Wednesday, December 12, 2012

LIPUTAN JALUR LEBAR DI SABAH (2)


Oleh Ibrahim Yahaya

KUALA LUMPUR : Usaha untuk mempertingkatkan liputan jalur lebar di Sabah dijalankan dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan penduduk negeri itu mendapat khidmat yang terbaik.

Pada 2006, SKMM telah melaksanakan perkhidmatan telefoni melalui kerjasama dengan tiga pemberi perkhidmatan iaitu Telekom Malaysia, Celcom dan TT Dot Com. Sebanyak 22 lokasi dikenalpasti dengan kos pelaksanaan sebanyak RM135 juta. 

Seterusnya, sebanyak 20 Pusat Internet 1Malaysia dibangunkan. Pihak TM dan Celcom dilantik bagi menjalankan projek ini dan ia telah siap pada 2009. Kos pelaksanaan projek ini melebihi RM55 juta.

Bagi menambahbaik liputan selular, satu program pembinaan menara yang dinamakan sebagai Time 2 diwujudkan. Sebanyak 186 menara dibangunkan di Sabah oleh Syarikat Sokongan Kerajaan Negeri (SSKN), “State Backed Company (SBC)” dan penyedia perkhidmatan.

Dari segi infrastruktur jalur lebar, lebih kurang 108 ribu port ADSL disediakan oleh pemberi perkhidmatan bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap. Ini disokong oleh liputan jalur lebar tanpa wayar dan WiMAX. Sehingga 2009, liputan 3G adalah 59 peratus liputan di kawasan berpenduduk dan WiMAX 19 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan berjaya memberi kesan positif terhadap perkembangan jalur lebar di Sabah. Ini ditunjukkan oleh peningkatan 4.5 peratus pada 2006 kepada 14.5 peratus pada 2009.

Usaha-usaha yang dilaksanakan sebelum ini ditingkatkan pada 2010. Pada Mac 2010, Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) dilancarkan dengan pelbagai inisiatif baru di seluruh negara termasuk di negeri Sabah. Antara inisiatif  itu adalah Kampung Tanpa Wayar (KTW), Pusat Internet 1Malaysia di Pejabat Penerangan terpilih, pembinaan menara Time 3 dan pemberian komputer 1Malaysia.

Inisiatif KTW bertujuan untuk mewujudkan akses wifi di kampung-kampung bagi memudahkan capaian jalur lebar dan menghubungkan komuniti kepada teknologi maklumat. Sebanyak 513 KTW dirancang untuk dilaksanakan di seluruh Sabah. Sepanjang 2010 hingga 2011, sebanyak 145 KTW diwujudkan dengan kos melebihi RM11 juta.

Selain itu, SKMM juga turut bekerjasama dengan Jabatan Penerangan Malaysia bagi menyediakan capaian jalur lebar di premis-premis Jabatan Penerangan di seluruh Malaysia. 

Bagi Sabah, 23 premis Jabatan Penerangan dijadikan Pusat Internet dengan kos RM1.6 juta. Latihan turut diberikan kepada kakitangan Jabatan Penerangan yang terlibat. Ini membolehkan penduduk sekitar kawasan itu menikmati kemudahan Internet percuma.

Bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan pelajar sekolah, program pemberian komputer 1Malaysia telah diwujudkan. Setakat 2011, lebih 100 ribu unit komputer netbook diedarkan kepada penerima-penerima terpilih. 

Komputer netbook ini juga dipakejkan bersama dengan langganan jalur lebar mampu milik melalui kerjasama dengan penyedia perkhidmatan terlibat. Kos bagi program ini sepanjang 2010-2011 hampir mencecah RM100 juta.

Dari segi liputan selular, lebih kurang 900 buah menara akan dibangunkan di seluruh Negara. Daripada jumlah itu, 212 menara telah diperuntukkan untuk Sabah. Setakat 2011, sebanyak 137 menara siap dan beroperasi dan ini telah menelan belanja sebanyak RM200 juta.

Bagi memenuhi peningkatan trafik internet domestik, Kerajaan memperuntukkan RM45 juta bagi meluaskan rangkaian MyIX di seluruh Negara. 

Setakat ini, ada 8 nod di wilayah Tengah (3 nod), Utara (1 nod), Selatan (1 nod), Timur (1 nod), Sabah (1 nod) dan Sarawak (1 nod). Perluasan MyIX ke seluruh negara mengurangkan pertukaran kandungan Internet domestik di luar negara. Dengan adanya pertukaran kandungan internet domestik dalam negara, kos sewa litar antarabangsa dapat dikurangkan di samping menambah baik pengalaman pengguna internet domestik.

Usaha yang berterusan ini turut dilaksanakan oleh pihak pemberi perkhidmatan. Setakat 2011, sebanyak 160 ribu port ADSL disediakan dan 50 peratus daripada port tersebut digunakan. Liputan jalur lebat tanpa wayar turut bertambah di mana liputan 3G telah meningkat kepada 64 peratus liputan di kawasan berpenduduk. Liputan perkhidmatan WiMAX turut meningkat kepada 26 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Di peringkat Sabah, kadar penembusan jalur lebar telah meningkat lebih dari sekali ganda daripada 14.5 peratus pada 2009 kepada 33 peratus pada 2011. Peningkatan ini adalah atas bantuan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang dua tahun itu.

bersambung....

No comments: