Wednesday, October 6, 2010

KULI GALAS DUN GALAS (2)

Salah satu perkara penting dalam memenangi pilihanraya ialah strategi memenangi hati pengundi. Jika strategi betul, calon parti yang bertanding akan menang kerana ketika ini ramai pengundi di atas pagar seperti yang ada di DUN Galas. Dalam ertikata lain, jika parti yang bertanding mampu 'menambat hati' pengundi, merekalah yang mendapat undi.

Strategi ini termasuklah pendekatan untuk menambat hati pengundi menerusi program yang dilaksanakan. Zaman untuk menggunakan pendekatan pembangunan saja sudah berlalu kerana apa yang berlaku di PRK Sibu boleh dijadikan teladan dan sempadan. Walaupun banyak pembangunan dijanjikan di Sibu tetapi ia dimenangi oleh pembankang. Apa yang berlaku? Ini perlu dilihat dengan teliti terutama pengumuman pembangunan di malam terakhir ceramah PRK Sibu.

Apa yang salah dengan pendekatan pembangunan? Banyak analisis menyatakan bahawa penduduk Sibu tidak kisah lagi mengenai pembangunan tetapi mahukan perhatian lebih kepada nasib mereka terutama menyelesaikan masalah banjir dan kehidupan seharian. Oleh itu, pendekatan pembangunan saja tidak boleh menjanjikan pengundi memberi undi sebaliknya ia perlu digabungkan dengan pendekatan lain seperti komunikasi bersemuka, lawatan rumah ke rumah dan syarahan. Apa pula yang perlu dinyatakan ketika ceramah? Antaranya ialah sejarah baik BN dalam memastikan negara ini terus aman dan makmur. Paparan mengenai pelbagai pembangunan yang sudah dilaksanakan. Kepentingan untuk memastikan anasir luar tidak memecah-belahkan negara.

Apa yang tidak boleh dilakukan oleh BN berbanding lawannya ialah melemparkan tohmahan dan dakwaan sehingga mengelirukan pengundi di atas pagar. Ini kerana BN mempunyai integritinya sendiri terutama sebagai pemerintah di peringkat Persekutuan. Bagi pembangkang, mereka boleh menaburkan pelbagai janji dan tohmahan. Ini yang dilakukan selama ini sehinggakan janji PRU12 pun masih belum dilaksanakan. Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang masih terus menunggu dan ramai yang sudah menyatakan kehampaan.

Berbalik kepada Galas, BN sebagai pembangkang perlu mengutarakan kelemahan kerajaan negeri dalam membangunkan negara terutama dari segi penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan menyediakan pekerjaan di negeri. Ini ditambah dengan kegiatan pembalakan haram yang memberi kesan mendalam kepada penduduk di kawasan berkenaan terutama kekotoran yang berlaku dan masalah kehidupan sosial. Jika BN mampu membawa pendekatan kesilapan pemerintah ini terutama menyedarkan masyarakat bahawa mereka sebenarnya 'akan menghadapi masalah selama-lamanya' jika di bawah PAS maka ini secara tidak langsung membuka mata mereka. Bayangkan ketika hari raya juga, penduduk menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih. Sungai juga sudah berwarna cokelat yang tidak sesuai untuk mandi apatah lagi untuk dijadikan sumber minuman.

BN juga perlu menyedarkan penduduk tempatan mengenai tindakan kerajaan negeri yang seolah-olah menutup mata dan telinga walaupun pelbagai rintihan disuarakan oleh rakyat menerusi media massa. Mereka perlu memikirkan semula pemikiran taksub kepada pemimpin PAS kini tidak menjanjikan kehidupan yang lebih cerah pada masa akan datang. Apakah mereka tidak kisah hidup sebegini rupa di dunia dan bercita-cita tinggi untuk kehidupan yang lebih baik di akhirat? Jika mereka berfikiran begini, tolonglah bantu anak-anak yang menghadapi pelbagai masalah dengan kemudahan asas ini.

Seterusnya, BN perlu memikirkan pendekatan bersepadu agar semua program yang dilaksanakan tidak bertindan antara satu agensi dengan agensi yang lain. Memanglah usaha murni untuk membantu rakyat terutama ketika memerlukan dialu-alukan. Tetapi janganlah 'menyulitkan' penduduk untuk menghadiri pelbagai program dari pagi sehingga ke petang dan malam. Ini boleh menimbulkan rasa sakit hati dan memberikan kesan tidak baik. Program perlu disusun dengan baik terutamanya agensi yang terbabit secara langsung membantu penduduk setempat. Ini termasuk Jabatan Hal Ehwal Orang Asli yang perlu mengadakan program untuk orang Asli terutama 1,958 pengundi yang mengundi pada PRK kali ini. Adakan program yang menyedarkan mereka bahawa kini masa untuk berubah memilih calon BN.

2 comments:

jebat said...

Salam Takzim DIY,

Ku Li, chalun BN di GALAS = Pas menang.

Mr X chalun PAS di GALAS = PAS menang.

Ustaz Y chalon PKR di GALAS + (tersepit hilang Pertarohan)

Suara Perindu said...

DIY, saya setuju pendekatan kempen kena ubah. Cara dan kaedah kena sesuai dengan perubahan zaman. Utamakan apa yang rakyat mahu bukan apa yang kita boleh bagi. Inilah antara luahan penduduk tempatan yang saya jumpa.