YOGYAKARTA 18 Sept. - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim hari ini membangkitkan isu penayangan filem Innocence of Muslims pada Mesyuarat Menteri-menteri Kebudayaan Asia dan Eropah (ASEM) Kelima di sini dan berharap mesyuarat itu dapat membuka mata dunia untuk menghormati sistem perundangan di semua negara.
"Saya membangkitkan isu penayangan filem menerusi YouTube yang begitu merendahkan dan memperlekeh Nabi Muhammad SAW, sehingga terasa oleh kami yang mewakili delegasi dari Malaysia untuk menyuarakan perkara ini di sidang ASEM Kelima ini di Yogyakarta.
"Yang pertamanya, tidak boleh walaupun apa janjipun di belakang sesuatu sistem pemerintahan menganggap bahawa budaya atau agama sesuatu bangsa lain boleh diperlekeh atau diperkecilkan atau ditakluki kepada sentimen yang merendahkan sekali tamadun sesuatu bangsa dan agama," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Menteri itu berkata apa yang berlaku hari ini ialah laman YouTube, menerusi pemilikan Google telah merendahkan agama Islam secara yang paling daif dan filem itu seharusnya tidak boleh berselindung di belakang hak asasi bersuara seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.
Oleh yang demikian adalah patut bagi masyarakat Islam untuk bertindak oleh kerana mereka telah tidak diadili dengan baik oleh masyarakat yang kononnya tamadun mereka lebih tinggi seperti di Amerika dan sebagainya, katanya.
"Justeru suara ini perlu diperluaskan supaya Indonesia dan Malaysia juga serentak untuk menyatakan sentimen yang penting ini kepada tamadun dunia yang kononnya begitu tinggi tetapi pada hakikatnya rendah sekali apabila memperkecil, memperendah dan memperlekeh agama Islam," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment