Monday, March 21, 2011

PRU KE 13 TAHUN INI? (2)

Faktor keempat ialah adakah ahli dan pemimpin UMNO sudah bersedia untuk menghadapi PRU13. Jika mereka tidak bersedia, maka tidak logik diadakan pilihan raya umum pada tahun ini kerana jawapannya ialah menanggung risiko. Tiada bersedia bermaksud mereka tidak ada strategi untuk memenangi pilihan raya. Tidak bersedia bererti pentadbirannya tidak teratur dan keadaan di bawah huru hara termasuk di cawangan dan bahagian. Yang lebih parah jika ahli dan pemimpin UMNO bergaduh dan bertengkaran. Yang lebih malang ialah jika mereka saling berebut jawatan atau mahu memusnahkan antara satu sama lain. Ini yang perlu diatasi oleh pucuk pimpinan UMNO jika mahu menyaksikan smooth sailing.

UMNO sebagai tunggak BN perlu kuat dan kukuh. Ini bermakna ahli dan pemimpinnya sentiasa bersedia untuk menghadapi satu peperangan minda. Pembangkang boleh menaburkan apa saja sehingga boleh mengelirukan rakyat. UMNO perlu mempunyai strategi bagaimana untuk menangkis serangan ini termasuk serangan peribadi. Yang amat merisaukan ialah pembangkang boleh menggunakan pelbagai taktik tetapi tidak terlepas daripada masalah. Umpamanya bercakap dengan orang Melayu menggunakan isu yang membangkitkan kemarahan orang Melayu dan bercakap dengan orang bukan Melayu menggunakan isu yang boleh menyakinkan orang bukan Melayu seperti janji Timbalan Perdana Menteri kedua dan sebagainya. Ini memerlukan satu pemikiran yang strategik kerana UMNO dan BN mempunyai banyak sebab untuk bercakap berhati-hati kerana mereka adakah kerajaan yang mempunyai kewibawaan, tidak seperti pembangkang.

UMNO dan BN perlu melihat kepada kejayaan mereka memerintah selama ini. Memanglah ada masalah dan kesilapan tetapi cuba tonjolkan secara keseluruhannya kejayaan memastikan Malaysia sentiasa aman dan makmur tanpa sebarang masalah. Tunjukkan bahawa demokrasi subur di tanah bertuah ini dan tidak ada sebab sesiapa jua untuk mengatakan negara ini seperti Mesir dan Libya. Memanglah pembangkang sentiasa berusaha untuk memberi contoh yang tidak baik, tetapi kehebatan BN selama ini perlu mendapat penonjolan yang terbaik. Ini sudah dilakukan oleh RTM. Bagaimana pula dengan media lain? Sudah tentu mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan apa yang diusahakan oleh BN telah banyak membantu negara dan rakyat. Kejayaan ini tidak boleh dilakukan tanpa komitmen dan kesungguhan. Percayalah, berikan kepada pihak yang sentiasa memikirkan untuk memajukan diri sendiri, maka negara ini akan menjadi arang.

bersambung....

No comments: