Saturday, July 31, 2010

PEMIMPIN ALAM SEKITAR SUDAH BISU?

Malam tadi, DIY bersembang dengan kenkawan yang mencakupi pelbagai perkara termasuk mengenai nasib bangsa Melayu di negara ini menempuh zaman mendatang. Ada juga perbincangan mengenai taman perumahan yang dibuat 'senyap-senyap' dan akhirnya berpenghuni tanpa ada orang Melayu atau Bumiputera.

Namun yang paling menarik ialah sikap NGO alam sekitar yang membisu seribu bahasa mengenai masalah pasir dan air di Selangor dan keributan masalah air kotor dan pembalakan berleluasa di Kelantan. Banyak cerita sedih dan derita terutama membabitkan bangsa Melayu.

Apakah pemimpin NGO alam sekitar ini sudah ditutup mulut kerana yang membuat hal bukan Barisan Nasional tetapi parti-parti seperti PKR, DAP atau PAS? Ataupun mereka sebenarnya meminati parti pembangkang dan apabila ini berlaku, 'biarlah ia berlalu'.

Ini yang menjadi pelbagai persoalan di benak fikiran kami yang merasakan pemimpin alam sekitar ini mempunyai agenda mereka sendiri. Apabila mereka merasakan untuk bersuara kerana yang terbabit tidak sebulu dengan mereka, maka dipanggilnya wartawan untuk mengadakan sidang akhbar bagi 'membelasah' kegiatan yang tidak secocok dengan mereka.

Hakikatnya, inilah pemimpin yang hipokrit dan memikirkan tembolok mereka saja.

Friday, July 30, 2010

RESVIL SAMAN KUMPULAN SEMESTA

SHAH ALAM 30 Julai – Syarikat pembinaan Resvil Holdings Sdn. Bhd. hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menuntut ganti rugi melebihi RM1.3 juta dari Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. atas dakwaan pembatalan kontrak melombong pasir di mukim Bestari Jaya secara tidak sah. - Utusan .

Thursday, July 29, 2010

LING LIONG SIK DIDAKWA

PUTRAJAYA 29 Julai - Bekas Menteri Pengangkutan dan bekas Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini berhubung kes berkaitan dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). - UTUSAN.

Wednesday, July 28, 2010

CINA KENA TOLONG BN

Jika 11 diambilkira sebagai angka keramat untuk PM maka PRU 13 akan diadakan pada 2011. Jika diambilkira daripada hari ini, maka PRU akan diadakan dalam tempoh 17 bulan lagi.

Persoalannya adakah BN sudah bersedia menangkis serangan pembangkang? Ada serangan terlalu terdesak termasuk memainkan isu perkauman. Adakah pemimpin BN terutama MCA dan Gerakan sudah mantap dan bersedia 'menghunus pedang politik' mereka untuk menghadapi lawan? Jika tidak segeralah asah pedang politik mereka.

Tidak sukar untuk melihat sokongan rakyat kepada PM menerusi pendekatan mengutamakan rakyat termasuk kekuatan Gagasan 1Malaysia. Tidak ada tanda besar memaparkan rakyat menolak 1Malaysia melainkan golongan kecil yang dimomok-momokkan bahawa hak mereka akan diambil. Golongan ini buaakan tidak menyokong tetapi 'kebingungan' dan 'kecelaruan'.

Hakikatnya majoriti rakyat menyenangi gagasan 1Malaysia yang menekankan perpaduan negara, malah suka pada DS Najib. Tetapi adakah ini mencukupi untuk memenangkan BN dengan majoriti yang besar? Persoalan ini perlu dijawab segera terutama pemimpin besar komponen BN yang masih dilihat memperjuangkan nasib kaum mereka dengan kenyataan panas dan pedas yang adakalanya dilihat menyongsang arus 1M.

Mungkin tidak sukar difahami kerana mereka perlu dilihat sebagai pejuang kaum tetapi jangan keterlaluan sehingga kenyataan dan tindakan mereka dianggap pelik dan mengelirukan. Pemimpin Cina dalam MCA dan Gerakan perlu bekerja keras untuk memastikan pengundi Cina terus memberi sokongan kepada BN. Kerja kuat bukan hanya tahu berpolitik untuk kepentingan diri sendiri. Fikir mengenai kepentingan politik BN.

Jangan biarkan pengundi Cina kebingungan dan celaru.

Tuesday, July 27, 2010

SIAPA NAJWA MAHIADDIN?

BARANGKALI sehingga kini, status dan latar belakang gadis manis ini sudah diketahui umum. Bak kata orang ia bukan lagi rahsia apabila memperkatakan tentang Najwa Mahiaddin (gambar).

Namun, dengan penuh rendah diri, Najwa enggan masyarakat dan pencinta muzik tempatan khususnya memandang kepada kedudukannya sebagai anak kepada seorang yang cukup dikenali.

Sebaliknya, dia mengharapkan orang ramai menilai dirinya kerana bakat dan misi yang mahu dijayakan dalam bidang seni.

Jelas Najwa, bukan dia tidak berbangga dengan latar belakang keluarganya, tetapi biarlah dia bergerak atas nama sendiri dan mahu dikenali kerana bakat yang ada dalam diri.

"Saya tidak menafikan dalam tempoh ini, ramai yang sudah tahu siapakah saya sebenarnya. Bagi diri saya, tidak perlulah lagi saya menghebahkan dan mencanangkan kepada semua tentang status saya.

"Bagi mereka yang sudah tahu akan itu (status), cukuplah. Tetapi, saya lebih suka kalau orang tidak tahu siapa saya dan menerima saya sebagai Najwa, seorang penyanyi dan komposer.

"Bukan apa. Saya bimbang juga kalau kritikan dan komen yang saya terima itu tidak ikhlas kerana mereka memikirkan tentang latar belakang saya.

"Saya masuk dalam bidang seni ini dengan penuh kejujuran dan keikhlasan dalam memperjuangkan muzik serta bakat saya. Itu yang paling penting buat saya," pinta Najwa penuh diplomasi dalam satu perbualan usai sesi fotografi yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Berkali-kali Najwa mengucapkan syukur kerana minat dan cintanya terhadap muzik tidak pernah dihalang oleh kedua orang tuanya.

Sebaliknya, Najwa menerima sokongan penuh dan padu biarpun pada mula ibu bapanya sedikit risau apabila dia menyuarakan hasrat untuk melibatkan diri secara serius dalam dunia seni.

Tetapi, lama-kelamaan, kerisauan mereka itu mula terhakis sebaik sahaja melihat kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh Najwa.

"Sebagai ibu bapa, mereka pastinya mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Saya sendiri sudah melunaskan tanggungjawab dengan menyambung pengajian saya sehingga tamat seperti mana yang mereka mahukan.

"Jadi, mereka merestui minat saya yang mahu menjadi seorang penyanyi dan komposer berjaya. Malah, kami sering menghabiskan masa duduk berbincang dan memikirkan strategi serta pelan untuk mengukuhkan nama saya di dalam industri," kata lulusan ijazah Kejuruteraan Elektronik dari salah sebuah universiti di Melbourne, Australia.

Mengapakah Najwa tekad memilih bidang seni sebagai mata pencarian sedangkan dia juga tahu dan sedar ia bukanlah semudah yang disangka?

Ditambah pula dengan kedudukan dan latar belakang yang dimiliki Najwa, pastinya ia menjadi satu 'kelebihan' buat mereka yang mempunyai niat jahat untuk menjatuhkannya sekali gus mengheretnya ke lembah kontroversi.

Diam seketika sebelum memberikan buah fikirannya, Najwa yang petah dan bijak berkata-kata ini menjelaskan rasionalnya.

"Sudah menjadi tanggungjawab seorang anak untuk memelihara nama baik keluarganya tanpa mengira latar belakang mahupun kedudukan.

"Begitu juga dengan diri saya. Jika saya menjadi seorang artis atau tidak, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga adab agar tidak memalukan ibu saya.

"Saya tidak fikir hanya kerana sudah menjadi artis, saya perlu menjadi lebih berhati-hati dan mengawal setiap pergerakan saya demi mengelakkan diri daripada menjadi sasaran.

"Terjunnya saya dalam bidang seni adalah kerana mahu mengubah senario industri kita selain merancakkan serta mempelbagaikan lagi genre muzik," ujar gadis berkulit putih gebu ini sambil tersenyum manis.

Sempat juga Najwa ditanya, pernahkah dia dilabel sebagai seorang yang sombong dan berlagak kerana dilahirkan dalam keluarga kenamaan?

Tidak menafikan perkara itu pernah terjadi. Tetapi jelas Najwa, semua salah tanggapan terhadap dirinya hanyalah kerana mereka tidak cuba untuk mengenali dirinya dengan lebih dekat.

Sedangkan dia tidak pernah mendongak langit sehingga melupakan rumput yang hijau di bumi.

Dalam masa yang sama, Najwa turut mempertahankan pendiriannya bahawa dia masih seperti dahulu biarpun namanya kini mula meniti bibir masyarakat.

Walaupun sudah menjadi orang popular, Najwa tidak menganggap itu sebagai tiket emas untuk mengubah dirinya menjadi seorang yang sombong dan hidung tinggi.

"Sejak kecil terutama ketika zaman persekolahan, saya tidak pernah meletakkan keistimewaan pada diri saya.

"Dengan sesiapa sahaja, saya senang berkawan dan sehingga ke hari ini, persahabatan saya terus kekal terjalin.

"Mereka yang berkawan dengan saya selalunya tidak mengetahui latar belakang saya. Tetapi, selepas beberapa lama berkawan, barulah mereka tahu siapa saya.

"Namun, ia langsung tidak merubah apa-apa dan mereka menerima diri saya seadanya tanpa sebarang kompromi. Begitu juga dengan diri saya.

"Apabila menjadi artis, itu juga yang saya harapkan agar masyarakat dapat menerima bakat saya sebaik mungkin. Berilah saya peluang untuk menonjolkan dan mengembangkan lagi bakat saya ini," pintanya penuh luhur. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Suka orang berbakat. Suka saja tau... Perrgggh)

Monday, July 26, 2010

JANGAN TIPU UNTUK UNTUNG

BERA 25 Julai – Denda lebih tinggi melebihi RM250,000 akan dikenakan terhadap pengusaha restoran dan kopitiam yang menipu penggunaan logo halal dalam menjalankan perniagaan mereka.

Perkara itu terkandung dalam pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober ini yang menyaksikan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pengusaha terlibat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan itu membuktikan bahawa kerajaan begitu tegas terhadap mana-mana pengusaha yang melanggar peraturan berkaitan perkara itu.

Menurut beliau, hukuman sedia ada iaitu denda RM100,000 terhadap individu dan RM250,000 terhadap syarikat serta masing-masing tiga tahun penjara agak rendah dan mampu dibayar oleh mereka.

“Tindakan itu adalah wajar bagi memberi pengajaran kepada pengusaha kopitiam dan restoran supaya tidak menipu pengguna dengan mempamerkan logo halal tetapi makanan yang dijual adalah sebaliknya,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Wanita Bera Berhad (Kowada) di sini hari ini.

Semalam, Ismail Sabri berkata, sebuah kopitiam terkenal di Kuala Lumpur yang diserbu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kelmarin boleh didenda sehingga RM100,000 jika didapati bersalah melakukan penipuan berhubung penggunaan logo halal. Kopitiam yang mendapatkan sijil halal daripada syarikat swasta itu telah diserbu oleh Jakim selepas dipercayai mendapatkan bekalan daging ayam daripada sebuah syarikat penyembelihan bukan Islam.

Ismail Sabri menjelaskan, pindaan akta tersebut membolehkan denda yang dikenakan lebih tinggi berbanding sebelum ini dan tempoh hukuman penjara akan turut dinaikkan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pindaan akta tersebut diluluskan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini bagi mengelakkan masalah tersebut berulang pada masa depan.

Tegasnya, akta berkenaan bukan sahaja melibatkan pengusaha kopitiam dan restoran tetapi juga syarikat yang membawa produk makanan dengan menggunakan logo halal negara lain yang diperiksa kesahihannya oleh Jakim dan jabatan agama Islam di setiap negeri. “Isu makanan halal ini adalah sensitif dan sepatutnya pengusaha terbabit mengambil berat mengenai perkara ini,” katanya. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Kepercayaan yang diberikan oleh umat Islam perlulah dijagai dengan baik kerana apabila keyakinan dan kepercayaan itu hilang maka sesiapa saja yang menikmatinya sebelum ini akan menerima padah.)

Sunday, July 25, 2010

KAKI KATAK DALAM MI....INI SUDAH LEBIH

Ketika makan tose pagi ini, teringat cerita pelanggan menemui kaki katak dalam makanan yang dinikmati di sebuah kopitiam. Akhbar Mingguan Malaysia juga ada cerita itu. Perhati juga tose itu jika ada benda asing. Alhamdulillah, tiada yang pelik hanya tose - tepung yang dimasak atas besi panas - sedap dicecah dengan kuah dal. Sedap juga dicecah dengan kuah kambing.

Hakikatnya, penemuan kaki katak dalam mi itu mungkin satu daripada 1001 macam benda yang 'dimasukkan' atau 'termasuk' dalam makanan yang kita makan selama ini. Mungkin katak melompat dalam kuali kot? Macam ulat yang melompat dalam 'caesar salad' di sebuah restoran di One Utama satu masa dulu. Macam macam perangai di negara ini.

Siapa yang kena tipu selama ini? Tentulah pengunjung yang begitu berminat lepak di kopitiam tanpa memikirkan sama ada halal atau haram. Mereka masuk kerana ada logo halal. Tidak kira logo halal itu buatan sendiri atau dibeli daripada 'penjual' tertentu. Atau tidak kisah ada logo tetapi oleh kerana ramai orang masuk, dia pun masuk juga.

Masih ingat DIY isu ayam KFC yang diheboh-hebohkan tidak sembelih satu ketika dulu. Ketika itu, perniagaan restoran KFC terjejas teruk sehingga memaksa mereka memberikan makanan percuma dan penjelasan demi penjelasan untuk membawa semula pelanggan. Akhirnya, kepercayaan diperolehi semula dan sehingga kini restoran itu penuh dengan anak dan ibu bapa.

Apakah peristiwa kaki katak dalam mi tidak akan menimbulkan satu keadaan di mana orang Islam tidak akan mengunjungi kopitiam lagi? Mereka bimbang jumpa kaki binatang lain. Mungkin kegelisahan itu akan terjadi atau sebaliknya. Ini bergantung kepada apakah orang Islam sentiasa mahu memastikan makanan itu halal atau haram. Atau belasah apa saja.

Dalam pada itu, pemilik kopitiam perlu memastikan makanan yang disediakan halal. Bukan tulis halal tetapi memang halal. Ada sijil halal daripada pihak berkuasa. Mereka perlu menghormati kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan Islam. Jangan tipu tak baik. Jangan biarkan kopitiam itu kosong kerana ada peristiwa tidak menarik seperti penemuan kaki katak itu.

Tepuk dada tanyalah selera - pemilik dan pelanggan.

Saturday, July 24, 2010

TERIMA KASIH PM DAN DR RAIS

Oleh AgendaDaily


Siapa yang tidak merasa gembira setelah 18 tahun lamannya nasib mereka terbela dan menikmati gaji yang lebih baik.

Pagi semalam seramai 100 posmen datang menaiki motosikal ke Jabatan Perdana Menteri menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak itu yang melibatkan 9,000 posmen di seluruh negara.

Dalam pertemuan ringkas di tempat letak kereta Jabatan Perdana Menteri mereka menyampaikan sebuah kek serta cenderahati berupa potret Najib yang lengkap dengan logo 1Malaysia sempena ulang tahunnya yang ke-57 kepada beliau.

Mereka sama-sama menyanyikan lagu Selamat Harijadi kepada Perdana Menteri sebaik sahaja Najib yang tiba pada kira-kira jam 8.30 pagi di situ dengan disambut oleh Pengerusi Pos Malaysia Tan Sri Aseh Che Mat. Turut hadir ialah Timbalan Menteri KPKK, Datuk Maglin D Cruz dan Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Datuk Syed Faisal Albar.

April lalu Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Dr Rais Yatim mengumumkan penyusunan semula tangga gaji dan elaun posmen serta kerani pos agar selaras dengan penjawat awam lain, berkuatkuasa Julai.

Dr Rais berkata langkah itu berikutan gaji pokok posmen dan kerani pos pada masa ini boleh dikatakan sebagai di bawah paras kemiskinan, dan langkah itu membolehkan lebih 9,000 posmen mendapat kenaikan gaji 11 peratus.

(Renungan Rimau : Sudah dapat kenaikan gaji maka posmen perlu bekerja kuat dan jujur. Cerita mengenai orang buang surat perlu ditiadakan lagi. Sebaliknya mereka perlu memastikan tugasan yang diberikan terbaik sepanjang masa.)

Friday, July 23, 2010

JANGAN MENARI IKUT DIA

MIRI 22 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kabinet memandang berat dan tidak boleh menerima tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang membuat kenyataan hingga menjatuhkan maruah pegawai Persekutuan.

Perdana Menteri berkata, dalam hal itu, sepatutnya seorang Ketua Menteri membuat teguran dengan berhemah dan dilakukan secara tertutup.

''Kalaupun ada teguran hendak dibuat, mestilah dengan cara berhemah dan tertib seperti dilakukan oleh kerajaan Persekutuan dan dibuat secara tertutup," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Pelancaran Program Sentuhan Harapan Petronas di stesen Petronas Desa Senadin di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan 'memecat' Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Nik Ali Mat Yunus semalam oleh mesyuarat Exco Pulau Pinang yang dipengerusikan Guan Eng.

Laporan berita sebelum ini menyebut, ketegangan antara Guan Eng dan Nik Ali timbul apabila Ketua Menteri tersebut didakwa beberapa kali mengeluarkan kenyataan menyerang pegawai terbabit.

Antaranya, Guan Eng dikatakan mendakwa pegawai berkenaan sebagai 'tidak profesional, tidak kompeten, pengecut dan patut dipecat' berhubung isu curi pasir di Balik Pulau.

Perdana Menteri berkata, dalam hal itu, pegawai tersebut juga berhak membela diri sebelum tindakan atau teguran dikenakan terhadapnya.

''Cara ini perlu dihormati oleh kerajaan Pulau Pinang dan tidak membuat kenyataan terbuka secara melulu yang tidak mengikut etika," kata Perdana Menteri.

Pada sidang akhbar itu juga beliau melahirkan rasa terharu dengan sambutan hangat yang diberikan oleh masyarakat ketika mengadakan lawatan di Long Banga, dan Bekenu.

''Saya lihat masyarakat datang dengan ramai dan ada yang berjalan kaki dari semalam dan ada yang menaiki kenderaan selama 10 jam untuk bersama-sama pada majlis hari ini.

''Ini satu petanda yang baik bahawa masyarakat tempatan amat mengharapkan kepimpinan kerajaan yang sedia ada," jelas beliau. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Tidak sukar untuk memahami tindakan LGE itu. BN tidak perlu menjadi bomba untuk memadam api yang dimulakan oleh anak LKS. Beliau akan terus bakar dan membakar selagi beliau tahu ada pihak yang berminat untuk memadamkannya. Amat memahami perangai orang Melaka tu.)

Thursday, July 22, 2010

PUTERI JANGAN TUTUP KEDAI

KUALA LUMPUR 21 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan bilik gerakan Jawatankuasa Unit Khas Pilihan Raya Pergerakan Puteri UMNO bagi membantu jentera parti menghadapi pilihan raya umum atau pilihan raya kecil akan datang.

Bilik gerakan yang beroperasi di peringkat pusat itu kemudiannya akan dibuka di peringkat negeri dan bahagian dalam tahun ini juga.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Unit Khas Pilihan Raya Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin, dengan adanya bilik gerakan tersebut, segala maklumat mengenai pengundi di setiap peti undi di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen dapat dikumpul, dianalisis dan dipantau oleh jentera pergerakan.

Jelas beliau, langkah itu juga menjadikan jentera Pergerakan Puteri sentiasa bersedia dan proaktif dalam membantu memastikan kemenangan BN menerusi pelan-pelan tindakan yang telah dirangka serta disusun di peringkat pusat.

"Sekitar Ogos nanti, kita akan bergerak membuka bilik gerakan terbabit ke peringkat negeri dan bahagian. Dalam tahun ini juga, kita menyasarkan semua negeri dan bahagian membuka bilik gerakan tersebut.

"Menjelang Januari 2012, jentera Puteri UMNO akan dimantapkan dan bersedia menghadapi pilihan raya," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran bilik gerakan tersebut di Pejabat Puteri UMNO, Menara Dato' Onn, dekat sini petang ini.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil; Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, melalui bilik gerakan Unit Khas Pilihan Raya Puteri UMNO, selain maklumat mengenai pengundi, ia juga menjadi pusat pengumpulan data berkenaan permasalahan yang dialami pengundi.

"Apa akar umbi mahukan, kecenderungan mereka, masalah-masalah dan apa jua isu-isu semasa akan dikumpul untuk dianalisis," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa Puteri UMNO kini sedang menggerakkan usaha untuk menambah keahlian yang kini berjumlah sekitar 380,000 orang.

"Ketika ini, terdapat sejumlah 1.29 juta pengundi muda wanita yang berusia lingkungan 21 hingga 35 tahun.

"Mereka adalah sasaran untuk menarik mereka menjadi ahli Puteri UMNO," tambahnya. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Dalam portal AgendaDaily, Datuk Azalina Othman (gambar atas usahakan kebun durian) suruh Puteri UMNO tutup kedai jika tidak kerja kuat atau agresif. Tetapi nampaknya Puteri UMNO tidak akan tutup kedai kerana mereka sudah buka bilik gerakan. Peranan Puteri UMNO ini penting kerana mereka telah banyak membantu UMNO selama ini. Tidak tahulah siapa yang bagi maklumat kepada DAO bahawa Puteri UMNO sudah malap. Ayuh...Puteri UMNO ni...lawa dan berjasa (gambar kanan).