KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Singapura perlu bergabung tenaga dalam penyimpanan naskah serta rekod bagi memastikan warisan terus terjaga untuk masa hadapan.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata ini kerana kecenderungan pihak berwajib dalam menyimpan rekod sekarang tidak begitu tinggi berbanding zaman dahulu seperti surat-menyurat dan penyimpanan fail
"Selain itu, rekod-rekod yang berhubung dengan perkhidmatan, statistik, cerita lisan, ucapan jarang disimpan mengikut lunas-lunas yang kekal," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku biografi 'Zubir Said The Composer of Majulah Singapura' di sini Ahad.
Rais berkata bahan-bahan berhubung tradisi lisan misalnya pantun, peribahasa, bahasa indah, tradisi di Sabah dan Sarawak, perkampungan di pedalaman harus dirakamkan terus mulai sekarang.
"Tidak berapa lama lagi ia akan hilang oleh kerana cara hidup digital, media sosial tidak menggalakkan penulisan yang banyak ataupun menghantar surat," katanya.
Buku biografi setebal 279 muka surat itu ditulis oleh anak Zubir, Puan Sri Dr Rohana, mengisahkan tentang perjalanan muzik dan lagu-lagu ciptaan Allahyarham ayahnya itu dalam filem Melayu lama seperti Sayang Disayang, Bawang Putih Bawang Merah dan lagu kebangsaan Singapura, Majulah Singapura.- Bernama.
No comments:
Post a Comment