Wednesday, October 24, 2012

M-WAVE DI PERSADA DUNIA

Oleh Ibrahim Yahaya
(Artikel ini disiarkan dalam Berita Harian hari ini)

Apakah Malaysia boleh berjaya dalam memasarkan budayanya ke persada dunia seperti Korea? Semestinya boleh dan perancangan bersepadu perlu dimulakan termasuk belajar bagaimana Korea memasarkan Gelombang-K atau K-Wave ke peringkat antarabangsa.

Penubuhan Kursi P Ramlee yang dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, minggu lalu boleh dijadikan langkah sepadu ke arah itu. Kursi bertujuan mencari kecemerlangan seni menerusi penyelidikan mampu memulihkan semangat dan mewujudkan kesedaran memartabatkan lagi seni budaya dan warisan negara.

Penyelidikan dalam kerjaya seni dan budaya, kata Dr Rais, bukan saja bermatlamat mencapai kemajuan tetapi memberi kesedaran kepada generasi baru berkaitan sejarah seni budaya negara.

Penggunaan nama Tan Sri P Ramlee bagi kursi ini adalah satu penghormatan kepada jasa dan sumbangan beliau. Pengajian menjejak pemikiran beliau perlu dicanai dan digilap kerana perjalanan yang memberi makna ini memerlukan segala daya yang dimiliki, akal, pancaindera dan ilham kerana banyak karyanya meneroka akal, perasaan sambil mencuit kalbu dan curahan rasa,” katanya ketika melancarkan Kursi P Ramlee dan penubuhan Pusat Penyelidikan, Kecemerlangan dan Kesarjanaan Artistik di Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA).

Dalam pada itu, ASWARA yang dipertanggungjawabkan mengendalikan Kursi P Ramlee pasti mempunyai misi memartabatkan kecemerlangan seni budaya dan warisan negara hingga ke peringkat antarabangsa. 

Rektor ASWARA, Profesor Dr Hatta Azad Khan memberitahu penulis pihaknya sudah bersedia memikul tanggungjawab itu.  Kursi P Ramlee akan menyediakan kemudahan dalam lima aspek utama yang boleh dilakukan sama ada secara terpisah atau secara timbal-balik atau saling berkait.

Kursi itu memberi peluang kepada seniman pelbagai bidang membuat penyelidikan mendalam bagi sesuatu idea atau konsep yang mereka temui untuk diperkembangkan menjadi suatu produk bermutu.

Ia boleh menentukan perkara atau tema bagi sesuatu projek, misalnya sebuah musikal, kemudian mengenal-pasti kumpulan yang boleh diberikan tugas bagi menjalankan penyelidikan dan memberikan hasilan dari pelbagai aspek seninya: penulisan skrip, lirik, gubahan muzik dan sinografi, yang boleh diketengahkan sebagai sebuah produksi lengkap.

Kursi P Ramlee juga akan terlibat dalam kegiatan menerbitkan kertas penyelidikan berkala dalam jurnal, buku serta menghasilkan skrip bagi produksi teater, filem dokumentari dan cereka serta skor musik untuk filem dan drama televisyen serta gubahan lagu untuk musikal dan koreografi.

Ia juga akan bertindak selaku pusat rujukan kepada penggiat industri untuk mendapatkan khidmat nasihat secara rundingan selain menghubungkan golongan pakar, pensyarah dan pelajar pasca-siswazah dengan pihak yang memerlukan khidmat kepakaran dalam semua aspek penerbitan.

Dr Hatta menerangkan Kursi P Ramlee boleh memberi latihan dengan menjalankan kursus, bengkel dan seminar kepada penggiat industri yang dibimbing oleh tenaga pakar dalam jaringan kerjasamanya. Hasil dari kursus dan latihan ini boleh dipertandingkan bagi memilih yang terbaik.

Bidang keutamaan bagi semua aspek penyelidikan, pengembangan ide serta kesarjanaan adalah yang berkait dengan kesenian industri termasuklah kelemahan paling ketara iaitu ketiadaan skrip lakonlayar yang bermutu dan boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, lakonan dan pengarahan juga adalah aspek yang tidak diberikan perhatian sewajarnya bagi menghidupkan persoalan, perwatakan dan persekitan sesebuah filem. Aspek lain yang turut memerlukan penekanan khusus adalah penataan, pengarahan seni, bidang tari dan aspek pengurusan serta pemasaran.  

Kursi P Ramlee, tegasnya, akan turut membuat  hubungan rangkaian bukan sahaja dengan pusat pengajian dalam dan luar negara, tetapi juga dengan institusi yang terlibat secara langsung memartabatkan kecemerlangan seni.

Semoga penubuhan Kursi P Ramlee ini dapat melahirkan tenaga pakar untuk memacu dan memperhebatkan usaha memasarkan Gelombang-M (Malaysia) atau M-Wave ke seluruh dunia seperti Korea dengan kehebatan K-Pop, fesyen dan dramanya. Ini secara langsung menaikkan imej Malaysia di persada antarabangsa.

No comments: