Wednesday, May 30, 2012

SEDIH SIASATAN DIBERHENTIKAN

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai kanan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) yang mendakwa terbabit dalam siasatan kes Mohamed Azmin Ali dan isteri, Shamsidar Taharin pada 1995 mempersoalkan tindakan menghentikan siasatan kes berkenaan. 

Beliau berkata, tindakan bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafee Yahaya yang mendapat arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak sepatutnya berlaku kerana memang jelas Mohamed Azmin dan isterinya memiliki harta yang tidak setimpal dengan pendapatannya.
Sebagai Setiausaha Sulit Anwar ketika itu, katanya, Mohamed Azmin hanya memperoleh pendapatan bulanan RM2,442 tetapi mampu membeli dua rumah dan harta lain.
“Saham yang dimiliki Mohamed Azmin dan isterinya juga umpama seorang ahli perniagaan. Cuba kita lihat bagaimana isteri seorang penjawat awam mempunyai saham dengan nilai keseluruhan melebihi setengah juta. 

“Itu tak termasuk baki di dalam akaun bank yang pernah satu ketika mencecah lebih RM300,000. Cuba lihat keadaan yang saya nyatakan di atas. Adakah kita mempercayai penjawat awam boleh hidup sedemikian?” katanya. 

Kenyataan bekas pegawai kanan BPR itu disiarkan dalam portal Malaysia Today, semalam, bertajuk ‘Kenyataan asal pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam bahasa Malaysia’. 

“Mengapa siasatan BPR dihentikan... siapa yang mempunyai kuasa memberhentikan siasatan ini? Adakah orang yang memberhentikan siasatan ini bersekongkol dengan Mohamed Azmin atau pun takut kepada pemimpin ketika itu,” katanya. 
Beliau mendakwa, siasatan ke atas Mohamed Azmin dilakukan kerana dikatakan mempunyai harta peribadi yang banyak ketika berkhidmat dengan Anwar yang juga Menteri Kewangan. 

“Berikutan itu, berdasarkan maklumat dan laporan polis yang diterima, satu kertas siasatan dibuka dan semasa siasatan dibuat mendapati gaji Mohamed Azmin hanya RM2,442 sebulan tetapi mampu membeli dua rumah. 

“Rumah pertama ialah banglo dua tingkat di Setapak berharga RM284,118 dengan deposit RM14,181, manakala bayaran bulanan RM3,376.75. 

“Yang kedua, rumah berkembar di Taman Melawati berharga RM210,000 dengan deposit RM60,000 dan bayaran bulanan RM1,110.35. Jika dicampurkan kedua bayaran bulanan ialah lebih kurang RM4,500. Ini saja dah menunjukkan hutang Mohamed Azmin melebihi sekali ganda gaji bulanannya. 

“Di mana Mohamed Azmin mendapat wang tambahan menampung bayaran hutang ini? Tak mungkin semua gajinya digunakan untuk membayar hutang rumah... bukankah ini menunjukkannya dia mempunyai pendapatan yang lain. Itu tidak diambil kira di mana beliau mendapat wang untuk membayar wang deposit rumah itu,” katanya. 

Katanya, siasatan yang dijalankan BPR juga membuktikan Mohamed Azmin memiliki dua kenderaan iaitu jenis BMW bernombor BBN 3 berharga RM160,529.81, manakala bayaran deposit ialah RM120,529 dan bayaran bulanan ialah RM875 sebulan. 

Beliau berkata, kereta kedua ialah jenis Proton Perdana bernombor WDU 64 berharga RM80,767.81 dengan ansuran bulanan sebanyak RM700. 

“Jika kita lihat komitmen bulanan bagi kedua-dua kereta ini ialah kira-kira RM1,700, pada ketika itu nilai yang besar..., mana tak kalau dilihat gaji Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri pada masa itu baru RM2,000 lebih,” katanya. - BERITA HARIAN.

1 comment:

Anonymous said...

Hi tuan tanah ...nampak bagus punya analisa.
Cuba analisa yg lain2 jugak mcm pie bedal, ezam, dll bandingkan lah gaji dgn harga curut mereka