kerana, dengan menumpukan masa untuk mengkritik, segala kerja yang hendak dibuat tidak akan terlaksana.

Pada hemat saya, lebih baik semua rakyat Malaysia secara harmoni, memikirkan bagaimana untuk memajukan ekonomi negara yang kita cintai ini.

Sebagai contoh, Ahli Parlimen, daripada sibuk mengkritik dan berceramah mengenai politik, adalah lebih baik jika mereka bersama-sama masyarakat setempat untuk mencari kaedah memajukan ekonomi kawasan mereka. Ini boleh dilakukan dengan mencari sumber-sumber pendapatan baru, atau memajukan sumber pendapatan sedia ada yang telah diabaikan sebelum ini. Secara langsung, ia akan memberi manfaat kepada penduduk setempat, sekaligus menaikkan kadar pendapatan perkapita rakyat di negara ini.

Berhimpun, berceramah, boleh, tetapi ia hendaklah dizahirkan dengan mengajak penonton ke arah yang lebih baik, dengan menjadikan mereka lebih produktif. Sebuah taman perumahan misalnya, boleh mengadakan 'car boot sale' di kawasan mereka, dengan matlamat meningkatkan kemesraan di kejiranan mereka, sekaligus menambah pendapatan. Sekaligus, aktiviti ekonomi akan berlaku di kawasan berkenaan. Bukankah ini lebih baik daripada berceramah mengutuk kerajaan? Ataupun, ceramah boleh dilakukan di kawasan kejiranan, dengan memberi input pengetahuan baru dalam pelbagai bidang, merangkumi kesihatan dan peluang-peluang perniagaan baru. Tidak perlu membuat dosa dengan memfitnah pemimpin itu dan pemimpin ini. Dapat pahala, peluang 'buat duit' pun dapat.

YBhg. Datuk,

Saya berpendapat Malaysia perlu melonjakkan kedudukannya dalam bidang ekonomi, bukan sahaja di rantau ini, malah di seluruh dunia. Media pula, perlu memainkan peranan yang pro aktif dalam hal ini, dengan memperbanyakkan berita aktiviti ekonomi serta kejayaan penggiat-penggiat bidang baru. Ini sudah tentu akan memberikan motivasi kepada khalayak, atau lebih tepat lagi 'To inspire the uninspired'.

YBhg. Datuk,

Saya percaya YAB Perdana Menteri kita berada di landasan yang betul untuk kembali melonjakkan ekonomi negara ini. Justeru, kita perlulah memberikan sokongan kepada usaha beliau untuk mengembalikan prestasi ekonomi negara yang serta menyatupadukan rakyat Malaysia.

Sekian.

KAMARUL BAHRI ABDUL KADIR