Thursday, October 4, 2012

MEMBUANAKAN MALAYSIA (2)


MML2012 - DUTA BUDAYA MALAYSIA DI EROPAH

Oleh Ibrahim Yahaya

Mengapa kita perlu mempromosikan seni budaya dan warisan Malaysia di luar negara? Sudah tentulah untuk memaparkan pakej kebudayaan, kesenian, hasil tani, makanan dan pelancongan ke persada dunia.

Program promosi seperti Minggu Malaysia London bertujuan meningkatkan lagi imej Malaysia di Eropah dan menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

Mereka pasti tertarik melawat Malaysia setelah menyaksikan pelbagai bentuk pameran produk makanan dan kraf tangan serta persembahan kebudayaan. Selain itu, ditonjolkan juga resipi perpaduan rakyat Malaysia.

Selain meningkatkan bilangan pelancong, masyarakat antarabangsa pasti semakin arif mengenai seni budaya dan warisan negara menerusi program promosi itu. Ini diperlihatkan dalam jumlah kutipan hasil jualan produk negara. Promosi di London dalam tempoh tiga tahun mulai 2006 mencatatkan jualan produk lebih RM1.8 juta.

Terbaru ialah usaha mengadakan promosi selama lima hari di Kota London anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) bersama Kementerian Pelancongan bermula 6 Oktober ini.  Program Minggu Malaysia London 2012 (MML2012) akan diadakan di South Bank, London.

Penyertaan Malaysia kali ke-4 ini yang bertemakan “Faces of 1Malaysia” akan memperkenalkan seni budaya, warisan dan kepelbagaian cara hidup di Malaysia yang mencerminkan kehidupan bersatu dalam kepelbagaian (unity in diversity) ke peringkat antarabangsa.

Berdasarkan statistik, pelaksanaan program MML pada 2006, 2007 dan 2008 mencatatkan rekod memberangsangkan kepada ekonomi negara dengan adanya pertambahan dari segi jumlah pelancong luar negara ke Malaysia pada tahun-tahun berkenaan.
Carta statistik kemasukan warga British dan Eropah ke Malaysia dari 2006 hingga 2008 adalah seperti berikut:

Tahun
British
Belanda
Perancis
Jerman
Itali
2006
252,035
46,065
49,378
66,171
26,248
2007
276,213
55,604
59,456
78,598
31,576
2008
370,591
90,802
86,030
111,525
38,945

Program MML yang diadakan sejak 2006 mendapat sambutan berdasarkan peningkatan pengunjung da jualan produk kraf serta makanan selama seminggu program diadakan.

MML pertama diadakan pada 17 hingga 21 Mei 2006 di Convent Garden, London. Ia mencatatkan kehadiran pengunjung 55,000 orang dari 68 negara. MML kedua diadakan pada 6 hinga 10 Jun 2007 di tempat yang sama mencatatkan kehadiran pengunjung 79,500 dari 68 buah negara.

Pada 30 Julai hingga 3 Ogos 2008, MML diadakan buat kali ketiga di Potters Fields Park, London. Perubahan tapak yang lebih sesuai  memaparkan peningkatan pengunjung kepada 117,152 orang dari 90 buah negara.

Kali ini, MML2012 akan dirasmikan oleh Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, pada 6 Oktober manakala penutupan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen pada 10 Oktober.

Sebanyak 25 buah gerai dibuka bagi melaksanakan program seminggu dengan pengisian beberapa aktiviti termasuk persembahan kebudayaan dan seni silat berkonsepkan 1Malaysia; demonstrasi kraf dan jualan kraf; pameran dan jualan karya-karya seni visual; peragaan fesyen dan tekstil dan permainan tradisional Malaysia.

Dr Rais yang pernah mengetuai delegasi Malaysia pada 2006  menganggap MML adalah duta budaya yang menampilkan kepelbagaian negara multietnik kepada masyarakat Eropah.

Baginya, ia satu pendedahan kepada generasi muda Eropah terutamanya di Kota London untuk mengenal Malaysia dari dekat dan melihatnya sebagai satu negara timur membangun dan maju.

MML juga mampu menonjolkan Malaysia sebagai negara bangsa Melayu, Cina, India dan pelbagai etnik lain mampu mengatur hidup tanpa masalah dan perpecahan sekalipun berlainan agama dan budaya. (rencana dalam akhbar Berita Harian hari ini).

No comments: