Friday, February 8, 2008

BANGUNAN TIDAK SIAP MENYAKITKAN MATA

Jika anda ingin ke Puchong atau Putra Heights dari Summit, Subang Jaya, anda pasti akan melihat satu bangunan tinggi yang tidak siap di sebelah kiri. Saya rasa bangunan itu sudah berada di situ lebih daripada lima tahun dan kini menjadi tempat berteduh bagi sekumpulan orang yang ada kemungkinan pekerja asing. Saya tidak pasti sama ada mereka ada kebenaran untuk tinggal di situ tetapi sesiapa yang lalu di situ, waima Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbadaran Subang Jaya boleh melihat ada "makhluk asing" tinggal di bangunan berkenaan.

Apa yang ingin saya lontarkan di sini ialah bagaimana bangunan tinggi itu dibiarkan begitu saja sehingga menjadi sarang pelbagai "makhluk tuhan" termasuk kemungkinan tempat persembunyian penjenayah atau pekerja asing yang ingin tinggal percuma di negara ini. Bangunan tidak siap itu juga sudah pasti menjadi sarang tikus atau nyamuk, lipan, ular dan sebut saja apa jenis binatang yang mahu berteduh daripada panas dan hujan. Bangunan tidak siap itu sungguh menyakitkan mata.

Persoalannya, siapa yang bertanggungjawab untuk memastikan bangunan tidak siap itu diteruskan projeknya atau dirobohkan. Yang afdal ialah meneruskan projek itu agar pembelinya dapat "memiliki" lot mereka seperti yang sedang dilakukan oleh sebuah bank terhadap satu lagi bangunan tidak siap di Subang Jaya. Bangunan itu kini sudah diperbaiki dan kemungkinan akan diserahkan kepada pemilik tidak lama lagi. Bangunan yang menempatkan pangsapuri dan kompleks beli-belah itu kini sudah dicat dan dihias rapi untuk majlis pembukaannya. Itulah yang perlu dilakukan oleh pemaju projek dan bank yang membiayai projek berkenaan. Langkah bijak, menyenangkan hati.

Jika projek itu tidak boleh diteruskan kerana faktor tertentu, pihak berwajib perlu memastikan bangunan itu dirobohkan agar tidak menjadi sarang semua jenis makhluk di dunia ini. Jika pemaju atau bank mempunyai hak untuk menentukan kedudukan bangunan itu, orang lain juga ada hak sebagai rakyat di negara ini untuk memastikan bangunan itu tidak dibiarkan begitu lama sehingga menimbulkan masalah kepada orang ramai.

Pemilik dan penyewa rumah kedai berdekatan dengan bangunan tidak siap itu sudah pasti "sengsara atau tidak selesa" dengan keadaan bangunan itu apatah lagi ia membabitkan tempoh yang lama. Lagi lama dibiarkan, lagi menyakitkan mata.

Satu lagi projek tidak siap yang saya lihat pagi ini ialah projek perumahan pangsapuri mewah di Shah Alam berhampiran dengan lebuhraya persekutuan. Rumah kongsi yang banyak di projek itu terbiar dan tidak mustahil akan menjadi sarang tempat pelbagai makhluk tuhan bersembunyi. Tolonglah selesaikan masalah ini.

No comments: