Friday, July 31, 2009

ORANG YANG TAKUT ISA ADALAH ORANG TAKUT

Ketika menyampaikan kertas kerja di Universiti Cambridge pada 1995 bersama penerima Anugerah Zamalah Kewartawanan Cambridge termasuk dari India, seorang peserta seminar bertanya kepada saya mengapa Malaysia masih melaksanakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Saya melihat wajahnya. Bertanya sama ada beliau warganegara Inggeris. Beliau menjawab ya dan terus saya menyatakan sebenarnya Malaysia tidak memperkenalkan ISA tetapi kita meneruskan apa dibuat oleh Inggeris iaitu menggubal akta untuk menentang keganasan termasuk ancaman komunis. Beliau terdiam dan orang lain memandangnya dengan penuh sinis.

Saya terus menjelaskan ISA adalah satu akta menjaga keselamatan dan keharmonian di negara ini. Lihatlah siapakah yang menjadi tahanan ISA tidak kira daripada parti mana sekalipun termasuk UMNO, MCA atau MIC. Mereka yang ditahan ialah mereka yang dirasakan menjadi ancaman kepada negara. Mereka ditahan dan sudah tentu jika mereka tidak lagi menjadi ancaman, mereka akan dilepaskan. Mudah saja. Jangan kalut.

Ketika ini,ramai pihak yang membuat kenyataan seolah-olah ISA itu satu perkara yang tidak baik dan menakutkan. Ingatlah kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menyatakan kesediaan untuk mengkaji ISA. Mengkaji bukan untuk menghapuskan kerana PM sudah tentu tahu ada bahagian tertentu mengikut akta itu yang perlu diperkemaskan. Itu saja. Janganlah takut dan gundah gulana.

Yang pelik, ada pulak sesetengah pihak yang dulu menyokong kini lain pula perangainya. Bersetuju pula untuk menghapuskannya. Ingat baik-baik apabila kita membuat cadangan atau saranan kerana impaknya amat besar.

Oleh itu, bagi saya orang yang takut ISA adalah orang yang takut. Takut kerana apa tidaklah diketahui tetapi yang pasti mahu memainkan isu ISA semata-mata untuk menagih simpati rakyat. Percayalah janganlah takut dan gementar tidak tentu arah.

BINTANG KLASIK NASIONAL 2009 DI KUANTAN

Sejajar dengan usaha menyemarakkan budaya, seni dan warisan, RTM telah menganjurkan banyak pertandingan untuk mencungkil bakat terpendam. Hasil daripada pertandingan itu muncullah bakat baru yang menyemarakkan industri seni tanahair. Antaranya ialah Bintang RTM, Juara Asyik dan Bintang Asli Remaja bersama JKKN.

Ahad ini, RTM akan meneruskan perjuangan memartabatkan bidang nyanyian dengan penganjuran Pertandingan Akhir Bintang Klasik Nasional 2009 bertempat di Auditorium Darul Makmur di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Seramai 12 peserta akan mengambil bahagian yang menyampaikan pelbagai lagu Malaysia termasuklah lagu yang pernah didendangkan oleh Datuk Sharifah Aini, Dato' Ahmad Jais, Dato' Khatijah Ibrahim dan Salamiah Hassan.

Pasti menarik melihat anak muda menyampaikan lagu Melayu lama. Peserta dari seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak diberikan latihan vokal oleh Juzliza Azlizan di Angkasapuri awal minggu ini.

Pertandingan itu akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 jam 8.30 malam, Klasik Nasional, Radio Malaysia Pahang FM dan Saluran 180 Muzik Aktif di Astro.

Selamat menonton.

Thursday, July 23, 2009

1MALAYSIA - GAGASAN YANG POSITIF

Satu Malaysia adalah satu gagasan yang positif kerana ia membina kesatuan, perpaduan dan keadilan untuk semua rakyat Malaysia. Itu pandangan Datuk Dr Ismail Ibrahim mengenai gagasan terbaru yang diperkenalkan oleh PM pada April lalu.

Bagi bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi itu, ia juga selari dengan amalan Rasulullah SAW, yang diutuskan untuk semua manusia, yang mendahulukan KESATUAN dan PERDAMAIAN untuk semua.

Menurutnya, Islam dapat menerima visi dan gagasan yang tidak bertentangan dengan prinsip dan dasar yang asas. Beliau memberi pandangannya dalam ceramah kepada pegawai KPKK di Auditorium Perdana, Angkasapuri pagi ini.

Wednesday, July 22, 2009

JUARA ASYIK 2007 DI RTM AHAD INI



Kejayaan penganjuran Juara Asyik 2007 oleh RTM berjaya mencari bakat-bakat baru penyanyi dan pemuzik daripada masyarakat Orang Asli. Kajian secara rambang mendapati belia-belia Orang Asli di seluruh Semenanjung menyokong penganjuran pertandingan ini dan berharap untuk menyertainya pada masa akan datang.

Sebagai satu-satunya saluran mencungkil bakat nyanyian dan penciptaan lagu-lagu Orang Asli, ASYIKfm berharap program ini akan diadakan sebagai acara dwitahunan RTM.

Berjaya menarik 453 penyertaan dari 10 lokasi ujibakat di seluruh Semenanjung Malaysia

Selepas ujibakat, hanya 40 peserta layak di peringkat saringan.

Lapan peserta terakhir berpeluang menjalani bengkel pemantapan persembahan dari segi vokal & tarian

Finalis dinilai oleh juri profesional.

Memberi tumpuan kepada pencarian bakat penyanyi solo dan penciptaan lagu oleh komposer amatur masyarakat Orang Asli.

Lagu-lagu yang dibenarkan berirama Pop Komersial, Balada, Rock, R&B, Dangdut dan Pop Etnik.

Skim permarkahan mengambil kira vokal, persembahan dan penampilan.

Selamat menonton.

Monday, July 20, 2009

AL-FATIHAH UNTUK KAWAN

(Kapten Yusof Ahmad duduk di sebelah DIY (kanan) dalam satu program di Astro Awani)

Terfikir juga dihati apa yang akan terjadi apabila penulis blog ini sudah tiada. Yang pasti tiada lagi bahan akan dimuatkan di DuniaTiger. Sama ada blog ini akan dirindui atau sebaliknya tidak penting, tetapi hakikatnya bahan akan terhenti di situ sehingga kiamat. Melainkan ada pihak yang mengetahui kata kunci blog ini. Kini yang pasti bahan dalam satu blog yang dimiliki oleh kawan, Kapten Yusof Ahmad (Ancient Mariner) akan terhenti. Beliau meninggalkan kita malam semalam. Al-fatihah untukmu kawan. Semoga rohmu akan dirahmati dan bersama roh orang yang soleh.

Tuesday, July 14, 2009

1MALAYSIA KONSEP PERPADUAN TERBAIK

Jika anda melalui Jalan Syed Putra menuju ibu negara, Kuala Lumpur, pasti terpandang papan iklan gergasi 1Malaysia ini.

Balasan kepada yang berbudi, mungkin itu yang difikirkan pemiliknya, lantas idea pemasangan papan iklan gergasi merentangi jalanraya itu secara percuma, sebagai caranya membalas bantuan kerajaan selama ini.

Bagi Pengarah Urusan Libroff Sdn Bhd, Datuk Maarof Rahman, perniagaan syarikatnya yang berteraskan pengiklanan, beliau melihat caranya itu sebagai kempen yang boleh membantu kerajaan menyampaikan dasarnya kepada rakyat.

Ia memaparkan 3 kanak-kanak mewakili kaum utama di Malaysia, menepati kosnep 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kos bukan penghalang, kempen menerusi papan iklan bernilai 2 juta ringgit itu katanya telah menjadi amalannya setiap tahun walaupun tampuk pemerintahan silih berganti.

Setelah tamat tempoh 3 bulan, papan iklan gergasi berkenaan akan digunakan bagi tujuan iklan lain yang membawa pulangan kepada syarikat.

Selain di Kuala Lumpur, usaha murninya itu akan diteruskan ke seluruh negara bermula dengan negeri Johor selepas ini.

Baginya semangat 1Malaysia perlu dijiwai setiap warganya tanpa mengira kaum agar negara dapat terus maju.

MANEK URAI PETANDA BAIK UNTUK BN

Posting Kedua

Pas menang dengan majoriti 65 undi. BN - 5283, Pas - 5348. Pada PRU Mac 2008, Pas menang dengan majoriti 1,352 undi. Apakah dengan pengurangan majoriti undi ini menunjukkan sesuatu kepada Pas? Rakyat Kelantan sudah mula sedar?

Posting Asal

Apa yang berlaku di Manek Urai (N41) malam ini akan memberikan gambaran baik untuk BN. Setakat berita ini ditulis, persaingan antara BN dan Pas amat sengit.

Ada kawasan di mana BN mendahului dan begitu sebaliknya.

Berita Nasional RTM pada 8.05 melaporkan BN mendahului 76 undi setelah banyak peti undi dibuka. Ada juga laporan yang menyatakan ada kawasan yang dahulunya 'dikuasai' oleh Pas tetapi kini keputusannya amat mengejutkan.

Apakah rakyat Kelantan sudah mula sedar dengan kesilapan mereka? Apakah mereka mahu sesuatu yang baru setelah sekian lama di bawah Pas? Kita tunggu keputusannya.

Monday, July 13, 2009

UNTUK NEGARA KITA KERJA KUAT

(Syed Munawar menemuramah DS Najib)

KUALA LUMPUR 12 Julai - Kesibukan Datuk Seri Najib Tun Razak berkhidmat untuk rakyat menyebabkan beliau merasakan tempoh 24 jam sehari tidak mencukupi untuknya.

Perdana Menteri berkata, beliau sangat sibuk kerana sepanjang 100 hari mentadbir negara ini, terdapat pelbagai ujian yang perlu dihadapinya khususnya bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

''Jadi Perdana Menteri ini lain, kerana saya rasakan 24 jam itu tidak cukup. Saya beritahu isteri (Datin Seri Rosmah Mansor) masa siang kini adalah lebih panjang dan masa malam juga makin singkat.

''Masa untuk tidur juga sudah kurang kerana banyak program dan ini tidak pernah saya alami sebelum jadi Perdana Menteri," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara eksklusif sempena 100 Hari Pentadbiran Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini malam tadi..

Menurut Najib, masa terluang ketika di rumah juga digunakan untuk berfikir mengenai langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah rakyat.

''Ramai yang tidak faham kerana ingat apabila Perdana Menteri berada di rumah dia free. Duduk rumah bukan bererti bersantai kerana kalau tidak berfikir saya akan baca buku atau (sediakan) ucapan esok. Tengok fail atau tandatangan sijil yang saya tidak dapat lakukan di pejabat," jelasnya.

Menyentuh tentang gagasan 1Malaysia, beliau menjelaskan, tumpuannya kini adalah untuk mendapat sokongan daripada kumpulan yang faham dan menerima pendekatan itu serta kumpulan yang tidak berapa faham tetapi yakin kepada kerajaan.

Sebelum mengakhiri temu bual itu, Najib juga sempat berpesan kepada semua rakyat supaya menganggap apa yang telah dilakukannya dalam tempoh 100 hari hanya sebagai satu titik permulaan.

''Saya telah bina asas permulaan dan saya memohon supaya rakyat akan bersama-sama kerajaan dalam perjalanan selanjutnya ke arah negara Malaysia yang semakin berjaya, hubungan kaum semakin mantap dan imej kerajaan semakin positif.

''Ini adalah bagi membolehkan saya memperkenalkan pembaharuan dan meneruskan kesinambungan pemimpin sebelum ini,'' ujarnya.

(Renungan Rimau : Saya juga kena kerja 7 hari seminggu demi untuk alif, ba dan ta. Semoga usaha yang dilakukan ini mampu membantu melonjakkan RTM ke satu peringkat yang lebih tinggi. Yang paling penting ialah kerjasama berpasukan dan komited tinggi di kalangan petugas RTM. Jika kita dapat mengubah mentaliti kita, sudah tentu mentaliliti penonton akan dapat diubah segera. Tidak payahlah sebar khabar angin yang boleh meruntuhkan kekuatan kita. Selamat berjuang.)

Sunday, July 12, 2009

PM DI RTM MALAM INI


DSU Dr Rais Yatim dan DS Najib Tun Razak (duduk), Dtk Kamarudin Siaraf, Syed Munawar dan DIY (berdiri).

Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, akan ditemuramah oleh RTM malam ini jam 8.30 malam sempena 100 hari beliau sebagai Perdana Menteri semalam.

Temuramah sejam itu akan dikendalikan oleh ikon RTM, Syed Munawar Syed Mustar.

Selamat menonton.

Saturday, July 11, 2009

100 HARI PM DAN HARI RAKYAT

Hari ini, hari 100 hari Perdana Menteri. Hari ini juga, hari untuk rakyat. Itulah yang ingin ditekankan oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Untuk itu, Perdana Menteri membuat 11 pengumuman untuk rakyat, dalam satu majlis pagi tadi.

Antaranya pemberian diskaun kepada pengguna jalan bertol, peluang pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan rendah, pengurangan caj bayaran latihan penunggang motosikal serta satu tabung unit amanah baru.

Berucap di majlis "100 Hari Najib Bersama Rakyat" di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Perdana Menteri berkata, untuk meringankan beban pengguna lebuh raya yang menggunakan kad prabayar Smart Tag dan Touch 'n Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, mereka akan layak menerima diskaun 20 peratus.

Ini adalah satu keputusan atau penyelesaian sementara sahaja, sementara menunggu kajian keseluruhan mengenai kadar tol yang menurutnya akan mengambil masa.

Beliau pernah diberitahu oleh seorang pengguna jalan bertol yang dirinya terpaksa membayar tol lebih kurang RM300 sebulan manakala gaji bulanannya RM3,000, yang menurut Perdana Menteri:" Orang ini hanya mendapat gaji 11 bulan sahaja setahun, kerana gaji satu bulan lagi habis dibelanjakan untuk pembayaran tol setahun.

"Ini (diskaun) saya percaya akan memberi kelegaan pada rakyat terutamanya yang menggunakan jalan tol setiap hari," kata beliau yang disambut dengan tepukan gemuruh lebih 5,000 hadirin di dalam dan luar pusat konvensyen itu yang penuh sesak.

Saya mengambil keputusan berada di luar pusat konvensyen untuk membolehkan generasi muda mengikuti ucapan PM secara terus. Biarlah orang muda berpelung melihat pemimpin mereka dari dekat.

Dalam ucapan hampir 50 minit yang dimulakan tepat 11.11 pagi yang menandakan 11 Julai, genap 100 hari menjadi Perdana Menteri selepas dilantik pada 3 April lalu, DS Najib juga mengumumkan penyewa rumah di bawah Program Perumahan Rakyat di Wilayah Persekutuan akan diberi peluang dan pilihan membeli rumah di bawah program itu.

Sejumlah 44,000 unit rumah ditawarkan yang memberi peluang golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Satu lagi pengumuman mesra rakyat Perdana Menteri melibatkan masyarakat penjaja dan peniaga kecil, di mana mereka akan menikmati potongan 50 peratus bagi pembaharuan lesen dan lesen baru.

Sebagai memenuhi permohonan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia bagi pengurangan bayaran lesen yang dikemukakan kepada beliau pada satu majlis di Tanjung Karang, Selangor bulan lalu.

"Ini akan memberi banyak kelegaan...saya harap negeri-negeri lain akan ikut langkah di Wilayah Persekutuan ini. Mudah-mudahan (bayaran) lesen-lesen lain juga akan dikurangkan," katanya.

Turut diumumkan ialah kerajaan akan menambah 3,000 lagi permit teksi untuk individu dalam masa tiga bulan ini, pertambahan daripada 7,000 permit teksi individu yang telah diberikan setakat ini.

Dasar membantu pemandu teksi dibuat memandangkan pada masa sekarang terdapat ramai pemandu teksi yang terpaksa menyewa harian dengan pembayaran seperti RM50 sehari, di samping kos lain seperti minyak.

Caj bayaran latihan untuk penunggang motosikal kelas B2 iaitu 250 cc ke bawah dikurang menjadi RM211 seorang. Ini dilihat benar-benar untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan golongan penuntut.

Ketika ini, ramai penunggang terutama anak-anak muda yang "ke hulu dan ke hilir dengan motosikal kapcai" tidak memiliki lesen memandu kerana kos mendapatkan lesen termasuk latihan adalah tinggi, di antara RM500-RM700 seorang.

"Setelah berunding dengan sekolah-sekolah memandu, caj (kadar) bayaran latihan (belajar) dikurang kepada RM211. Dan berdasar riak tadi, saya membayangkan memang tepat keputusan tadi," katanya.

Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa menjelang 2010, seramai 10,000 isi rumah miskin tegar di bandar akan diberi 10,000 unit Skim Amanah Saham Wawasan untuk isi rumah di bawah senarai E-Kasih dalam usaha memerangi kemiskinan bandar.

Satu lagi tabung unit amanah baru dinamakan "Amanah Saham 1Malaysia" akan dilancarkan sedikit masa lagi dengan saiz sehingga 10 bilion unit. Ia dibuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Selain itu, peruntukan skim TEKUN ditambah RM150 juta lagi dan juga mengumumkan peruntukan RM15 juta khusus untuk program pembangunan usahawan muda kaum India di negara ini.

DS Najib juga mengumumkan bahawa kerajaan akan mengambil langkah-langkah drastik ke arah mengurangkan jenayah dan rasuah di negara ini, dan maklumat mengenainya akan diumumkan hujung bulan ini.

Satu lagi pengumuman mesra rakyat Perdana Menteri hari ini adalah berkaitan pendaftaran kelahiran, yang menurutnya ramai juga yang lambat mendaftarkan kelahiran dan kerajaan akan terus mempergiatkan usaha memperbaiki keadaan itu.

Di Sabah, semenjak 2005, sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran telah diterima dan daripada jumlah itu 92 peratus diluluskan.

Di Sarawak pula, semenjak 2005, sebanyak 19,000 permohonan telah diterima dan dari jumlah itu, 80 peratus permohonan telah diluluskan.

Dalam pengumuman mengenai kewarganegaraan pula, Najib mengumumkan bahawa jumlah permohonan tertangguh pada 1 Nov 2008 adalah sebanyak 34,000, dan sehingga bulan lepas, sebanyak 46 peratus telah selesai dibuat keputusan dan usaha akan dipergiatkan lagi untuk menyelesaikan baki permohonan.

Di majlis itu, Najib turut membuat pengumuman mengenai infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak, dan menurutnya kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di kedua-dua negeri, daripada 750 kilometer yang dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sekarang kepada 1,500 kilometer dalam tempoh RMK-10.

Liputan bekalan air minum yang kini berada pada tahap 52 peratus di Sabah dan 61 peratus di Sarawak, akan dipertingkatkan, begitu juga bekalan elektrik, dan pengumuman mengenainya akan dibuat hujung bulan ini.

Hakikatnya, 100 hari PM pada hari ini adalah HARI RAKYAT.

Selamat menerima hadiah daripada Perdana Menteri.

Thursday, July 2, 2009

RTM MEMPUNYAI TUGAS NASIONAL

Semalam saya mendapat banyak panggilan mengenai kenyataan Ahli Parlimen berhubung liputan siaran langsung Dari Parlimen jam 10 pagi. Ada Ahli Parlimen yang menyatakan RTM membuat liputan secara berpilih-pilih dan tidak melambangkan apa yang berlaku di dalam Dewan Rakyat, dewan yang mulia.

Bagi saya, RTM mempunyai peranan penting dalam menyiarkan apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Ini yang dilakukan sejak dari dulu lagi. Tumpuan yang diberikan ialah untuk memaparkan apa yang disuarakan oleh MP untuk kepentingan rakyat. Untuk kepentingan pengundi di seluruh negara.

Malah laporan Parlimen bukan saja pada waktu pagi tetapi dipersembahkan juga pada waktu tengah hari, petang, Berita Nasional dan berita-berita lain. Berita Parlimen juga disiarkan pada jam 10 malam khusus untuk membincangkan apa yang berlaku di dalam dewan termasuk perkara yang mencuit hati. Cerita kemanusiaan.

Oleh itu, RTM tidak mahu menunjukkan gelagat Ahli Parlimen yang tidak senonoh dan menjerit-jerit. RTM juga tidak mahu dewan yang mulia itu digunakan oleh Ahli Parlimen sebagai tempat untuk bertempik atau melaungkan perkataan yang tidak sesuai. Ahli Parlimen tidak seharusnya bertindak sedemikian. Ada juga yang bertindak seperti 'budak-budak' dengan memanggil nama tertentu sesama sendiri.

Ikutilah perangai Ahli Parlimen yang berhemah tinggi dan beretika ketika di Dewan Rakyat. Mereka benar-benar menggunakan dewan mulia untuk kepentingan rakyat. Ini yang ingin ditonton oleh rakyat dan bukan satu sarkas atau zoo yang memalukan. Bukan menjerit-jerit dan memanggil nama. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Ramai kalangan pemimpin kerajaan terutamanya Jemaah Menteri dan pembangkang yang beradab di Parlimen. Antara Ahli Parlimen pembangkang beradab dan beretika ialah Haji Hadi Awang, Sallehuddin Ayub dan Tan Seng Giaw.

Tepuk dada, tanya selera.