Wednesday, September 5, 2012

MALAM PORAK PERANDA


Gelagat anak-anak muda ini bangga menunjukkan bendera baru untuk menggantikan Jalur Gemilang pada Perhimpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"SATU malam sahaja untuk porak-perandakan negara".
Itulah ungkapan pertama terpacul daripada mulut bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim ketika mengulas cubaan pihak tertentu untuk menukar Jalur Gemilang.
Ungkapan sama juga sebagai komennya terhadap insiden memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam ambang merdeka oleh pembangkang itu.
"Biadab, biadab, biadab. Saya hilang kata-kata melihat perbuatan tersebut. Inikah patriotik yang cuba disemaikan oleh pembangkang? Apakah mereka sudah tidak bertamadun?
''Jika tidak disukai sekalipun pemimpin itu, adakah aksi lucah mereka itu kita anggap demokrasi? Terkinja-kinja seperti monyet dengan balutan kuning 'Merdeka' di kepala?
"Bukankah kita dijanjikan sebuah perhimpunan yang aman? Mengapa benarkan perkara ini terjadi? Apakah peserta-peserta ini tidak cintakan negara mereka? Saya sendiri merasakan mereka tidak memahami apa itu erti merdeka kerana boleh melakukan perbuatan seumpama itu. Jika benar mereka itu patriotik, tidak mungkin mereka boleh bertindak sedemikian," tegasnya.
Ketika ditemui penulis di kediaman beliau di Sri Damansara, Kuala Lumpur malam kelmarin, Tunku Abdul Aziz menyelar pembangkang yang dilihatnya telah 'mempamerkan keupayaan' memporak perandakan negara dalam tempoh sehari sahaja dengan merosakkan sambutan Hari Kemerdekaan menggunakan perhimpunan 'Janji Bersih' di Dataran Merdeka dan sambutan di peringkat negeri Selangor.
"Bayangkan, selama 54 tahun kita telah menyambut hari kebangsaan dengan bersatu hati di bawah satu bumbung, mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu Negaraku dengan semangat patriotik, tetapi pada sambutan kali (ke-55) ini, terdapat segelintir rakyat Malaysia enggan mengakui kewujudan bendera yang kita hormati.
"Tidak cukup itu, mereka kelihatan begitu bangga mengibarkan pula bendera yang seakan-akan bendera dari Singapura dan Indonesia. Saya berasa patah hati melihat anak bangsa sendiri berkelakuan seperti tidak berakal kerana termakan tohmahan kumpulan berkepentingan yang mahu mengubah Jalur Gemilang.
"Perlu saya ingatkan golongan ini bahawa Jalur Gemilang adalah hak milik setiap rakyat Malaysia. Ia bukan bendera parti politik yang perlu diubah mengikut cita rasa pemerintah. Cubaan mengubah bendera rasmi sesuka hati adalah perbuatan yang saya anggap sebagai jijik dan hina," tegasnya.
Tunku Abdul Aziz berkata, pembangkang telah menyemai benih kebencian terhadap Jalur Gemilang dan beliau kelihatan sungguh yakin dengan agenda pembangkang yang mahukan pembentukan sebuah negara republik.
Kata beliau: "Saya harap rakyat dapat lihat ke manakah arah hala tuju pembangkang kini. Dalam sekelip mata saja, pelbagai keinginan serta perubahan-perubahan 'aneh' cuba dilakukan oleh mereka.
"Baru sahaja empat tahun memerintah, mereka sudah besar kepala seolah-olah telah memerintah negara selama 55 tahun. Saya tidak dapat bayangkan apakah kita masih bersatu padu, andainya diperintah oleh mereka yang hanya mempunyai kepentingan mereka sendiri. Saya tidak hairan andainya pembangkang bercita-cita untuk menukar negara ini kepada negara republik. Itulah kemungkinan besar jawapan saya," katanya.
