Saturday, July 11, 2009

100 HARI PM DAN HARI RAKYAT

Hari ini, hari 100 hari Perdana Menteri. Hari ini juga, hari untuk rakyat. Itulah yang ingin ditekankan oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Untuk itu, Perdana Menteri membuat 11 pengumuman untuk rakyat, dalam satu majlis pagi tadi.

Antaranya pemberian diskaun kepada pengguna jalan bertol, peluang pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan rendah, pengurangan caj bayaran latihan penunggang motosikal serta satu tabung unit amanah baru.

Berucap di majlis "100 Hari Najib Bersama Rakyat" di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Perdana Menteri berkata, untuk meringankan beban pengguna lebuh raya yang menggunakan kad prabayar Smart Tag dan Touch 'n Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, mereka akan layak menerima diskaun 20 peratus.

Ini adalah satu keputusan atau penyelesaian sementara sahaja, sementara menunggu kajian keseluruhan mengenai kadar tol yang menurutnya akan mengambil masa.

Beliau pernah diberitahu oleh seorang pengguna jalan bertol yang dirinya terpaksa membayar tol lebih kurang RM300 sebulan manakala gaji bulanannya RM3,000, yang menurut Perdana Menteri:" Orang ini hanya mendapat gaji 11 bulan sahaja setahun, kerana gaji satu bulan lagi habis dibelanjakan untuk pembayaran tol setahun.

"Ini (diskaun) saya percaya akan memberi kelegaan pada rakyat terutamanya yang menggunakan jalan tol setiap hari," kata beliau yang disambut dengan tepukan gemuruh lebih 5,000 hadirin di dalam dan luar pusat konvensyen itu yang penuh sesak.

Saya mengambil keputusan berada di luar pusat konvensyen untuk membolehkan generasi muda mengikuti ucapan PM secara terus. Biarlah orang muda berpelung melihat pemimpin mereka dari dekat.

Dalam ucapan hampir 50 minit yang dimulakan tepat 11.11 pagi yang menandakan 11 Julai, genap 100 hari menjadi Perdana Menteri selepas dilantik pada 3 April lalu, DS Najib juga mengumumkan penyewa rumah di bawah Program Perumahan Rakyat di Wilayah Persekutuan akan diberi peluang dan pilihan membeli rumah di bawah program itu.

Sejumlah 44,000 unit rumah ditawarkan yang memberi peluang golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Satu lagi pengumuman mesra rakyat Perdana Menteri melibatkan masyarakat penjaja dan peniaga kecil, di mana mereka akan menikmati potongan 50 peratus bagi pembaharuan lesen dan lesen baru.

Sebagai memenuhi permohonan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia bagi pengurangan bayaran lesen yang dikemukakan kepada beliau pada satu majlis di Tanjung Karang, Selangor bulan lalu.

"Ini akan memberi banyak kelegaan...saya harap negeri-negeri lain akan ikut langkah di Wilayah Persekutuan ini. Mudah-mudahan (bayaran) lesen-lesen lain juga akan dikurangkan," katanya.

Turut diumumkan ialah kerajaan akan menambah 3,000 lagi permit teksi untuk individu dalam masa tiga bulan ini, pertambahan daripada 7,000 permit teksi individu yang telah diberikan setakat ini.

Dasar membantu pemandu teksi dibuat memandangkan pada masa sekarang terdapat ramai pemandu teksi yang terpaksa menyewa harian dengan pembayaran seperti RM50 sehari, di samping kos lain seperti minyak.

Caj bayaran latihan untuk penunggang motosikal kelas B2 iaitu 250 cc ke bawah dikurang menjadi RM211 seorang. Ini dilihat benar-benar untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan golongan penuntut.

Ketika ini, ramai penunggang terutama anak-anak muda yang "ke hulu dan ke hilir dengan motosikal kapcai" tidak memiliki lesen memandu kerana kos mendapatkan lesen termasuk latihan adalah tinggi, di antara RM500-RM700 seorang.

"Setelah berunding dengan sekolah-sekolah memandu, caj (kadar) bayaran latihan (belajar) dikurang kepada RM211. Dan berdasar riak tadi, saya membayangkan memang tepat keputusan tadi," katanya.

Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa menjelang 2010, seramai 10,000 isi rumah miskin tegar di bandar akan diberi 10,000 unit Skim Amanah Saham Wawasan untuk isi rumah di bawah senarai E-Kasih dalam usaha memerangi kemiskinan bandar.

Satu lagi tabung unit amanah baru dinamakan "Amanah Saham 1Malaysia" akan dilancarkan sedikit masa lagi dengan saiz sehingga 10 bilion unit. Ia dibuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Selain itu, peruntukan skim TEKUN ditambah RM150 juta lagi dan juga mengumumkan peruntukan RM15 juta khusus untuk program pembangunan usahawan muda kaum India di negara ini.

DS Najib juga mengumumkan bahawa kerajaan akan mengambil langkah-langkah drastik ke arah mengurangkan jenayah dan rasuah di negara ini, dan maklumat mengenainya akan diumumkan hujung bulan ini.

Satu lagi pengumuman mesra rakyat Perdana Menteri hari ini adalah berkaitan pendaftaran kelahiran, yang menurutnya ramai juga yang lambat mendaftarkan kelahiran dan kerajaan akan terus mempergiatkan usaha memperbaiki keadaan itu.

Di Sabah, semenjak 2005, sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran telah diterima dan daripada jumlah itu 92 peratus diluluskan.

Di Sarawak pula, semenjak 2005, sebanyak 19,000 permohonan telah diterima dan dari jumlah itu, 80 peratus permohonan telah diluluskan.

Dalam pengumuman mengenai kewarganegaraan pula, Najib mengumumkan bahawa jumlah permohonan tertangguh pada 1 Nov 2008 adalah sebanyak 34,000, dan sehingga bulan lepas, sebanyak 46 peratus telah selesai dibuat keputusan dan usaha akan dipergiatkan lagi untuk menyelesaikan baki permohonan.

Di majlis itu, Najib turut membuat pengumuman mengenai infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak, dan menurutnya kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di kedua-dua negeri, daripada 750 kilometer yang dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sekarang kepada 1,500 kilometer dalam tempoh RMK-10.

Liputan bekalan air minum yang kini berada pada tahap 52 peratus di Sabah dan 61 peratus di Sarawak, akan dipertingkatkan, begitu juga bekalan elektrik, dan pengumuman mengenainya akan dibuat hujung bulan ini.

Hakikatnya, 100 hari PM pada hari ini adalah HARI RAKYAT.

Selamat menerima hadiah daripada Perdana Menteri.

2 comments:

budak-kom said...

salam.nak tanya pendapat secara peribadi kan nanti d kata sebagai kata2 orang yang bertanggungjawab kepada RTM.pasal pemansuhan ppsmi.timbalan menteri kata jimat RM 40 juta pertahun.tapi dia lupa nak kira 14 ribu guru yang akan mengajar balik n terlupa RM 5 bilion yang akan dibelanjakan kerajaan untuk mantapkan bi.tun kata ppsmi persediaan anak bangsa untuk perkembangan sains dan matematik pada masa hadapan.tapi dsn kata penguasaan bi masih sama.nampak sangat dsn tak faham matlamat ppsmi.cuba komen skit hal ini.dan saya akan anggap komen abang sebagai komen peribadi dan bukan komen sebagai pemegang RTM.

Orgkpgdoha said...

Kita tunggu dan lihat reaksi Rakyat selepas ini..Doa Orgkpgdoha..syukurlah apa yang dianugrahkan Tuhan kepada kita...Tapi Ilmu perlu ditekankan untuk masa depan rakyat,