Thursday, September 20, 2012

LONJAKAN PEMBANGUNAN MALAYSIA


Oleh Ibrahim Yahaya (datuktiger@yahoo.com)
(artikel ini disiarkan dalam Berita Harian hari ini)

Apa pentingnya sambutan Hari Malaysia di Bintulu pada 16 September lalu? Selain ucapan pemimpin, persembahan 600 artis kebudayaan, tayangan video, penyampaian anugerah, pertunjukan bunga api dan kehadiran lebih 25,000 orang di Lapangan Terbang Lama Bintulu, sambutan Hari Malaysia adalah manifestasi keikhlasan rakyat sepakat menghayati sejarah penting negara.

Jika pada 31 Ogos lalu, rakyat negara ini menyambut Hari Kemerdekaan ke 55 di Dataran Merdeka pada sebelah pagi dan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam hari, kini mereka bersama untuk menyambut Hari Malaysia bersama pemimpin negara.

Dua tarikh keramat itu 31 Ogos dan 16 September perlu diingati oleh rakyat negara ini sepanjang masa selagi mereka menjadi warganegara Malaysia. Mereka perlu mengetahui sejarah dua tarikh itu yang penuh bermakna kepada negara tercinta.

Ia adalah tarikh bermulanya gerakan mengembalikan maruah negara daripada penjajahan British selain gabungan tiga sepilin iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang membentuk entiti lebih besar iaitu Malaysia. Cantuman tiga S itu membawa kesejahteraan rakyat.

Bagi Tan Sri Taib Mahmud, pemimpin yang bergandingan dengan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman ketika membentuk Malaysia, 16 September adalah satu tarikh lonjakan bagi Sarawak bersama negeri-negeri lain dalam menyediakan segala keperluan untuk rakyat. Tarikh bermulanya program kerajaan mensejahterakan kehidupan rakyat.

Tanpa menyertai Malaysia, katanya, Sarawak tidak mungkin dapat melaksanakan segala pembangunan untuk rakyat kerana kos perbelanjaan tinggi untuk mewujudkan kestabilan menerusi kawalan keselamatan membabitkan ramai perwira dari tiga S itu.

Sebagai contoh perbelanjaan pertahanan negara membabitkan lebih RM9 bilion pada 2011. Ini untuk memastikan Malaysia selamat daripada ancaman musuh. Tanpa kestabilan politik, tiada apa yang boleh dilakukan untuk rakyat seperti membawa masuk pelabur asing.

Untuk menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan lebuh raya juga membabitkan peruntukan besar selain penyediaan pendidikan, kesihatan dan perumahan. Kini projek utama di Sarawak ialah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Laporan terbaru memaparkan impak SCORE akan dinikmati secara berterusan oleh penduduk Sarawak dengan kemuncaknya dapat dilihat menjelang 2030 apabila keseluruhan pelaburan berjumlah RM334 bilion masuk ke negeri ini.

Bagi tempoh tiga tahun pertama SCORE dilancarkan, ia berjaya menarik pelaburan berjumlah RM20.3 bilion membabitkan 11 projek dengan lapan daripadanya bagi Taman Perindustrian Samalaju, manakala dua lagi di Hab Halal Tanjung Manis.  Ini dinyatakan oleh Pengarah Unit Perancang Negeri Sarawak, Datuk Ismawi Ismuni kepada akhbar ini.

Bagi Datuk Sri Najib Razak Datuk Seri Najib Tun Razak, Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia adalah dua hari kebesaran negara. Ia adalah tarikh keramat yang sama penting dan amat signifikan kepada seluruh warga Malaysia.

Tarikh 31 Ogos dan 16 September perlu dirai dan dihayati sepenuhnya setiap rakyat di negara ini tanpa mengira latar belakang.

Apa yang penting rakyat perlu menerima pembaharuan dengan mengorak langkah ke hadapan bersama-sama kerajaan merealisasikan hasrat mencapai status sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Tidak perlulah mempertikaikan mana yang lebih besar, sama ada 31 Ogos atau 16 September lebih bermakna kerana kedua-dua adalah tarikh keramat untuk negara dan paling penting, Sarawak sudah merdeka dalam Malaysia.

“Orang Barat kata, ‘no use looking back but let us looking forward’ (tidak ada guna bergerak ke belakang sebaliknya marilah bersama-sama menuju ke hadapan), dan ‘looking forward’ (menuju ke hadapan) itu menjadi negara Malaysia yang maju sepenuhnya dan berpendapatan tinggi," katanya berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Malaysia (MRTM) 2012 di Kampung Assyakirin, Bintulu, minggu lalu.

Pada sebelah malam ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia, Datuk Seri Najib menegaskan rakyat Malaysia tidak seharusnya membeza dan memisahkan diri antara satu sama lain. Setiap rakyat perlu bersatu sebagai satu keluarga besar tanpa mengira asal dari negeri mana.

Setiap rakyat dan negeri di dalam Malaysia saling bergantung dan memerlukan untuk mencapai kejayaan dan kemajuan. Pejuang terdahulu memerdekakan negara dan generasi sekarang memenuhi kemerdekaan negara dengan pelbagai kejayaan.

Jika pada zaman penjajahan dulu, negeri-negeri di Malaysia berdepan dengan dasar pecah dan perintah, kini hanya ada satu keluarga besar Malaysia.

Semangat itu, jika diteruskan akan membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih baik pada hari esok berbanding hari ini. Itulah janji besar kerajaan kepada rakyat Malaysia. “Kerajaan mempunyai matlamat  membawa Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020. Marilah bersama kerajaan menuju ke matlamat ke itu.”

Datuk Seri Najib menyifatkan pembabitan ramai golongan remaja dalam persembahan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia itu membolehkan mereka mengingati tarikh keramat ini sehinggalah menjadi pemimpin masa depan.

Sambil memuji Jawatankuasa Induk Hari Malaysia yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim kerana dua acara besar iaitu MRTM dan Hari Malaysia berjalan lancar, Datuk Seri Najib berharap rakyat akan terus memberi mandat kepada kerajaan BN meneruskan agenda.

BN, katanya, tidak pernah berjanji tanpa melunaskannya tetapi sejak merdeka, kerajaan sudah menepati janji mereka. Ini selaras dengan tema Hari Kemerdekaan ke 55 iaitu Janji Ditepati dan Hari Malaysia iaitu Janji Ditepati: Rakyat Sejahtera.

Melihat sambutan amat menggalakkan rakyat pada MRTM dan Majlis Sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu, ia memaparkan mereka yakin dengan janji Perdana Menteri untuk membawa Malaysia menjadi negara maju pada 2020.

Pada MRTM,  penulis melihat orang ramai berbaris sepanjang kira-kira satu kilometer seawal jam 4 petang untuk menyambut ketibaan dan bersalaman dengan Perdana Menteri selain memberikan ucapan semangat kepadanya.

Perdana Menteri mengambil masa 35 minit untuk sampai ke pentas kerana orang ramai mahu bersalam dengannya.  Mereka juga menjerit PM...PM. Malah, ada yang menjerit ‘I love u PM’.

Begitu juga pada sebelah malam, orang ramai dari sekitar Bintulu mulai datang sejak petang untuk menyaksikan persembahan tarian dan nyanyian lagu-lagu patriotik selain mendengar ucapan pemimpin negara.
Hidup Malaysia.


No comments: