Tuesday, August 14, 2012

BAHASA ALAHAI BAHASAKU

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Jika anda pernah mendengar ungkapan bahawa 'budaya orang Melayu tidak akan berubah sehingga kiamat' sebelum ini, eloklah diperhatikan semula sekarang setidak-tidaknya mengenai bahasa. Apabila ombak menghempas di pantai, maka banyaklah perubahan akan berlaku.

Kebelakangan ini boleh dibilang dengan jari pemimpin yang benar-benar memperjuangkan bahasa Melayu di negara ini. Tolong beritahu siapakah pemimpin yang anda tahu memperjuangkan bahasa? Setidak-tidaknya pemimpin itu sentiasa mengingatkan kita bahawa pentingnya untuk mempertahankan bahasa Melayu.

Jika dicongak keliling, sudah tentulah ramai yang bersetuju bahawa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Dr Rais Yatim adalah pemimpin yang sentiasa mengingatkan rakyat negara ini mengenai kepentingan untuk menegakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sebagai pencinta bahasa, beliau bukan saja menegur kealpaan dalam menjaga bahasa tetapi juga mengarahkan agensi di bawah KPKK untuk terus melaksanakan program bahasa bagi memastikan Bahasa Melayu terus dipertahankan sebagai bahasa ilmu dalam setiap bidang.

Untuk itu, pelbagai program sudah, sedang dan akan dirancang untuk memastikan penyertaan semua kaum dalam program pembudayaan bahasa yang bermatlamat untuk menjadikannya sebagai bahasa berwibawa dalam membentuk tamadun yang cemerlang.

Terbaru ialah Panggung Bahasa yang akan dilancarkan tidak lama lagi membabitkan penyertaan kebanyakan agensi di bawah KPKK seperti JKKN, RTM, Perpustakaan Negara, Jabatan Warisan, Istana Budaya dan ASWARA. Ia satu pencernaan kesungguhan Dr Rais untuk memastikan bahasa itu terus dinaikkan martabatnya.

Kita tunggu perlaksanaan Panggung Bahasa selain meneliti program yang berjalan seperti Pidato Kenegaraan dan  Sketsa Rukun Negara oleh Jabatan Penerangan dan agensi yang lain.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia teruslah memastikan bahasa kebangsaan tidak dirojakkan dalam pertuturan di samping menggunakan bahasa Inggeris dalam ungkapan yang sepatutnya digantikan dengan bahasa Melayu.

Pembuat iklan juga perlu memastikan bahawa mereka menggunakan bahasa Melayu yang baik dan bukan mencampuradukkan dengan perkataan Bahasa Inggeris yang bukan-bukan.








1 comment:

mola said...

DBP tolong perhatikan penggunaan di. Dah lintang pukang sekarang ni. Lihat contoh kesalahan dan pembetulannya di laman web saya.