Ini bukan kali pertama cubaan pakatan pembangkang memprovokasi Jalur Gemilang. Sebelum ini, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pernah bertindak di luar dugaan dengan menggelarkan Jalur Gemilangkepada 'Jalur Malang' tanpa sedikit pun perasaan bersalah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan pula lebih drastik dengan berjanji akan mengubah bendera Malaysia kepada bendera baru jika pembangkang berjaya ke Putrajaya. Malah dia enggan mengakui Jalur Gemilang sebagai bendera rasmi dan berdegil untuk tidak mengibarkan bendera Malaysia di mana-mana beliau berada sehingga kini.
Dalam temu bual itu, Tunku Aziz turut menempelak pemimpin atasan pakatan pembangkang yang tiba-tiba menuding jari kepada UMNO dengan menuduh tonggak Barisan Nasional (BN) itu sebagai dalang cubaan menukar Jalur Gemilangselepas rata-rata masyarakat Malaysia bangkit dengan amarah. Tetapi selang beberapa jam kemudian, didapati seorang pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) terlibat dalam mereka cipta bendera merah putih itu.
"Adalah menjadi amalan biasa pakatan itu untuk segera menuduh UMNO punca segala salah silap yang terjadi. Agaknya jika ada bencana alam pun, akan segera menuduh UMNO sebagai punca bencana alam itu terjadi," katanya.
Beliau turut membidas sikap peserta perhimpunan 'Janji Demokrasi' yang bertindak luar batasan dengan memijak potret Perdana Menteri dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Tidak cukup dengan itu, ada peserta bertindak melampau dengan melondehkan seluar pada gambar tersebut dan ditatap beberapa orang Melayu dengan siulan kegembiraan oleh anak-anak muda.
Demikian juga apabila kerajaan PKR Selangor membelakangkan peranan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan tidak menjemput baginda ke sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Selangor, insiden ini juga mendapat perhatian Tunku Abdul Aziz.
Kerajaan negeri berkenaan dilihat hanya membiarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang untuk menjadi orang kenamaan (VIP) dengan memberikan ucapan selama lebih setengah jam. Apakah ini seminar ekonomi atau majlis ceramah politik PKR?
"Apa lagi perubahan yang ingin dibuat oleh mereka? Bagaimana boleh bertindak sedemikian? Adakah ini gaya pembangkang apabila sampai ke Putrajaya kelak? Saya minta rakyat menilai sendiri betapa rakusnya pembangkang yang cuba mengambil tampuk kuasa dari kerajaan.
"Mereka (pembangkang) ini perlu 'dinilai' kembali oleh rakyat. Tidak melampau sekiranya saya katakan sedemikian kerana itulah yang saya rasa ketika saya meninggalkan mereka. Itu bukan kali pertama saya meninggalkan DAP, setelah dua bulan menyertai mereka, saya sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada mereka tetapi saya dipujuk rayu oleh mereka untuk terus tinggal dengan meyakinkan agenda ke Putrajaya adalah demi rakyat.
"Kononnya kehadiran saya adalah untuk menyelamatkan bangsa Melayu saya sendiri dari terus dihanyutkan oleh UMNO. Tetapi apabila saya meminta mereka supaya memberi peluang kepada saya untuk melakukan tanggungjawab menambah bilangan Melayu dalam DAP, mereka hanya mendiamkan diri. Seolah-olah DAP tidak perlu pemimpin Melayu lain kecuali saya seorang. Benarkah DAP itu parti untuk semua? Relevankah parti itu untuk Melayu," soalnya.
Nada Tunku Abdul Aziz dilihat amat kecewa apabila menyentuh tindakannya keluar DAP. Beliau bercakap seolah-olah telah lama meninggalkan parti pembangkang itu.
"Negara luar sedang memerhati bibit-bibit perpecahan yang sedang terjadi di negara kita. Selama ini kita boleh berbangga, pelbagai bangsa bawah satu bumbung. Mungkinkah ini masih relevan andainya mereka ini (pembangkang) memerintah?
"Adakah terlalu tinggi permintaan kita untuk hidup aman damai di bawah satu bumbung? Is it too much too ask? " soal Tunku Abdul Aziz.

No comments: