Tuesday, October 2, 2012

JAGALAH BAHASA MELAYU

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Salah satu masalah untuk mencari 'sound on tape' atau SOT atau 'sound bite' atau bahan percakapan bagi wartawan penyiaran dalam melengkapkan bahan berita mereka kebelakangan ini ialah masalah bahasa rojak yang diutarakan oleh pemimpin termasuk Menteri Kabinet.

Di satu sudut mereka selalu diingatkan agar tidak menggunakan bahasa rojak dalam SOT mereka tetapi mereka juga perlu mencari SOT yang boleh memperkuatkan bahan yang ditulis. Ini kerana berita yang tiada SOT dirasakan tidak lengkap dan bermakna.

Bagaimanapun, mereka menghadapi masalah kerana ada satu aliran ketika ini orang suka bercakap sekerat bahasa Melayu dan sekerat bahasa Inggeris yang menyukarkan mengambil SOT itu. Yang menghairankan mereka yang bercakap 'sekerat ular dan sekerat belut' tidak berasa bersalah berbuat demikian.

Oleh itu, mulai hari ini dinasihatkan pemimpin terutama Menteri Kabinet perlu memastikan mereka tidak merojakkan bahasa kebangsaan. Jika terlalu teringin sangat untuk bercakap bahasa Inggeris, cakaplah dengan ayat yang penuh. Begitu juga dalam bahasa Melayu juga perlu bercakap penuh dalam bahasa itu.

Jika pemimpin sendiri tidak menghormati bahasa kebangsaan dengan gemar bercakap rojak, tidak hairanlah pelajar dan golongan remaja akan mengikut jejak langkah pemimpin. Jangan sampai remaja kencing berlari kerana pemimpin kencing berdiri.

No comments: