(Artikel DIY pada 1 April lalu di Utusan Malaysia sempena Ulangtahun ke 64 RTM. Terima kasih Datuk Aziz dan Azman)
Oleh Ibrahim Yahaya
Hari ini (1 April), RTM menyambut ulang tahun ke-64. Ia diambil kira daripada tarikh penubuhan stesen radio yang dikenali Radio Malaya pada 1 April 1946 oleh pentadbir Inggeris yang mahu menyebarkan berita dan maklumat kepada penduduk negara ini.
Daripada elemen suara dan bunyi pada awalnya, dimanfaatkan pula perkembangan teknologi elemen visual seterusnya, maka lahirlah siaran televisyen pada 28 Disember 1963 yang dikenali sebagai Televisyen Malaysia.
Seterusnya, pengendalian stesen radio dan televisyen yang mulanya berasingan, digabungkan dalam sebuah organisasi penyiaran yang dikenali sebagai Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1969 membawa kepada bidang penyiaran ini terus berkembang sebagai media rasmi untuk menyebarluaskan dasar kerajaan kepada rakyat.
Selain itu, RTM yang menjadi jenama terunggul negara dulu dan sekarang, turut berusaha memupuk kesedaran dan membuka meminda masyarakat di samping menerapkan nilai-nilai murni ke arah hidup yang lebih sempurna. Ia mendidik rakyat agar sentiasa berjaya dan sempurna dalam kehidupan.
RTM juga mempunyai peranan besar dalam memupuk bakat sehingga berjaya melahirkan ramai artis serta karyawan muzik dan seni yang masyhur. Mereka inilah seterusnya memberi sumbangan kepada pembangunan industri seni muzik tanah air. Antara artis kelahiran RTM ialah Datuk Sudirman Arshad, Jamal Abdillah dan Datuk Siti Nurhaliza.
RTM juga bertanggungjawab melaporkan dan merakamkan peristiwa penting yang menjadi sejarah bangsa. Dalam merakamkan sejarah negara, sebenarnya perjalanan RTM sendiri yang bermula dari era awal dan meniti era pelbagai zaman hingga kini turut menjadi asas kepada perkembangan industri penyiaran negara.
Kini dalam era Gagasan 1Malaysia, RTM memikul tanggungjawab berat untuk memastikan rakyat sedar, memahami dan menghayati 1Malaysia. Ia bukan tugas mudah tetapi memerlukan perancangan teliti agar rakyat memahami tujuan gagasan itu yang berteraskan Perlembagaan Negara.
Penerangan dan penjelasan gagasan ini akan membolehkan rakyat terus mengamalkan pendekatan yang menekankan kepada gabungan perpaduan dan pengagihan kekayaan sama rata mengikut ketetapan Perlembagaan.
Untuk itu, RTM perlu menjadi terbaik. Sejak Mac lalu, usaha diadakan mengadakan tiga transformasi penting membabitkan budaya kerja, transformasi teknologi terkini dan mengubah persepsi rakyat untuk lebih menyukai RTM sepanjang masa. Promosi dan publisiti produk dan program RTM perlu dijadikan amalan sepanjang masa. Ini penting untuk membolehkan rakyat mengetahui program dan produk RTM.
Bagi penulis, tiada jalan pintas untuk menjadi yang terbaik. Ia memerlukan disiplin, kesungguhan kreativiti dan jati diri yang hebat bagi menghasilkan sesuatu yang luar biasa.
Apa yang lebih penting adalah untuk memastikan penghasilan yang terbaik itu perlu berterusan dan tidak bermusim. Ini yang perlu ada pada kalangan pejuang RTM agar memastikan RTM terus relevan dan terbaik sepanjang masa.
Sejak menerajui RTM pada Mac 2009, penulis mendapati ramai pejuang RTM mempunyai keupayaan untuk menjadi terbaik. Mengapa dipanggil pejuang? Mereka sanggup bekerja keras bagi menghasilkan produk dan program terbaik untuk penonton. Dalam kesejukan konti, mereka memberikan perkhidmatan kepada penonton dan pendengar.
Bagaimana untuk menjadi terbaik? Apa yang perlu ialah menggunakan ciri-ciri istimewa ini secara berkesan untuk membuahkan sesuatu yang terbaik. Mereka perlu mempunyai tahap disiplin yang tinggi bagi memastikan segala tugasan yang diberi dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.
Disiplin juga penting untuk memastikan pejuang RTM sentiasa konsisten dalam menghasilkan sesuatu produk agar penonton dan pendengar merasa puas sepanjang masa.
Pejuang RTM juga perlu ada kesungguhan untuk menghasilkan sesuatu yang dapat memenuhi cita rasa dan keperluan masyarakat umpamanya, pejuang bilik berita perlu menghasilkan berita menarik dan semasa agar penonton mendapat maklumat terkini. Kesungguhan untuk memberi persembahan berita yang menarik terutama membabitkan penggunaan ayat mudah dan grafik membolehkan penonton memahami apa yang ingin disampaikan. Tidak kabur dan mengelirukan.
Pejuang RTM juga perlu mempunyai jati diri agar mereka sentiasa memberikan produk yang membina negara bangsa. Ini penting sejajar peranan RTM sebagai jurucakap kerajaan. Segala dasar kerajaan perlu disebarluaskan agar rakyat menyedari, menghayati dan mengamalkan dalam kehidupan seharian.
Umpamanya gagasan 1Malaysia yang menjadi KPI utama RTM bagi memastikan rakyat memahami gagasan itu. Kejayaan RTM memperkenal dan menggunakan salam 1Malaysia adalah usaha permulaan yang berjaya ke arah menyedarkan rakyat terhadap gagasan itu.
Lagu 1Malaysia yang sering diputarkan oleh RTM membantu menyedarkan rakyat betapa perpaduan adalah satu aset berharga yang dimiliki oleh negara ini. Ia perlu dipupuk dan dibajai sepanjang masa agar ia subur dan terus berkembang.
Pejuang RTM juga perlu sentiasa bekerja sebagai satu pasukan yang mantap. Semangat berpasukan penting bagi menghasilkan produk terbaik. Umpamanya dalam menghasilkan berita; lebih 15 unit terbabit termasuklah wartawan/pengarang, jurusolek, penyampai dan lain-lain. Tanpa semangat perpaduan ini sudah tentulah berita yang dipersembahkan bukan yang terbaik.
Setiap individu perlu memastikan mereka memberikan hasil terbaik dan bukan bersikap sambil lewa sehingga mencacatkan persembahan berita. Ini bermakna pada tahap terakhir penghantaran siaran perlulah terbaik agar gambar yang diperolehi di kaca televisyen jelas dan terang.
Siaran yang kabur atau tanpa audio mencacatkan persembahan berita dan sudah tentulah RTM terus dipandang sepi atau tidak relevan lagi. Pejuang RTM perlu memberikan program yang dapat meningkatkan kepercayaan penonton dan pendengar agar terus setia menjadi teman RTM.
Bagi merakamkan perjalanan setahun penulis di RTM yang disifatkan sebagai kota angkasa diperturunkan bait-bait puisi yang dilafazkan hari ini dalam satu majlis istimewa di Angkasapuri.
KOTA ANGKASA
Kota Angkasa ini
Menyaksi dan mendengar sejarah bangsa
Sejarah duka
Khabar gembira,
Linangan air mata,
Kejayaan berharga
Sejarah kota
Kota Angkasa ini
Himpunan critera bangsa
Penuh nostalgia
Pentasan drama
Kota Angkasa ini
Merakam waktu,
Berita dan peristiwa
Dewasa
Bersama negara
Aku melangkah ke sini
Bukan dijemput
Tapi disambut
Rasa mahu menegakkan kota ini semula
Yang sudah pudar dan hambar
Tapi masih
Punya nyawa dan jiwa.
Wahai Pejuang...
Kita bangunkan semula kota angkasa ini
Sebaris persada dunia
Menegakkan martabat bangsa
Kita bukan orang sebarangan
Sebenarnya kita pahlawan medan
mampu buat kejutan
Segunung intan
Bagi penulis, RTM mampu menjadi terbaik dan memainkan terus peranan sebagai penyebar maklumat, ilmu pengetahuan dan hiburan, jika setiap petugas memberi komitmen sepenuhnya. RTM yang sudah sekian lama berjasa kepada negara dan perjuangan ini perlu diteruskan demi kepentingan negara bangsa. Saingan syarikat penyiaran swasta perlulah dijadikan rangsangan kepada petugas RTM untuk berkerja keras dan memperbaiki diri agar menjadi pejuang terbaik.
Saturday, April 3, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
syabas RTM sudah mencecah 64 tahun. Memang saya akui RTM banyak melakukan perubahan tetapi kadang kadang cerita yang ditayangkan sudah tidak lagi releven.
Maaf saya cakap tetapi filem inggeris dan cina yang ditayangkan sudah dianggap ketinggalan zaman. Seperti cerita Wolf dan filem cina yang saya lupa tajuknya yang ditayangkan pada hari ahad lepas.
Setiap tahun Hollywood dan Hong kong menghasilkan cerita cerita baru.
Mungkin RTM tidak dapat menyiarkan filem box office tahun ini tetapi diharapkan dapat siarkan filem box office 2 atau 3 tahun sebelum ini.
Janganlah diulang ulang cerita yang sudah ditayangkan bertahun tahun. Secara jujur saya akui ada filem yang ditayangkan sudah saya tonton ketika kecil lagi.
Harap Dato boleh perbaiki kelemahan begini.
Salam DIY & RTM
RTM Selamat menyambut ulang tahun ke 64
Datuk saya minta kerjasama RTM supaya satu RANCANGAN HIBURAN untuk kaum DAYAK disiarkan sebulan atau dua kali sebulan. Ketika ini boleh dikatakan 'zero % 'program Dayak.
RTM boleh bekerjasama dengan Dayak Artistes and Musicians Association (DAMA)untuk JV.
Post a Comment