Wednesday, August 29, 2012

BUKAN SAUDAGAR JANJI

Oleh Ibrahim Yahaya
(datuktiger@yahoo.com)

Suasana bagaimana yang membolehkan sesebuah negara itu menyambut kemerdekaan? Jawapannya mudah - apabila negara itu stabil dan aman. Tiada perang saudara, tiada persengketaan, tiada rusuhan kaum dan tiada demonstrasi jalanan yang menghancurkan negara.

Oleh kerana Malaysia aman dan makmur, sekali lagi tahun ini kita menyambut  Kemerdekaan Negara Ke-55 dalam suasana harmoni. Perpaduan dan keamanan yang wujud bukan datang dengan sendirinya tetapi dipupuk dan dibajai sejak merdeka.

Sejak dua bulan lalu pelbagai persiapan dilaksanakan oleh kerajaan terutamanya Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sebagai penganjur bersama. Rakyat turut bersama memeriahkan sambutan hari kemerdekaan dengan memasang bendera di rumah, pejabat dan kenderaan.

Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 pada tahun ini menandakan genap 55 tahun kerajaan di bawah kepemimpinan Barisan Nasional (BN) sehingga mencapai tahap amat membanggakan pada hari ini. Tiada siapa yang boleh menafikannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam ucapannya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PM di Pekan, Pahang Ahad lalu meminta rakyat tidak membuat ‘perubahan’ yang belum pasti menjamin kemakmuran dan kesejahteraan mereka.

Menurutnya, bukan semua perubahan membawa kepada sesuatu yang baik dan rakyat tidak harus meletakkan kepercayaan kepada pihak yang menonjolkan diri mereka sebagai pilihan alternatif yang lebih baik. Apatah lagi, munculnya saudagar janji.

Sebaliknya, kata beliau, mengekalkan kepercayaan kepada BN yang selama 55 tahun terbukti memimpin negara dengan membawa begitu banyak kemajuan adalah tindakan yang terbaik bagai memastikan untung nasib rakyat terus terbela.

Untuk itu, rakyat sendiri perlu tepuk dada, tanya diri mereka dan tidak terpengaruh dengan tohmahan pembangkang yang menidakkan perjuangan murni kerajaan selama ini sebaliknya mereka gemar memainkan isu remeh-temeh yang tidak berfaedah.

Bagi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Malaysia berjaya mencapai kemerdekaan hasil kesepakatan rakyat dan  pemimpin daripada pelbagai latar belakang. Sepakat membawa berkat.

Kemerdekaan, katanya, adalah suatu anugerah yang tidak ternilai harganya kepada penduduk Malaysia. Namun begitu, kemerdekaan ini, bukanlah sesuatu jaminan bahawa ia akan terus dinikmati oleh generasi akan datang.

“Kemerdekaan ini hanya akan terus dinikmati seandainya wujud ikatan perpaduan yang kental di antara rakyat berbilang kaum seperti sedia terjalin dan akan terus kekal menjadi pegangan semua rakyat Malaysia.

“Sejarah membuktikan dalam tempoh 55 tahun lamanya, kita sama-sama berjaya mengekalkan perpaduan melalui komitmen seluruh rakyat Malaysia secara berterusan.

“Kita perlu sedar bahawa tanpa sikap toleransi pemimpin terdahulu, tidak mungkin kita berada di tahap ini dan dapat menikmati pembangunan serta kemewahan sekarang. Saya yakin dan pasti,  Wawasan 2020 bukan lagi satu visi yang ingin dicapai tetapi ia mesti direalisasikan bagi membawa rakyat ke mercu kejayaan.” katanya sempena Merdeka 55 tahun ini,” katanya sempena Merdeka 55.

Selaras tema 55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati bagi Sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini, Dr Rais mahu agar seluruh rakyat Malaysia membulatkan tekad dan terus komited dalam merencanakan agenda negara ke arah pencapaian status negara maju menjelang tahun 2020.
Menurutnya, kita tidak boleh cepat berpuas hati dengan kejayaan yang  dicapai, bahkan perlu terus berganding bahu memacu negara ke puncak jaya. Di bawah teraju kepemimpinan Perdana Menteri,  Malaysia kian kukuh dan utuh di mata dunia.

Dr Rais berkata, pelbagai kejayaan dicapai dan hasilnya sudah dinikmati rakyat. Pelbagai bantuan serta insentif disalurkan untuk manfaat rakyat keseluruhannya tanpa mengira kaum, latar belakang dan pendirian politik.

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA), Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) serta pelbagai sajian khidmat lain adalah antara bukti betapa kerajaan berjaya mentadbir urus kepentingan negara dengan baik sehingga dapat melaksanakan pelbagai program kebajikan yang membela nasib rakyat khususnya yang berpendapatan rendah.

KPKK sendiri melaksanakan Komuniti 1Malaysia yang bertujuan untuk membantu memperbaiki kehidupan rakyat di seluruh negara di samping mewujudkan pasukan sukarelawan yang bersedia untuk berkhidmat sepanjang masa.

Dr Rais yang juga pengerusi penganjur Merdeka 55 berkata, kejayaan tidak mungkin dapat dicapai tanpa pembabitan semua rakyat  di negara ini. Bersatu teguh, berpecah roboh seperti satu ikatan lidi yang membentuk penyapu yang kuat dan bermakna.

“Perpaduan yang wujud mesti terus dipupuk dan dibajai. Tanggungjawab ini harus dipikul bersama oleh rakyat tanpa mengira kaum, agama, bangsa, umur serta latar belakang pendidikan, agar perpaduan yang  terjalin tetap terpelihara.

“Rakyat negara ini harus ingat negara ini bukanlah milik mutlak generasi kini tetapi harus kita pertahankan untuk diwariskan kepada generasi akan datang. Kita tidak mahu masa depan negara dipertaruhkan hanya kerana sikap pentingkan diri sendiri dan sikap sambil lewa. Kita mahu terus mengukir sejarah dan membangunkan negara ini mengikut acuan sendiri. “ katanya.

Dr Rais mengajak rakyat daripada semua peringkat untuk bersama memeriahkan Merdeka 55 di Dataran Merdeka pada sebelah pagi dan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada sebelah malam 31 Ogos ini. Pelbagai acara dan persembahan akan diadakan termasuk tweet merdeka oleh Perdana Menteri dan rakyat di Bukit Jalil.

Beliau mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli Jawatankuasa Induk Kebangsaan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 2012, atas komitmen berterusan bagi memastikan semua acara yang dirancang sepanjang sambutan hari kemerdekaan ini dapat berlangsung dengan jayanya. 

(Artikel ini disiarkan oleh Berita Harian hari ini)

No comments: