Wednesday, November 23, 2011

PRU13 : RAMALAN TOK NUJUM (4)

Jika separuh daripada 2,000 pelaku media sosial yang hadir pada Konvensyen Media Sosial 1Malaysia (KMS1M) Sabtu lalu di PWTC bergiat cergas dalam mempertahankan kerajaan yang diterajui oleh UMNO/BN, maka usaha pembangkang meneruskan tohmahan dan fitnah sedikit sebanyak akan terjawab. Ini adalah peperangan angka dan mereka perlu aktif.

Jika tidak, buatlah berpuluh atau beratus-ratus konvensyen media sosial tetapi pelakunya tidak aktif, sekadar hadir untuk mengutip kemeja-T dan beg serta menunggu nombor bertuah mereka diumumkan untuk mendapat IPAD dan IPHONE, maka UMNO/BN akan terus difitnah tanpa sebarang pembelaan dan jawapan. Fitnah akan bermaharajalela.

Kehadiran pelaku media sosial pada KMS1M boleh dilihat sebagai manifestasi golongan muda dan tua menyokong gagasan 1Malaysia sepertimana yang dilaungkan oleh penganjur dipengerusikan oleh EXCO Penerangan Pahang, Datuk Sarkar Shamsuddin. Namun, kehadiran itu harus diterjemahkan kepada usaha keras mereka untuk menjelaskan sebarang isu yang timbul terutama fitnah yang boleh mengelirukan rakyat.

Pengumuman DS Najib Tun Razak di KMS1M di PWTC yang mengiktiraf peranan pelaku media sosial sebagai sebahagian jentera BN dalam mempertahankan kerajaan, perlu disambut dengan rasa bangga, mahu bekerja kuat dan bersemangat memperjuangkan gagasan 1Malaysia - Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. Ini titik tolaknya perjuangan angka dalam zaman ini. Pembangkang sudah memulakannya sejak 2000.

Pelaku media sosial yang hadir perlu menanam satu semangat baru bahawa mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab besar mencari maklumat yang boleh menangkis sebarang tohmahan pembangkang. Untuk itu, usaha mengadakan 'kotak maklumat' atau 'drop box' yang mengandungi bahan untuk digunakan bagi menjelaskan sesuatu isu berbangkit perlu diperbanyakkan. Jika tiada, perlu diadakan.

Jabatan kerajaan perlu bertindak cergas dan proaktif untuk menyediakan jawapan terhadap isu yang ditimbulkan oleh pembangkang atau sesiapa saja bagi memastikan rakyat tidak dikelirukan oleh maklumat palsu atau maklumat separuh benar.

Jika ketua jabatan mengambil sikap tunggu dan lihat, membiarkan segala tohmahan dan fitnah itu terus bermain di sarang pemikiran masyarakat, lama-kelamaan fitnah dan tohmahan itu dianggap benar. Ia pasti satu tamparan kepada kerajaan.

Jika fitnah mengatakan DS Sharizat Jalil terbabit dalam perniagaan NFC, jika tidak diperbetulkan, rakyat akan mengatakan bagaimana seorang Ahli Politik yang juga Menteri Kabinet boleh bergiat cergas dalam projek yang dinaungi oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani. Isu seperti ini perlu dijawab segera.

Seperti kata Ahmad Nisfu, 'jawab, jawab, jawab' dalam filem komedi Bujang Lapok, perlu diikuti oleh syarikat, jabatan dan kementerian terbabit. Jawapan segera amat diperlukan, bukan menunggu sehingga 10 hari isu itu dimainkan baru hendak diperbetulkan. Apalaaaa.

No comments: