Wednesday, June 30, 2010

PERTEMUAN BEKAS ROTU - 10 JULAI

(Sarjan Platun 3 (hujung kiri) yang tunduk sopan ketika makan. Siapa gerangan?)

PERTEMUAN BEKAS ROTU ITM/UITM AKAN DIADAKAN PADA 10 JULAI INI. SELAMAT BERTEMU, BERSEMBANG DAN MENGENANGKAN KISAH SILAM. YANG PASTI ADA YANG SUDAH BULAT DAN LONJONG. MAKLUMLAH SEMUA SUDAH JADI 'ORANG BESAR'. PEERRRGGH.

SALAH JUAL MAKLUMAT PERIBADI

KUALA LUMPUR 29 Jun - Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (SPDP) yang akan beroperasi Januari tahun depan tidak akan membenarkan syarikat-syarikat rujukan kredit menyimpan data-data peribadi orang ramai tanpa kebenaran.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberitahu, syarikat rujukan kredit seperti Credit Tips Off Sdn. Bhd., (CTOS) akan diarahkan menghapuskan segala data-data peribadi yang terkandung dalam simpanan data syarikat tersebut.

"SPDP akan memastikan data-data peribadi orang ramai termasuk data kebankrapan, kewangan, perkahwinan dan kesihatan tidak disimpan mana-mana syarikat rujukan kredit tanpa kebenaran bertulis individu terlibat.

"Syarikat terbabit tidak lagi boleh bergerak seperti biasa. Suruhanjaya ini akan mengenakan beberapa syarat dan sebelum syarat ini dipenuhi maka ia tidak boleh beroperasi seperti sedia kala," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 kepada 772 kakitangan kementerian di sini hari ini.

Turut hadir dua timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Datuk Maglin Dennis D'cruz serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf.

SPDP dibentuk melalui Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi yang diluluskan oleh Parlimen pada Oktober lalu.

Undang-undang itu bagi mengawal selia pemprosesan data peribadi mana-mana individu dan bagi menjaga kepentingan haknya daripada disalah guna oleh pihak tertentu.

Rais berkata, SPDP juga berkait rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana ia menggunakan ilmu forensik komputer.

"Pesuruhjaya suruhanjaya itu pun bukan calang-calang orang, beliau perlu terlatih dalam soal-siasat, pemeriksaan balas dalam persoalan mahkamah serta lain-lain," tambah beliau.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rais berkata, kakitangan awam tidak perlu berasa selesa dengan pencapaian pada masa kini tetapi apa yang penting adalah bagaimana untuk mengekalkan pencapaian tersebut di masa hadapan.

"Hendak kekal pencapaian bukan senang, tetapi sukar, dalam hidup kita sentiasa dilumbai, keadaan dalam perkhidmatan yang statik dan tidak perlu ditokok tambah adalah sifat yang tidak baik, jadi kita perlu taruh dalam diri bahawa bulan depan tentu kita lebih cemerlang lagi," katanya.

Rais berkata, setiap kali menerima ganjaran, kakitangan awam perlu berkhidmat dengan lebih lagi kepada kerajaan dan negara serta rakyat.

"Kita utamakan rakyat dan pencapaian kita, saya minta pegawai bangkit, berjuang bersatu dalam gagasan 1Malaysia, semestinya kita mesti garap bersama," katanya.

(Renungan Rimau : Kegiatan jual data peribadi ini perlu dihapuskan. Ini kerana mereka boleh membuat 1001 perkara terhadap maklumat peribadi kita. Ada yang kurang ajar memanggil kita pada waktu maghrib semata-mata untuk menjual barangan atau perkhidmatan mereka. Memang kurang ajar dan tidak memahami orang sibuk hendak solat ketika itu. Ada yang kacau ketika kita bermesyuarat. Tapi yang lebih teruk ialah menggunakan maklumat orang lain untuk membuat pinjaman wang atau membuat sesuatu yang tidak baik. Mari kita memerangi orang macam ini.)

Monday, June 28, 2010

TAKZIAH PEMINAT ENGLAND

Malam tadi, Rofee menghantar ucapan takziah kepada DIY. England bungkus. Jawapan kepadanya ringkas. 'Takziah diterima. Sudah mengetahuinya sejak azali lagi.'. DIY tahu pencapaian pasukan bolasepak England tidak akan sampai kemana. Cukup untuk memeriahkan Piala Dunia dan sekali sekala membuat kejutan dengan sentuhan emas. Kali ini, semuanya hancur. Rooney seperti badut yang lari ke sana ke mari.

Apapun, dalam perlawanan, pasukan bukan saja menghadapi lawan tetapi pengadil dan penjaga garisan. Jika pengadil tidak berapa cekap, maka merana badanlah kita. Jika penjaga garisan tidak berani dan buta, maka bengkaklah hati kita. Sudah nasib badan.

Malam tadi, jaringan Lampard tidak dikira walaupun bola sudah sah masuk ke dalam gol. Tayangan semula menceritakan segala-galanya. Tidak dikira. Ini gara-gara penjaga garisan tidak berani menyatakan bola itu sudah masuk. Wahai penjaga garisan, kamu tengok apa malam tadi? Pengadil dari Uruguay juga 'percaya sangat' dengan penjaga garisan walaupun beliau hampir dengan kotak penalti. Sudah nasib badan.

Jika gol itu dikira, ada kemungkinan keputusan mungkin berbeza terutama selepas separuh masa kedua. Ada kemungkinan England mampu untuk melangkah ke suku akhir. Semuanya tidak menjadi dan serangan pantas pasukan Jerman melenyapkan impian.

Bagaimanapun, pasukan Jerman yang menurunkan pemain muda beraksi dengan baik dengan serangan bertali arus dan sistematik. Pasukan ini, mampu menjadi juara kali ini jika mereka berjaya menaikkan tahap daripada pasukan muda kepada pasukan mantap. Pasukan ini akan terus 'menghantui' pasukan lain dalam dua lagi Piala Dunia akan datang. Ramai pemain mereka berumur antara 20 hingga 25 tahun saja. Malaysia? Alahai.

Sunday, June 27, 2010

BENGKEL TRANSFORMASI RTM

Selama dua hari pejuang RTM berkampung di sebuah hotel di Bangi untuk membincangkan pelbagai perkara yang membabitkan kelemahan, kekurangan dan kekuatan organisasi yang berusia 64 tahun dan dewasa bersama negara. Santai, adakalanya serius.

Sebenarnya RTM perlu memastikan kecemerlangan selama ini diteruskan dengan pendekatan terbaru yang lebih dinamik, kreatif, menarik, semasa dan idea di luar lingkungan terutama dalam menyebarluaskan program terbaru kerajaan iaitu Gagasan 1Malaysia.

Sebagai tonggak utama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, RTM selalu diperhati dan dipantau dari setiap segi terutama Bahagian Berita dan Ehwal Semasa (BES) selain Bahagian Perolehan Filem yang menjadi tumpuan industri kreatif.

RTM mahu dilihat sebagai saluran penyiaran yang mampu mententeramkan rakyat ketika sesuatu dasar radikal dilaksanakan. Dasar yang tidak dipolitikkan tidak susah untuk disebarluaskan. Menceritakan kesulitan kerajaan jika amalan subsidi diteruskan di samping menangkis pembohongan yang sengaja dibuat terhadap kerajaan. Apalah kata...Felda Dah Bankrap. Ish...ishh..ishh.

Sejajar sebagai jurucakap kerajaan, RTM sentiasa dikehendaki mendokong progam terbaru kerajaan agar rakyat mengetahui, memahami dan mengamalkan dasar itu. Empat tumpuan utama kerajaan sekarang ialah Gagasan 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baharu Ekonomi(MBE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

BLACK STARS KE SUKU AKHIR

RUSTENBURG - Wakil tunggal Afrika, Ghana mencipta sejarah layak ke peringkat suku akhir buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara itu selepas cemerlang mengalahkan Amerika Syarikat (AS) 2-1 dalam perlawanan yang berlanjutan masa tambahan, awal pagi tadi.

Ghana terlebih dahulu mendahului pada minit ke-5 melalui jaringan Kevin Prince-Boateng namun AS menyamakan kedudukan selepas mendapat sepakan penalti yang disempurnakan oleh Landon Donovan pada minit ke-62.

Asamoah Gyan muncul wira Ghana pada masa tambahan apabila jaringannya pada minit ke-93 membantu Black Stars bertemu Uruguay pada 3 Julai nanti. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Semangat juang kental yang berjaya menghasilkan kejayaan di peringkat antarabangsa. Alangkah bagusnya jika semua pasukan sukan negara mempunyai semangat seperti itu. Alahai...)

Saturday, June 26, 2010

ULAMA MASUK UMNO

FADLAN Mohd. Othman mewakili 40 ulama menyerahkan borang keahlian UMNO mereka kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak, di PWTC Kuala Lumpur, 26 Jun. Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan). - Utusan/SHAIFUDIN MOHD. NOR.

Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK dan MOHD. FIRDAUS ISMAIL

KUALA LUMPUR 25 Jun – Seramai 40 orang terdiri daripada ulama muda dari seluruh negara hari ini menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penyerahan borang keahlian dilakukan di hadapan Galeri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO bermula.

Ia turut disaksikan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli MT yang juga bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Wakil kumpulan ulama itu, Dr. Fadlan Mohd. Othman, 35, berkata, penyertaan mereka bertujuan untuk bekerjasama dengan parti itu dalam perkara yang berkaitan keagamaan dan kerohanian.

“Banyak perbincangan telah dibuat (mengenai persetujuan untuk menyertai UMNO), cuma kita berharap penyertaan ini akan dapat menyemarakkan lagi usaha-usaha keagamaan yang sedia ada dalam parti.

“Kemasukan ini bukan berlandaskan politik dan bukan bertujuan untuk melaga-lagakan mana-mana pihak.

“Kami optimis terhadap ruang-ruang yang boleh dilaksanakan untuk mendekati dan membina jati diri golongan muda,” kata Fadlan yang juga pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan borang itu.

Ditanya mengapa tidak memilih untuk menyertai Pas, Fadlan berkata: “Dalam Pas pun sudah banyak ulama.”

Turut menyertai kumpulan itu ialah dua anak kepada bekas Mufti Perlis, Datuk Mat Jahaya Hussin iaitu Fathul Bari dan Mohd. Khairi.

Dalam pada itu, Fathul Bari, 29, berkata, langkah mereka menyertai UMNO berikutan janji parti itu untuk memastikan pihak ilmuwan dapat meneruskan kerja-kerja dakwah mereka.

“Tawaran seperti ini memang dinantikan oleh sesiapa sahaja. Sebagai seorang penuntut ilmu dan pemberi ilmu memang menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga penasihat agama Institut Jantung Negara berkata, penyertaan mereka juga membolehkan kumpulan itu memberi cadangan kepada UMNO mengenai penambahbaikan program-program keagamaan yang sedia ada.

Sementara itu, Shahidan berkata, kehadiran ulama tersebut bukan bertujuan untuk mengancam mana-mana pihak tetapi patut dilihat sebagai platform membina golongan muda yang mempunyai jati diri positif.

“Ini sedikit sumbangan ke arah membina masa depan yang baik. Mereka masuk UMNO sebab diberikan ruang berdakwah yang luas dan kemas,” katanya.

Ditanya mengenai ura-ura bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin untuk menganggotai UMNO, Shahidan berkata, Mohd. Asri akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Beliau menambah, seramai 10 lagi ulama dijangka menyerahkan borang keahlian UMNO dalam tempoh terdekat. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Ulama muda lebih percaya UMNO daripada Pas? Mungkin kerana PAS bukan saja bersekongkol dengan DAP tetapi cakap sini lain, cakap sana lain. Jangan buat macam itu, nanti pasal politik, maruah agama pula dijual. Cuba fikir-fikirkanlah).

Friday, June 25, 2010

OH ENGLAND.....OH ENGLAND

England lepas juga ke pusingan kedua.

Walaupun permainan tidak konsisten, mereka bernasib baik berjaya ke pusingan seterusnya.

Tapi kali ini England mungkin tidak bernasib baik jika mereka terus bermain seperti itu. Main cantik tetapi tiada finishing touch. Maksudnya tiada gol, tiada kemenangan. Entah di mana Rooney atau Eskey. Ada.....macam tiada.

Kali ini mereka akan bermain dengan Jerman. Peerrgh. Pasti memedihkan.

England.....oh England.....tolonglah bangun dari tidurmu.

Thursday, June 24, 2010

TAK TEGANG LAGI - INILAH BAGUS



(Renungan Rimau : Inilah bagus. Jangan gaduh. Tidak payah ungkit mengungkit. Tiada siapa yang untung. Datuk Ibrahim dan Datuk Wee bergelak ketawa. Datuk Idris jadi apa? Pendamai kot. - Gambar AGENDADAILY)

KHAIRY PERTAHANKAN KA SIONG

KUALA LUMPUR 23 Jun – Dakwaan bahawa Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong telah mempersoalkan kontrak sosial dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan adalah keterlaluan dan tidak berasas.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak membuat dakwaan itu kerana kenyataan Ka Siong hanya bertujuan meminta supaya pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diteruskan.

‘‘Apabila saya mendengar kenyataan asal yang direkodkan dan daripada penjelasan Ka Siong, saya rasa tidak ada ruang nak buat tafsiran bahawa kenyataan ini bersifat perkauman dan tidak menghormati hak serta kedudukan bumiputera,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sidang akhbar yang turut disertai Ka Siong itu bertujuan memberi penjelasan berhubung dakwaan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali semalam bahawa kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran itu adalah biadab, berunsur perkauman serta cuba mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu.

Kemarahan Ibrahim itu berpunca daripada kenyataan Ka Siong sewaktu mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa JPA akan menghentikan secara berperingkat pemberian biasiswa kepada 1,500 pelajar bagi mengikuti kursus ijazah sarjana muda di luar negara mulai tahun depan.

Akhbar The Star pada 16 Jun lalu melaporkan Ka Siong mempersoalkan adakah program biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk pelajar bumiputera turut dihentikan seperti biasiswa JPA.

Kata Ketua Pemuda MCA itu, jika kerajaan hanya melakukannya kepada biasiswa JPA tetapi mengekalkan biasiswa Mara, ia tidak selari dengan konsep 1Malaysia yang dipromosikan kerajaan.

Khairy berkata, Ka Siong hanya ingin menyatakan bahawa biasiswa JPA itu adalah satu-satunya peluang untuk pelajar bukan bumiputera mendapat biasiswa daripada kerajaan.

‘‘Jadi dia kata, apakah perasaan masyarakat bumiputera sekiranya biasiswa dan pinjaman Mara ini ditarik balik,” katanya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, Ibrahim mungkin tidak perasan bahawa tindakan Ka Siong itu juga adalah bagi mempertahankan pemberian biasiswa untuk orang Melayu kerana majoriti yang memperoleh biasiswa JPA adalah di kalangan kaum itu.

‘‘Saya tidak faham mengapa ini dipersoalkan Perkasa. Mungkin cara kenyataan ini dilaporkan (akhbar) boleh menimbulkan persoalan tapi apabila saya mendengar kenyataan asal, ia tidak mempunyai unsur perkauman,” katanya. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Ahh sudah. Apa sudah jadi?)

Wednesday, June 23, 2010

KA SIONG BIADAB - IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Jun - "Orang biadab tidak layak berada dalam Kabinet."

Itu kenyataan keras Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong yang dianggapnya tidak memahami Perlembagaan negara.

Ibrahim juga mendakwa Ka Siong mempunyai sentimen perkauman tebal apabila mempertikaikan hak bumiputera untuk mendapatkan biasiswa.

Beliau berkata, Ka Siong sebagai Ketua Pemuda MCA memang berhak membuat desakan terhadap kerajaan namun beliau tidak boleh melanggar sempadan berhubung hak-hak orang Melayu.

"Kenyataan Ka Siong cukup biadab dan kurang ajar, jelas dia tidak layak berada dalam Kabinet kerana tidak memahami asas Perlembagaan negara di samping bercakap atas dasar perkauman.

"Ingatlah Ka Siong, janganlah anda mencabar hak orang Melayu yang telah banyak berkorban kepada kaum lain. Sikap biadab anda pasti tersemat dalam hati orang Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kemarahan Ibrahim itu berpunca daripada kenyataan Ka Siong sewaktu mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menghentikan secara berperingkat-peringkat pemberian biasiswa kepada 1,500 pelajar bagi mengikuti kursus ijazah sarjana muda di luar negara mulai tahun depan.

Akhbar The Star pada 16 Jun lalu melaporkan Ka Siong mempersoalkan adakah program biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk pelajar bumiputera turut dihentikan seperti biasiswa JPA.

Kata Ketua Pemuda MCA itu, jika kerajaan hanya melakukannya kepada biasiswa JPA tetapi mengekalkan biasiswa Mara, ia tidak selari dengan konsep 1Malaysia yang dipromosikan kerajaan. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Takyahlah timbul perkara yang sudah dipersetujui bersama di bawah Perlembagaan. Jangan berperangai macam DAP yang mempunyai agenda mereka sendiri. Kita tahu siapa itu Lim Kit Siang, yang pernah bekerja dengan pemimpin utama Singapura. Kita tahu apa yang ada di dalam otak beliau. Oleh itu, tidak hairanlah beliau akan membuat apa saja untuk memastikan rakyat muak dengan BN atau UMNO. Kita perlu memahami mengapa UMNO ditubuhkan iaitu untuk menjaga kepentingan Institusi Raja-Raja Melayu dan memastikan negara ini terus aman sentosa. Satu lagi, kita perlu menentang Si Kitol yang mahu memporak-perandakan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia. Mereka mempunyai banyak wajah dan sanggup berbuat apa saja demi kepentingan diri sendiri. Jagalah Malaysia baik-baik.)