Monday, December 17, 2012

KAKI BOLA DAN TIADA BOLA

Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Menyaksikan perlawanan bolasepak antara Malaysia dan Thailand minggu lalu membuat hati penulis merasa gelisah dan hilang punca. Ini kerana melihat bagaimana pemain Thailand memperkotak-katikkan pemain negara hampir keseluruhan permainan. Amat menyedihkan.

Penulis dapat melihat bagaimana pemain Malaysia terkejar-kejar untuk mendapatkan bola daripada kaki pemain Thailand seolah-olah budak kecil yang dipermain-mainkan oleh abang mereka. Lebih malang lagi, setelah mereka mendapat bola, itulah kali terakhir mereka mendapatnya kerana segera disambar oleh pemain Thailand, negara yang satu ketika dulu pernah diratah oleh pasukan negara. Apa sudah jadi?

Adakah ini yang terjadi kepada bolasepak negara selepas kita pernah bercerita mengenai kehebatan Tauke, SuperMokh, Spiderman dan ramai lagi? Apakah prestasi pemain kita menurun sehingga dilihat sebagai budak-budak kecil yang mengejar bola dalam bulatan? Apakah prestasi orang lain meningkat tetapi pasukan kita terus dengan kaedah lama yang boleh dimasukkan ke dalam muzium?

Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah yang dilakukan oleh Datuk Rajagobal yang mendapat gaji lebih RM70,000 sehingga kita hanya berharap pada takdir untuk menang. Dalam ertikata lain, kita perlu melihat cuaca barulah tahu pasukan negara akan menang tetapi tidak pernah ada satu kekuatan yang menyatakan Malaysia mampu bermain dengan baik sepanjang masa walaupun kalah kerana takdir.

Oleh itu, bagi mereka yang berkepentingan dalam bidang bolasepak negara, sudah sampai masanya mencari formula terbaik untuk memastikan pemain negara tidak terus diaibkan sepanjang masa. Kita perlu ada pasukan yang benar-benar terbaik dan mampu bermain dengan baik sepanjang masa. Kita mahu Malaysia sentiasa digeruni bukan dipermainkan oleh pasukan lain yang semakin baik prestasi mereka.

Bagi yang ada bola, eloklah berbuat sesuatu untuk memastikan peminat Harimau Malaya yang semakin kuat menyokong pasukan kebangsaan terus bersemangat. Ini penting jika ia sudah berkubur, sukarlah untuk mencungkilnya semula terutamanya untuk mememenuhi stadium ketika perlawanan penting. Jangan kita ada bola tetapi dilihat sebagai tiada bola untuk berani melakukan pembaharuan.


No comments: