Thursday, July 26, 2007

PENUMPANG PUN TAK BOLEH TIDUR


(Pandu cermat, jiwa selamat. Gambar oleh IY)

Petang semalam saya mengikuti kenderaan pacuan empat roda yang memaparkan sticker "Caution: Driver Asleep". Sudah pasti pemandu kenderaan itu ingin berjenaka dan berusaha untuk menghiburkan pemandu dan penumpang kenderaan di belakangnya. Jika ia benar-benar berlaku, yakni pemandu sedang tidur, sudah pasti kenderaan itu akan terpelosok ke dalam parit atau melanggar kenderaan di hadapan.

Pemandu bertanggungjawab terhadap keselamatan penumpang. Nyawa penumpang bergantung kepada pemandu. Pemandu tidak boleh tertidur walaupun seminit. Orang mengantuk boleh tidur di atas katil, sofa, bangku atau di atas lantai. Orang mengantuk tidak boleh tidur dan memandu. Jawapannya sudah pasti membawa nahas. Tiada pilihan bagi pemandu yang mengantuk. Mereka perlu memberhentikan kenderaan dan tidur sehinggalah mata menjadi segar semula. Pemandu perlu memandu dengan selamat tanpa mengira waktu. Tidak kira sama ada pada waktu pagi, tengahari, petang, malam ataupun dalam hujan atau kabus. Pemandu perlu bertanggungjawab terhadap nyawa penumpang.

Penumpang juga perlu memainkan peranan untuk memastikan pemandu tidak tertidur. Mereka perlu berbual dengan pemandu. Penumpang perlu memastikan pemandu sentiasa segar dan memandu dengan selamat. Jika ada lima penumpang dalam kenderaan, mereka boleh mengambil giliran untuk tidur. Tetapi yang penting, ada seorang yang boleh menemani pemandu agar pemandu tidak tidur. Bukan satu lesen untuk tidur jika menjadi penumpang. Jagalah nyawa anda dengan memastikan pemandu tidak tidur.

Kejadian di [ Temerloh ] awal pagi semalam amat menyayatkan hati. Semoga menjadi iktibar kepada rakyat negara ini.

Wednesday, July 25, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (27)

Aku dengar seperti ada beruk memanggilku. Apabila menjengok ke bawah, terpacaklah Jinnah, Jibam, Sirimau dan Biola. Aku turun ke pangkal pokok. Biola menunjukkan kepadaku gambar Radja dalam suratkhabar terbitan manusia. Terbitan hari ini. Terpampang tajuk dalam akhbar itu. Beruk Albino dijadikan bahan kajian. Biola menggelengkan kepala. Aku mengerti perasaan Biola.

Sirimau yang mendapat maklumat daripada Tok Yem, menjelaskan beruk albino jarang dijumpai di negara ini. Itulah yang menyebabkan Radja begitu istimewa. Radja satu dalam seribu. Menurut cerita, sepasukan ahli sains Universiti Kebangsaan Malaysia telah melihat Radja beberapa bulan lalu. Itupun secara kebetulan ketika mereka mengkaji flora dan fauna di Bukit Putra. Mereka memerhatikan dari jauh segala tindak-tanduk Radja ketika di bawah bukit. Mereka meneropong cara Radja berjalan dan memanjat pokok. Cara Radja mencari makan dan bergaul bersama beruk yang lain. Mereka berminat untuk membuat kajian. Mereka meminta bantuan penguatkuasa tempatan untuk menangkap Radja, raja beruk di Bukit Putra.

Dalam laporan berita itu juga, beberapa ahli sains itu amat marah cara petugas pihak berkuasa tempatan mengendalikan penangkapan Radja. Mereka hairan mengapa seluruh badan Radja luka dan kepalanya berdarah teruk. Namun itulah yang mereka dapat daripada kumpulan orang yang suka menggunakan tenaga kekuatan untuk menunjukkan kuasa. Menggunakan kekerasan kerana mereka ada kuasa. Kuasa untuk memukul. Bagi ahli sains, penangkapan Radja perlu dilakukan secara baik dan berhemah. Bukan cara ganas dan boleh membawa mati. Bukan menyiksakan.

Gambar dalam suratkhabar itu, mengikut Sirimau, menjelaskan Radja sedang tidur setelah diberikan suntikan ubat penenang. Tetapi aku melihat gambar Radja seolah-olah dia sudah mati. Terlentang di atas katil bercadarkan kain biru. Aku sedih. Begitu juga Jinnah dan Biola. Air mata berlinangan dalam kelopak mata Biola.

