Sunday, February 10, 2008

BANGUNLAH SELAGI TERDAYA...

Bangunlah selagi terdaya
Kenikmatannya menyusul seadanya
Doa ini menceritakan segala-galanya.

"Ya Allah, ya Tuhan-ku, hanya bagi Engkau segala puji-pujian, Engkau penegak langit dan bumi, dan alam semesta serta segala isinya. Dan hanya kepada Engkau segala puji-pujian. Hanya bagi Engkau-lah kerajaan langit dan bumi dan yang ada di dalamnya. Dan hanya bagi Engkau-lah segala puji, cahaya langit dan bumi, dan hanya bagi Engkau segala puji.

Engkau-lah yang hak, dan janji-Mu adalah benar, dan bertemu dengan Engkau adalah benar, dan firman-Mu adalah benar, dan syurga itu adalah benar, dan neraka itu adalah benar, dan Nabi-nabi itu adalah benar, dan Nabi Muhammad SAW adalah benar, dah hari Qiamat itu adalah benar.

Ya Allah, ya Tuhan-ku, hanya bagi Engkau aku berserah diri, dan kepada Engkau aku kembali, dan kepada Engkau aku rindu, dan kepada Engkau aku berhukum, ampunilah aku atas kesalahan (dosa) yang berlalu dan yang belum, dan dari dosa yang samar dan yang nyata. Engkau-lah Tuhan yang terdahulu dan tuhan yang terakhir, tidak ada yang disembah hanya Engkau. Dan tidak ada daya upaya, dan tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Engkau. Dan selawat atas Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW dan keluarganya serta sahabat-sahabatnya dengan keselamatan, dan puji-pujian bagi Allah SWT, Tuhan seru sekalian alam."

Saturday, February 9, 2008

JANGAN TAKSUB HINGGA MEMBENCI....

Dalam politik walaupun berlainan ideologi parti, orang politik tidak perlu bermusuh atau berdendam sehingga mahu menyakitkan hati orang lain.

Untuk memenangi hati rakyat, orang politik boleh berkempen bermacam cara untuk menerangkan ideologi mereka. Yang penting jangan terlalu taksub sehingga membenci orang lain. Ini penting demi memastikan demokrasi terus subur.

Ikutilah berita Bernama mengenai kisah Ahli Parlimen Merbok [ di sini ].

LKS MINTA IBU SEGALA ANG PAU

Pilihanraya Umum terakhir bagi Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang? Betul ke ni? Namun, itulah kenyataan pemimpin veteran DAP dalam perutusan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

Dalam berita Malaysiakini, LKS berkata pilihanraya umum kali ini mungkin yang terakhir baginya apabila Parlimen dijangka dibubarkan pada bila-bila masa bulan ini selepas 42 tahun aktif dalam politik.

Oleh itu, beliau berharap sempena ketibaan Tahun Tikus, para pengundi akan memberi 'ibu segala ang pau' dengan mengundi untuk perubahan dalam pilihanraya umum kali ini untuk generasi masa depan.

"Ini merupakan tahun ke-42 pembabitan saya dalam politik dan pilihanraya ke-10 dan mungkin yang terakhir yang akan saya sertai apabila Parlimen dibubarkan pada bila-bila masa dalam bulan ini," katanya.

(Renungan Rimau : Dalam politik, kata-kata "ini kali terakhir" tidaklah boleh dipercayai seratus peratus kerana orang politik akan tukar pendirian demi kelangsungan politik mereka. Apapun, eloklah berhenti sebelum terlambat untuk beribadat dan bergaul bersama cucu. Itupun kalau mahu berfikir untuk hari esok.)

Friday, February 8, 2008

BANGUNAN TIDAK SIAP MENYAKITKAN MATA

Jika anda ingin ke Puchong atau Putra Heights dari Summit, Subang Jaya, anda pasti akan melihat satu bangunan tinggi yang tidak siap di sebelah kiri. Saya rasa bangunan itu sudah berada di situ lebih daripada lima tahun dan kini menjadi tempat berteduh bagi sekumpulan orang yang ada kemungkinan pekerja asing. Saya tidak pasti sama ada mereka ada kebenaran untuk tinggal di situ tetapi sesiapa yang lalu di situ, waima Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbadaran Subang Jaya boleh melihat ada "makhluk asing" tinggal di bangunan berkenaan.

Apa yang ingin saya lontarkan di sini ialah bagaimana bangunan tinggi itu dibiarkan begitu saja sehingga menjadi sarang pelbagai "makhluk tuhan" termasuk kemungkinan tempat persembunyian penjenayah atau pekerja asing yang ingin tinggal percuma di negara ini. Bangunan tidak siap itu juga sudah pasti menjadi sarang tikus atau nyamuk, lipan, ular dan sebut saja apa jenis binatang yang mahu berteduh daripada panas dan hujan. Bangunan tidak siap itu sungguh menyakitkan mata.

Persoalannya, siapa yang bertanggungjawab untuk memastikan bangunan tidak siap itu diteruskan projeknya atau dirobohkan. Yang afdal ialah meneruskan projek itu agar pembelinya dapat "memiliki" lot mereka seperti yang sedang dilakukan oleh sebuah bank terhadap satu lagi bangunan tidak siap di Subang Jaya. Bangunan itu kini sudah diperbaiki dan kemungkinan akan diserahkan kepada pemilik tidak lama lagi. Bangunan yang menempatkan pangsapuri dan kompleks beli-belah itu kini sudah dicat dan dihias rapi untuk majlis pembukaannya. Itulah yang perlu dilakukan oleh pemaju projek dan bank yang membiayai projek berkenaan. Langkah bijak, menyenangkan hati.

Jika projek itu tidak boleh diteruskan kerana faktor tertentu, pihak berwajib perlu memastikan bangunan itu dirobohkan agar tidak menjadi sarang semua jenis makhluk di dunia ini. Jika pemaju atau bank mempunyai hak untuk menentukan kedudukan bangunan itu, orang lain juga ada hak sebagai rakyat di negara ini untuk memastikan bangunan itu tidak dibiarkan begitu lama sehingga menimbulkan masalah kepada orang ramai.

Pemilik dan penyewa rumah kedai berdekatan dengan bangunan tidak siap itu sudah pasti "sengsara atau tidak selesa" dengan keadaan bangunan itu apatah lagi ia membabitkan tempoh yang lama. Lagi lama dibiarkan, lagi menyakitkan mata.

Satu lagi projek tidak siap yang saya lihat pagi ini ialah projek perumahan pangsapuri mewah di Shah Alam berhampiran dengan lebuhraya persekutuan. Rumah kongsi yang banyak di projek itu terbiar dan tidak mustahil akan menjadi sarang tempat pelbagai makhluk tuhan bersembunyi. Tolonglah selesaikan masalah ini.

Thursday, February 7, 2008

KELANTAN OH KELANTAN...

Barisan Nasional (BN) memang serius untuk menawan Kelantan. Lepas satu lawatan diikuti dengan satu lagi lawatan oleh pemimpin Nombor Satu dan Nombor Dua negara. Mereka membawa mesej dan nasihat agar penduduk Kelantan memilih BN pada PRU akan datang.

Ini sejajar dengan usaha BN untuk membawa lebih banyak pembangunan ke negeri Cik Siti Wan Kembang seperti yang dilakukan di Terengganu. Walaupun banyak kritikan terhadap perlaksanaan Monsun Cup oleh kerajaan negeri kerana kekurangan maklumat tertentu, namun di bawah kepemimpinan Datuk Seri Idris Jusoh, banyak pembangunan telah dilakukan demi kepentingan penduduk Terengganu.

Oleh itu, Pak Lah dan Pak Najib sentiasa menasihati penduduk Kelantan untuk memikirkan masa depan anak-anak mereka. Pelaksanaan Koridor Pembangunan Wilayah Timur (ECER)yang diterajui oleh Petronas banyak menjanjikan satu transformasi ekonomi bagi penduduk di Pantai Timur termasuk Kelantan.

Terpulanglah penduduk Kelantan untuk membuat pilihan pada PRU 12. Mereka boleh terus berada di bawah pemerintahan Kerajaan PAS Kelantan atau memilih BN demi untuk kepentingan generasi akan datang. Tepuk dada.....

Ikuti berita Bernama [ di sini ] mengenai lawatan Pak Najib ke Kelantan, Sabtu ini. Baca juga cerita Rosli Ismail mengenai [ Datuk Seri Annuar Musa ] yang bertungkus-lumus untuk menawan Kelantan.

BANYAKKAN MAKANAN DAN MINUMAN...

Semalam, Cynta, Iyra dan saya mencuba sebuah restoran baru di Putra Point, Putra Heights. Taman perumahan terbaru di Subang Jaya. Baru dibuka dan pelanggan pun tidak ramai. Dari segi presentation bolehlah lawan restoran Kopitiam yang banyak di Lembah Klang, dengan kerusi dan meja marble. Mungkin kerana baru, pelayan pun tiga orang saja. Merekalah yang ambil order dan kemas meja.

Apabila menu diberikan kepada kami banyaklah makanan yang tertera dipotong dengan dakwat biru kerana tiada lagi ditawarkan. Kami pun menempah makanan yang tidak dipotong. Namun, pelayan datang semula dan memberitahu kami, makanan itu sudah habis. Mungkin mereka buat sedikit dan sudah habis ditempah. Kami cuba memahaminya.

Kami orderlah roti bakar dua set, telor setengah masak empat biji, cokelat cake, jelly, dua esprit oren, horlick dan teh tarik. Bilnya RM36. Boleh tahan juga.

Namun, demi menyokong restoran Melayu, kami akan datang lagi. Diharapkan banyaklah makanan yang ditawarkan lagi dan roti bakar itu perlu diperkemaskan. Bukan macam saya buat di rumah tetapi seperti yang disediakan di Kopitiam.

Selamat Maju Jaya, restoran Melayu.

Baca mengenai makanan Malaysia [ di sini ].

Wednesday, February 6, 2008

KJ BAKAL AHLI PARLIMEN? ANGGOTA KABINET?

Apabila sebut KJ pelbagai nama akan timbul termasuklah Kamaruddin Jaafar, Kadir Jasin atau Khalid Jaafar. Tetapi KJ yang menjadi sebutan orang, sama ada ahli UMNO atau parti pembangkang ialah Khairy Jamaluddin. Ramai yang mencebek muka apabila nama itu disebut tetapi ramai juga yang menyanjungi anak muda ini. Malah beliau pernah disamakan sebagai Tun Dr Mahathir Mohamad ketika "muda" oleh seorang penulis rencana akhbar The Star. Tulisan itu juga menerima banyak kritikan dalam blog persendirian. Sesetengah pihak berpendapat "jauh panggang daripada api".

Namun, yang jelas KJ sudah pasti akan bertanding dalam PRU 12 jika beliau mahu mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri pada usia 40 tahun. Setelah menjadi Ahli Parlimen, KJ sudah pasti dilantik setidak-tidaknya sebagai Timbalan Menteri kanan sama ada Timbalan Menteri Kewangan atau Timbalan Menteri Dalam Negeri. Sama-sama kita tunggu perkembangan yang menarik ini.

Ikuti berita Bernama [ di sini ] mengenai percalonan KJ pada PRU akan datang.

SELAMAT TAHUN BARU CINA

Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakyat Malaysia amnya dan semua kaum Cina di negara ini khasnya.

Tidak lupa kepada dua Yap iaitu Yap Bee Lee serta Yap Shy Chuan dan rakan lain seperti Wee Yu Meng, Wee You Lee, David Teoh serta jiran, Mr & Mrs Lim.

Semoga tahun baru ini akan membawa kemakmuran kepada negara.

NADZIM AHMAD MENINGGALKAN KITA

Wartawan Harian Metro, Nadzim Ahmad Jamaluddin, kembali ke rahmatullah pagi ini di Kampung Melayu Tambahan Ampang.

Kawannya, Rizal Hashim memberitahu Dunia Tiger pagi ini.

Al-fatihah untuk Allahyarham. Semoga Allah SWT menempatkan rohnya bersama orang-orang yang soleh.

Takziah kepada keluarganya.

Tuesday, February 5, 2008

KISAH BENAR : DUITMU MELIMPAH

Kisah yang diceritakan oleh kawanku hari ini.....

Aku yakin perniagaan boleh mendatangkan kemewahan. Malah, itulah ajaran agamaku.

Oleh itu, aku sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat seberapa banyak projek pembinaan rumah dan landscaping selagi masih muda. Ini mengikut nasihat seorang kawanku yang sudah kaya raya bahawa "golden years" individu tertentu ialah ketika berusia antara 25 hingga 35 tahun. Ketika itu, kena "pulun" habis-habisan kerana selepas itu sudah kena masuk gear lima dan badan pun cepat letih.

Kalau dalam tempoh golden years itu, jika ahli perniagaan tidur jam 4 pagi, beliau boleh bangun jam 6 pagi tanpa masalah untuk pergi berjumpa client jam 7 pagi. Badan tetap segar dan matapun bulat. Jika sudah melangkau 36 tahun ke atas, badan automatik akan menjadi lemah dan kurang bertenaga. Tidak seperti ketika berusia golden years. Golden years bukanlah waktu warga emas tetapi waktu ranum.

Bahan yang hendak aku cerita bukanlah golden years tetapi duit berguni-guni ahli perniagaan. Baru-baru ini, aku diminta membuat projek pembinaan rumah seorang ahli perniagaan muda yang mendapat kontrak GLC. Beliau baru berusia 30 puluhan tetapi mendapat projek dikatakan hampir RM1 bilion. Amboi banyaknya.Tidak hairanlah serba-serbi mewah. Duit melimpah ruah. Buat rumah pun tidak perlu memikirkan duit kerana baginya "sky is the limit". Anak-anaknya juga mewah dengan pelbagai barangan dibelikan. Jam pun berharga lebih RM100,000 dan dibayar dengan tunai. Berat juga hendak membawa wang tunai yang banyak. Dulu ada duit kertas seribu, ringanlah sikit tetapi selepas ditiadakan, maka kena membawa gunilah untuk membayar harga dua tiga jam. Kaya, sungguh kaya.

Aku terduduk juga mendengar projek yang diperolehinya. Aku yang berusia 50 tahun ini belum dapat lagi projek satu juta. Habis tinggi ialah RM600,000 dan untungnya hanyalah antara 15 hingga 25 peratus. Tetapi ini RM1 bilion. Betul ke ni? Aduh pening memikirkannya. Banyaknya, tidak perlu bersusah payah lagi.

Namun, aku berharap insan ini haruslah berwaspada dengan kemewahannya kerana ketika muda inilah pelbagai dugaan dan cabaran akan datang. Melainkan imannya kuat. Perlu banyak meminta bantuan daripada tuhan untuk melindungi kepentingannya. Kepentingan peribadi, kepentingan keluarga dan yang penting nyawa anak-anak. Duit banyak, sudah tentu banyak pihak yang akan mengintai sepanjang masa.