Sunday, September 26, 2010

USAHA MEMANTAPKAN RADIO RTM

Menteri KPKK, Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim bersalaman dengan wartawan/penyampai veteran RTM, Sdr Sugu sambil disaksikan oleh rakan-rakan seperjuangan ketika YBM melawat lima konti radio RTM pada Jumaat lalu. Dr Rais bukan saja melawat tetapi juga ditemuramah oleh penyampai di Radio Malaysia Klasik Nasional, RM Minnal FM, RM Ai FM, RM Asyik FM dan RM Traxx FM. YBM mahu semua penyampai menyebarkan maklumat dan memastikan rakyat memahami Gagasan 1Malaysia dan menyuburkan semula semangat cintakan negara terutama yang berpandukan kepada Rukun Negara dan bertunjangkan Perlembagaan.

Monday, September 20, 2010

RUMAH HARAPAN YANG BERI HARAPAN

Penyelia Sekolah Harapan Melaka, Saimah Hiran (tiga dari kiri) bersama kakitangan sekolah bermesra dengan salah seorang daripada lima pelajar pertama yang mendaftar di Jalan Pegawai, Melaka. - Utusan/ABDUL RAZAK LATIF .

DIY berdoa agar usaha yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Melaka untuk mewujudkan Sekolah Harapan bagi gadis hamil mencapai matlamatnya untuk membantu golongan yang amat memerlukan itu. Ini secara langsung mengelakkan kegiatan membuang bayi yang banyak disiarakan dalam akhbar sejak dari dulu lagi.

Sebelum ini, pendekatan 'pak sanggup' memang ada di kampung-kampung di mana ibu bapa yang menghadapi masalah anak gadis hamil mencari mereka yang sanggup menutup 'aib' keluarga itu dengan pemberian balasan tertentu. Usaha berterusan perlu dibuat untuk membantu golongan ini agar mereka sentiasa terasa disayangi walaupun sudah terlanjur. Dalam pada itu, usaha memberi pendidikan agama perlu diteruskan oleh semua pihak agar kejadian seumpama itu dapat dikurang dan dihapuskan.

Friday, September 17, 2010

BAPA BOREK ANAK BELANG BELANG

Oleh: ROSLI ISMAIL

Hal-hal begini yang adakalanya kita terpaksa kena pinjam kata-kata... Lu fikirlah sendiri .Pelik bukan mengenangkan pendirian Nurul Izzah,Ahli Parlimen Lembah Pantai anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bab pemilihan jawatan PKR. Tempoh hari bersungguh-sungguh kata tak memihak antara Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim yang dijangka berentap jawatan Timbalan Presiden. Sebaliknya bila Senator Dr Syed Husein Ali secara rasmi umum undur diri dari jawatan Timbalan Presiden Rabu,beliau terus ubah nada dan ‘tunjuk belang’ sebenar. Nurul secara terbuka istihar beliau sokong Zaid semasa sidang akhbar di Kuching Khamis sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur setelah mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli PKR negeri itu. Beliau tidak lagi berselindung dengan menilai Zaid sebagai pemimpin yang berwawasan dan PKR memerlukan pemimpin seperti ini.

Dalam ucapan pada malam sebelumnya beliau mengingatkan ahli parti itu agar tidak memilih mereka yang musang berbulu ayam. Siapa agaknya yang beliau maksudkan kerana dalam sidang akhbarnya Nurul menjelaskan beliau tidak merujuk kepada Zaid sebagai musang berkenaan. Hairan bin ajaib ketika bapanya diketahui umum dokong Azmin tapi Nurul mengambil pendiriran sebaliknya. Apakah Nurul ikut angin ibunya Datuk Dr Seri Wan Azizah Ismail yang bukan rahsia lagi dingin terhadap Azmin. Kata orang kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang.Ini sudah dua pokok yang bergoyang serentak. Mungkinkah perasaan peribadi tertentu lebih menguasai denyut nadi Nurul hingga negatif terhadap Azmin.

Lojiknya memang tak lojik kerana Nurul sepatutnya lebih kenal Azmin yang sebegitu lama menjadi pegawai dan orang kuat bapanya luar dalam berbanding Zaid yang baru Julai tahun lalu menyertai PKR. Kalau sudah gandingan ibu dan anak tak sealiran dengan pandangan bapa salahkah kalau orang cakap pasti ada yang tak kena termasuk mengimbas kisah-kisah Anwar-Azmin yang didakwa bekas rakan tenis, Datuk S Nallakarupan. Azmin sendiri perlulah rasa tidak sedap badan dengan cacamarba macam ni. Jangan kata orang biasa tetapi ahli-ahli PKR sendiri pun tentu tertanya-tanya apa puncanya sampai jadi begitu. Siapa tahu ada perkara yang Nurul dan ibunya boleh bendung perasaan dikaca mata ramai tetapi bila datang bab perhitungan yang menyentuh jiwa begini mereka terpaksa tekan brek kecemasan. Mungkin demokrasi individu dalam membuat pilihan dijadikan alasan penyedap bicara.Cuma anihnya Nurul sealiran dengan segala bab politik dengan bapanya tetapi nampaknya dalam bab Azmin mereka ibarat simpul mati tidak boleh menyatu.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan,Zaid dipetik dengan nada menyindir mengulas cara Azmin umum secara rasmi nak bertanding jawatan Timbalan Presiden di Kota Kinabalu pagi Khamis yang dibelakangi oleh sebilangan pemimpin PKR dalam sidang akhbarnya. Beliau merujuk kepada pengumuman Azmin yang dibuat di hotel lima bintang Tanjong Aru Beach Resort. “Dia ada stail” sambil menambah sindirannya dengan ungkapan “ menakutkan”. Zaid berkata cara tunjuk kuat begitu hanya akan mencetuskan suasana tegang dalam parti. Dakwanya beliau juga ada penyokong dikalangan ahli parlimen PKR tetapi tidak mahu pamer masa buat pengumuman. Kata Zaid ada banyak masa lagi untuk kempen kerana pencalonan belum lagi dibuat. Beliau juga kesal dengan keputusan Anwar tidak mahu bertanding apa-apa jawatan. Katanya jawatan Penasihat PKR bukanlah jawatan yang diiktiraf dalam perlembagaan parti.- 16/9/2010 .

(Renungan Rimau : Hati lain-lain. Dah tahu lama dahhhhh. Tapi minta tolonglah MP, setiap pagi saya terpaksa melalui kesesakan di Lembah Pantai tu. Bila hendak diselesaikan? Minta tolong kat RNC la...)

Monday, September 13, 2010

PDRM AKAN TERUS CEMERLANG

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar yang memulakan tugasnya hari ini berjanji akan memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat dan negara dengan berpaksikan undang-undang dan bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya.

Beliau berkata, tanggungjawab berat yang digalasnya memerlukan sokongan dan kerjasama erat daripada semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam merealisasikan objektif PDRM berlandas Akta Polis Perkara 3 (3).

"Tidak ada seorang KPN yang mampu menjalankan tugasnya sendirian dengan kudrat yang ada tanpa bantuan dan sokongan dari pegawai dan seluruh anggota. Saya melihat kepada lapan KPN sebelum ini di mana mereka mampu menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik, dan saya yakin mampu melakukan perkara yang sama dengan bantuan dan sokongan semua pihak,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Mes Pegawai Bukit Aman di sini hari ini. Ismail berkata, pada hari pertama memulakan tugas, beliau akan bertemu empat mata dengan semua pengarah, timbalan pengarah dan ketua polis negeri.

Terdahulu, Ismail menandatangani serah terima tugas jawatannya sebelum ini kepada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Hussin Ismail yang dilantik sebagai Timbalan KPN. Ismail, 57, dilantik sebagai KPN menggantikan Tan Sri Musa Hassan yang tamat kontraknya semalam selepas berkhidmat 41 tahun dalam pasukan. Pelantikan Ismail sebagai KPN dan Hussin, 57, sebagai Timbalan KPN diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 1 September lalu. – Bernama.

(Renungan Rimau : PDRM telah menjalankan tugas yang cemerlang sejak sekian lama. Yang perlu diperkemaskan ialah individu tertentu yang tidak mempedulikan 'maruah' pasukan dengan menjadi talibarut pihak tertentu. Tidak hairanlah jika ada operasi menangkap 'jerung' tertentu maklumat sudah disampaikan kepada kumpulan pembiaya dan jerung lepas lari. Yang dapat nama buruk ialah PDRM.)

Wednesday, September 8, 2010

RAMAI YANG MISKIN ADALAH MELAYU

MUAR 7 Sept. – Usaha membasmi kemiskinan tanpa mengira batas kaum akan terus menjadi keutamaan kerajaan bagi membolehkan sasaran miskin sifar dapat dicapai pada tahun ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu telah dilakukan sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 lagi dan dengan kesungguhan kerajaan, jumlah 60 peratus rakyat miskin di negara ini dapat dikurang kepada sekitar tiga dan empat peratus sahaja.

“Langkah-langkah telah diambil kerajaan kita sekian lama untuk menentukan seberapa mungkin yang boleh, tiada ada keluarga yang dikatakan miskin di kalangan masyarakat. Sebab itu, kita berusaha sedaya upaya memberi bantuan kepada golongan yang dikenal pasti, bukan hanya dengan bantuan kebajikan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sahaja. Tetapi lebih penting, untuk membimbing masyarakat miskin dengan latihan untuk meningkatkan pendapatan, bantuan supaya dapat berniaga secara kecil-kecilan serta bantuan perumahan untuk warga miskin,” katanya.

Beliau berucap pada majlis berbuka puasa, penyampaian zakat daripada UDA Holdings Bhd. serta penyampaian sumbangan kepada golongan fakir miskin di Surau Saadi’ah di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi UDA Holdings, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyerahkan zakat berjumlah RM120,000 kepada Muhyiddin yang mewakili Yayasan Nurul Yaqeen. Nur Jazlan juga menyerahkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Pengerusi Surau Saadi’ah, Ghafur Md. Yassin untuk diisi pada tabung surau berkenaan.

Menurut Muhyiddin, biarpun pelbagai usaha dijalankan, kerajaan sedar terdapat kelompok miskin tegar di negara ini yang memerlukan lebih tumpuan.

“Malahan ada istilah baru iaitu golongan yang mudah miskin, hari ini dia tidak miskin, esok dia boleh jadi miskin disebabkan dia tidak boleh bekerja ataupun menganggur dan disebabkan itu tidak memperoleh pendapatan cukup untuk menyara keluarga,” katanya.

Kata beliau, hanya dengan pelajaran, generasi muda pada hari ini dapat memastikan masalah kemiskinan dapat diatasi dan diharap golongan berkenaan bukan sahaja dapat membantu keluarga mereka sahaja tetapi juga membantu membina negara. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Kawan DIY, seorang usahawan India yang berjaya sentiasa didatangi oleh kaumnya yang mempersoalkan mengapa kerajaan banyak tolong orang Melayu sedangkan mereka melihat ramai Melayu mempunyai mempunyai rumah besar dan kereta mewah. Datuk R memberitahu mereka bahawa itu yang mereka nampak. Jika mereka mengetahui jumlah yang masih memerlukan, sudah pasti mereka akan cepat faham dan tidak emosional. Katanya, melihat apa yang dilaluinya sejak dulu lagi, siapa yang rajin di negara ini akan berjaya dan menjadi kaya. DEB ada pun, ramai usahawan lain yang berjaya. Bukan Melayu saja.)

Tuesday, September 7, 2010

CAMPUR TANGAN : APA YANG TERSIRAT?

Lambaian tangan TS Musa Hassan kepada kita sudah tentulah dibalas dengan tepukan gemuruh. Ucapan terima kasih kepada beliau kerana sentiasa memastikan negara ini terus aman dan sentosa. Di bawah kepemimpinannya, kadar jenayah kini semakin kurang terutamanya jenayah jalanan membabitkan maut dan kecederaan parah.

Dalam pada itu, ramai juga yang terkejut dengan kenyataan TS Musa mengenai 'campur tangan' KDN dalam penyiasatan polis. Ini bukan pertama kali luahan itu dilemparkan tetapi buat kali kedua. Sudah tentu ada yang 'tersirat' daripada kenyataan beliau.

Monday, September 6, 2010

GUNAWAN MENINGGALKAN KITA

Sahabat DIY, Gunawan Mahmood, 51, meninggal dunia petang tadi.

Allahyarham yang kini bertugas sebagai Setiausaha Politik MB Johor dikatakan terkulai ketika duduk di pejabat disebabkan keletihan kerana penyakit kencing manis.

Beliau adalah seorang penulis yang baik.

Semoga rohnya ditempatkan bersama roh orang orang beriman.

Al-Fatihah.

MELAYU GUMBIRA SEMUA GUMBIRA

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini akan terus retak jika orang Melayu berpecah-belah kerana kunci utama kepada keharmonian negara terletak di bahu masyarakat bumiputera itu.

Pensyarah politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, api perkauman yang dinyalakan pihak tertentu adalah berpunca daripada sikap orang Melayu sendiri yang enggan bersatu-padu. Situasi itu jelasnya, melemahkan kuasa orang Melayu sehingga ada pihak bertindak 'menangguk di air keruh' untuk menjejaskan kestabilan politik dan keharmonian negara. "Apabila Melayu dilihat sudah lemah dan tidak berdaya, kaum lain akan memandang rendah dan mempertikaikan kredibiliti orang Melayu untuk memimpin negara. "Justeru, perpaduan di kalangan orang Melayu perlu diperkasakan terlebih dahulu kerana ia merupakan kunci kepada keharmonian negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas peringatan berterusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sejak kebelakangan ini berhubung nasib orang Melayu jika mereka tidak bersatu-padu.

Yang Dipertua Pertubuhan Perpaduan Melayu Kedah (Pemikad), Abdul Ghani Mehat pula berkata, pergolakan yang berlaku di kalangan pemimpin memberi gambaran bahawa orang Melayu tidak mampu memerintah negara dengan baik. "Sehubungan itu, kaum lain mula terdorong untuk mengkritik dan menyuarakan keinginan masing-masing meskipun bertentangan dengan Perlembagaan negara," katanya.

Sementara itu Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, keharmonian negara ini akan terpelihara jika hak semua kaum dihormati seperti yang dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan. "Perlembagaan memperuntukkan banyak keistimewaan untuk dijadikan 'senjata' dalam memperkasakan masyarakat Melayu.

Veteran UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail pula berpendapat, usaha mempertahankan perpaduan dan keharmonian negara adalah tanggungjawab semua pihak tidak mengira bangsa atau agama.- UTUSAN.

(Renungan Rimau : Dah lama bagi tau dahhhh)

Sunday, September 5, 2010

BERTELAGAH MEMBAWA PADAH

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Teguran serta peringatan oleh Sultan Perak dan Sultan Selangor berhubung nasib orang Melayu perlu dipandang serius.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, semua pihak tidak kira sama ada rakyat, tokoh korporat mahupun ahli politik perlu mengambil peringatan daripada teguran tersebut kerana ia cukup kritikal dalam menentukan nasib masa depan orang Melayu.

Katanya, teguran berterusan Sultan Perak dan Sultan Selangor mengenai perkara itu mencerminkan penelitian mendalam baginda berdua terhadap nasib orang Melayu di negara ini sebelum menitahkan mereka supaya bersatu kerana khuatir situasi perpecahan yang semakin kronik.

"Kalau kita lihat kepada situasi orang Melayu sekarang ini, saya tidak hairan mengapa Sultan Perak dan Sultan Selangor menitahkan kita supaya bersatu kerana pemimpin-pemimpin parti politik Melayu sendiri bertelagah sesama sendiri, inikan pula rakyat.

"Sepatutnya golongan pemimpin yang menjadi contoh kepada rakyat. Kalau mereka terus bertelagah sesama sendiri, saya percaya orang Melayu semakin sukar untuk bersatu,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kebelakangan ini sering mengingatkan orang Melayu agar bersatu mempertahankan agama dan bangsa daripada anasir yang cuba mencabar institusi Islam.
Sementara itu, Setiausaha Satu Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, sikap orang Melayu yang hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata merupakan kelemahan yang kini dipergunakan oleh kaum lain.

"Orang Melayu perlu segera sedar dan jangan hanya bergantung kepada kerajaan kerana ia merupakan kelemahan ketara kita. Sebaliknya kita perlulah bersatu dan mengatur strategi yang jitu untuk mempertahankan bangsa dan agama,'' tegasnya.

Bagi Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar pula, titah Sultan Perak serta Sultan Selangor itu wajib dipatuhi oleh orang Melayu.

"Sultan merupakan ketua agama dan juga ketua orang Melayu di Malaysia. Jadi adalah wajib bagi kita menuruti perintah baginda untuk kebaikan bangsa kita,'' katanya. - MM.

(Renungan Rimau : Cakap Tok Nal tu betul. Orang Melayu, tidak kira apa parti pun perlu memikirkan cara terbaik untuk menyuarakan kepentingan bangsa. Pemimpin kaum Cina tanpa mengira parti dan agama duduk semeja untuk membincangkan masa depan mereka di satu tempat setiap tahun. Mereka adalah NGO atau persatuan budaya yang di dalamnya terdiri orang DAP, MCA, GERAKAN atau parti Cina lain yang mahu bersatu menegakkan dan memperjuangkan kepentingan kaum. Di luar berbalah, di dalam bersatu. Pemimpin politik ketepi, pemimpin kaum mahu bersuara. Malah meja besar yang sesetengah tidak berkenan perlu dipecah agar tiada yang gundah dan dibuat semula bagi memastikan semua pihak puas hati. Selepas meja baru dibuat, maka mereka 'duduk semeja' membincangkan kepentingan kaum dan keadaan semasa di negara ini. Mungkin termasuk kelekaan Melayu berbalah dan bertelagah. Alahai Melayu.)

Saturday, September 4, 2010

ULAR SAWA SEMAKIN KENYANG

(Renungan Rimau: Di sekeliling kita banyak juga ular sawa yang sentiasa mencari habuan dengan memilih makanan digemari terutama yang amat mengenyangkan. Kita harus berhati-hati kerana adakalanya ular sawa ini bijak dengan membuat pelbagai tipu helah untuk makan secara senyap tanpa diketahui oleh penangkap ular sawa atau penguatkuasa. Yang paling menakutkan ialah ular sawa itu pandai berkata-kata dan menuding jari kepada kita setelah ular sawa itu kenyang. Tetapi ular sawa ini terlupa bahawa kita boleh melihat perutnya buncit kerana menelan seekor kambing. Ini bukan cerita dongeng, satire atau untuk memalukan sesiapa. Takut-takutlah kena nanti.)

Friday, September 3, 2010

JANGAN JADI KEBUDAK-BUDAKKAN

Selepas 53 tahun merdeka, bagaimanakah sikap rakyat negara ini? Sudah tentulah anda merasakan mereka lebih matang dan mempunyai sikap 'penerimaan' seperti yang terkandung dalam Gagasan 1Malaysia.

Namun, beberapa perkembangan terbaru membabitkan kenyataan berbaur perkauman pasti menimbulkan 1001 pertanyaan. Apakah rakyat negara ini belum matang? Apakah ada pihak yang mahu menonjolkan diri sebagai hero bangsa atau kaum? Atau ada pihak yang mahu mengambil kesempatan daripada sikap pemimpin negara yang lebih mesra? Adakah ada pihak yang ingin menyebarkan fahaman tertentu seperti komunis?

Ada pandangan terutama di kalangan orang Melayu menyifatkan perbuatan pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman itu sebagai menguji kesabaran sesetengah pihak. Mereka juga merasakan golongan tertentu ini cuba mengambil kesempatan daripada sikap mesra pemimpin tertinggi negara. Tiada atau kurangnya tindakan ISA ketika ini maka mereka lebih lantang bersuara. Ini sudah tentulah tidak sihat dan menggalakkan lebih ramai berbuat demikian.

Namun, kenyataan orang nombor satu dan dua negara bahawa tindakan tegas akan diambil kepada golongan sebegini mungkin meredakan keadaan. Tetapi tindakan susulan selepas ini amat dinanti-nantikan. Terutama selepas amaran berkenaan. Jika tidak, amaran yang diberikan sekadar gertakan yang tidak bermakna. Seperti kucing yang disergah atau terhimpit di dinding, akan cuba meninggikan dirinya atau menegakkan bulu untuk menakutkan lawan. Selepas lawan beredar, ia menjadi kucing semula.

Apa yang menakutkan ialah tindakan golongan yang menyebarkan fahaman tertentu seperti komunis. Ini sudah tentu memerlukan tindakan bersepadu untuk membanteras mereka. Dalam ertikata lain jika mereka menggunakan medium seperti televisyen atau radio, mereka perlu dihalang atau diambil tindakan. Jika mereka pergi sekeliling negara menyampaikan ceramah membenci kerajaan dan menyebarkan fahaman songsang itu, mereka ini perlu ditahan segera sama ada di bawah ISA atau perundangan lain. Semua tindakan/perbuatan yang berbaur perkauman atau mahu memporak-perandakan negara ini perlu diambil tindakan serta-merta.

Begitu juga bagi yang mahu menonjolkan diri sebagai pejuang kaum. Bagaimanapun istilah pejuang kaum itu juga mempunyai konotasi tertentu yang menjurus ke arah melampau. Ini termasuk mempersendakan Perlembagaan atau menimbulkan soal yang sudah dipersetujui dalam Perlembagaan itu sendiri. Bagi golongan ini kelekaan mereka beriya-iya untuk muncul juara kaum menyebabkan apa yang dikeluarkan dari mulut adalah perkara bodoh dan tidak logik. Ataupun mahu menguji kesabaran sesuatu pihak. Yang paling menakutkan ialah untuk menghina bangsa tertentu yang sudah tentu tidak sihat untuk negara. Bertindak segera.

Thursday, September 2, 2010

HAYATILAH GAGASAN 1MALAYSIA

Sejak memperkenalkan Gagasan 1Malaysia (G1M) April lalu, pelbagai pandangan dan persoalan dikemukakan oleh rakyat negara ini kepada Dato' Sri Najib Tun Razak. Antaranya apakah tujuan sebenarnya memperkenalkan satu gagasan yang sudah wujud sejak sekian lama? Dalam ertikata lain apakah yang baru dalam gagasan itu yang memerlukan rakyat memahami dan menghayatinya? Persoalan ini juga dikemukakan oleh DIY kepada DS Najib dalam satu pertemuan bagi mendapatkan jawapan sebenar mengenai hasrat murni beliau itu.

Bagi DS Najib, walaupun apa yang terkandung dalam G1M itu dilihat sebagai 'perkara lama' yang wujud sejak sekian lama, rakyat negara ini perlu diperingatkan semula dengan formula terbaik kesejahteraan negara dan memastikan ia perlu dikekalkan selama-lamanya. Dalam ertikata lain tindakan untuk membawa balik perjuangan rakyat negara ini ke landasan perpaduan sebenarnya perlu digerakkan agar tidak terlalu lambat untuk memperbetulkannya kelak. Hakikat bahawa pemahaman mengenai formula perpaduan terbaik itu sudah mula luntur perlu diperbaiki dan dipupuk semula bermula dari sekarang. Bagi DS Najib, jika ia tidak dibuat dari sekarang, sudah tentu kesejahteraan dan keamanan negara ini tidak akan berpanjangan. Ketiadaan usaha mengekalkan formula ini membuat rakyat terus bercakaran dan berprasangka antara satu sama lain. Ini amat menakutkan.

Namun, sejak G1M diperkenalkan, usaha mempromosikan kepentingannya tidak kelihatan menyeluruh dan hanya membabitkan pihak yang boleh dibilang dengan jari termasuklah KPKK. Bagi DS Najib, tugas ini perlu dipikul oleh semua pihak terutama pemimpin parti komponen agar mereka dapat menyebarkan kebaikan G1M dengan meluas terutama kepada kaum mereka sendiri. Memahamkan dan memastikan mereka terus menghayatinya. Tindakan ini bukan bermusim tetapi berterusan agar formula terbaik ini terus dimartabatkan oleh generasi akan datang.

Ironinya, sejak diperkenalkan, ramai pihak yang mengambil kesempatan dengan 'menghalalkan cara' dengan meminta pelbagai perkara tersasar daripada ketetapan dalam Perlembagaan. Mengapa ini berlaku? Jawapannya tidak sukar iaitu ingin mengambil kesempatan daripada laungan 1Malaysia dan menyifatkan orang lain perlu 'memberi ruang dan kesempatan' atas dasar kesamarataan. Ini sebenarnya telah menyimpang daripada matlamat asal G1M dan menyerupai Malaysian Malaysia yang diperkenalkan oleh DAP.

Kelonggaran itu bukan bermakna ia tidak perlu mengikuti Perlembagaan. G1Malaysia adalah formula perpaduan yang menghormati apa yang dipersetujui dalam Perlembagaan. Tiga elemen pentingnya ialah kenegaraan, penerimaan dan keadilan sosial. Menyayangi dan menghormati negara ini, sikap toleransi menerima apa yang terkandung dalam Perlembagaan dan memastikan keadilan sosial sentiasa diamalkan di negara ini. Keadilan sosial di mana mereka yang amat memerlukan perlu dibantu sepanjang masa tanpa mengira kaum dan latarbelakangnya. Apatah lagi yang memerlukan itu terdiri daripada golongan majoriti yang termaktub dalam ketetapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bahawa perlu dibantu apatah lagi jika mereka masih miskin, ketinggalan dan terbiar. Ini matlamat utamanya. Inilah landasan sebenar yang perlu dilalui.

Wednesday, September 1, 2010

KEGIATAN TERSUSUN MALUKAN NEGARA

Gerakan mereka semakin tersusun. Selepas berdemonstrasi di Kedutaan Malaysia di Jakarta baru-baru ini, kini ada usaha menyemarakkan rasa marah kepada negara ini ke seluruh Indonesia. Maka berlaku kegiatan 'menyerang' kepentingan negara termasuk cawangan CIMB di republik itu.

Kini mereka mula memasuki ruang maya kita dengan menyerang laman sesawang. Serangan ini dalam bentuk memporak-perandakan laman itu atau menghantar mesej yang menghina pelbagai individu di negara ini termasuk pemimpin tertinggi negara. Mereka juga mula mengadu-dombakan rakyat di negara ini dengan kenyataan berbaur perkauman. Mereka mengata orang Melayu, Cina dan India. Mereka mahu menimbulkan perasaan sakit hati antara kaum di negara ini. Awas dan segera bertindak rakyat Malaysia tercinta.

Inilah perbuatan anasir subversif yang mahu mengerohkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia. Malah mereka mula menunjukkan kurang ajar dengan menghina Yang Dipertuan Agong kerana mengetahui ia secara langsung 'menyakitkan hati' bangsa Melayu dan rakyat keseluruhannya di negara ini.

Oleh itu, setiap rakyat Malaysia harus bertindak tegas dan cergas untuk menghalang kegiatan yang dilakukan oleh golongan pelampau ini. Ini termasuk membuat laporan polis jika ada kegiatan seumpama itu termasuk menghantar mesej berbaur perkauman atau menghina Raja-raja Melayu. Mereka juga perlu melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi tujuan penyiasatan terperinci golongan pelampau ini. Mereka perlu menyimpan bukti kegiatan tidak bermaruah ini untuk tujuan penyiasatan.