Biola adalah pembantu khas Radja. Dialah yang menguruskan segala bentuk persiapan apabila sesuatu upacara dijalankan. Dalam ertikata lain, Biola adalah pegawai khas Radja. Tetapi perangainya baik dan bersopan santun tidak seperti sesetengah pihak. Lebih sudu dari kuah. Jadi pegawai khas macam jadi timbalan kepada orang besar itu. Ini tak boleh, itu tak boleh. Pelbagai peraturan dikenakan. Pegawai khas itu pula yang pandai-pandai buat keputusan. Sedangkan ketuanya tidak cakap apa pun. Amat menghairankan.

Menurut Sirimau lagi, Tok Yem juga ada menyatakan sebenarnya universiti tempatan banyak membuat kajian. Berpuluh ribu kajian sejak merdeka lagi. Tetapi hasilnya tidak digunakan. Tidak nampak. Buat apa buat kajian kalau tidak digunakan. Dimanakah salahnya? Sepatutnya hasil kajian yang dibuat boleh digunakan untuk memperbaiki sesuatu produk atau pemahaman mendalam mengenai sesuatu kehidupan. Apakah kajian itu dijalankan tidak sepenuhnya? Apakah kajian itu separuh masak saja? Apakah ada faktor yang menyebabkan hasil kajian tidak membantu negara ini? Mungkin ada, tetapi tidak banyak. Itulah beberapa perkara yang perlu dijelaskan oleh manusia.

Tok Yem berharap kajian terhadap Radja akan dapat membuahkan penemuan baru dalam dunia sains. Setidak-tidaknya gelagat beruk-beruk di Malaysia. Bukannya banyak beruk putih di negara ini. Sudah tentu ada sejarah evolusinya.

Menurut Tok Yem penemuan beruk putih di Putra Hait itu adalah satu perkara menakjubkan. Ia mungkin petanda baik untuk penduduk Putra Hait. Sesuatu yang putih itu biasanya baik. Kecualilah benda putih yang ditemui pada waktu malam yang boleh membuat manusia pengsan. Bagi Tok Yem, beruk putih itu perlu diberikan nama Putra sempena nama Bukit Putra, di mana Radja ditemui. Ini akan memudahkan rakyat negara ini mengenali Putra dan mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa. Adakah Putra yang dicadangkan oleh Tok Yem itu akan terus menjadi raja beruk atau hanya seekor beruk kajian? Beruk yang dikaji oleh semua pihak terutamanya ahli sains tempatan. Selamat menjalankan kajian. Selamat dikaji Sang Putra.

TERBIT MAJALAH : JANGAN BAKAR WANG

Seorang gadis manis hari ini menemui saya bagi mendapatkan nasihat untuk menerbitkan majalah. Gadis Melayu Terakhir ini (wajahnya seperti gadis Melayu doulu-doulu. Pure. Tiada campuran) ingin menerbitkan majalah wanita bersama dengan tiga rakan yang lain. Alasan mereka ialah minat mendalam dalam bidang ini. Ditambah pula ada pihak yang sanggup mengeluarkan wang untuk menerbitkan majalah itu.

Perkataan pertama yang saya sebutkan padanya ialah "LUPAKANLAH".

Gadis ini tersenyum dan bertanya, "Mengapa tidak boleh Tiger?"

Saya nyatakan dengan tegas, "JANGAN BAKAR WANG ANDA"

Cik Adik, untuk menerbitkan majalah bukanlah mudah. Banyak kerja. Tambahan pula untuk mendapatkan keuntungan. Belum tentu. Oleh itu, lupakan saja hasrat untuk menerbitkan majalah jika Cik Adik ingin mendapat keuntungan daripada penerbitan majalah itu. Cik Adik akan menangis akibat wang yang terbakar daripada pelaburan itu setidak-tidaknya enam bulan atau mungkin bertahun-tahun. Percaya dan yakinlah. Ada penerbit yang rugi hampir RM1 juta kerana menerbitkan sebuah majalah wanita. Ada pula rugi hampir RM2 juta kerana menerbitkan majalah remaja. Lebih baik simpan saja duit yang ada dalam amanah saham, dah tentu dapat dividen.

Tunjang utama penerbitan majalah ialah NASKAH TERJUAL dan IKLAN. Kalau kedua-duanya lemah, tolonglah jangan terbitkan majalah. Jika kajian Cik Adik mendapati circulation dan iklan boleh tercapai maka adalah harapan sedikit, bukan untung tetapi boleh bertahan beberapa bulan. Jika tidak, lupakanlah.

Cik Adik, ketika ini banyak majalah wanita dan hiburan tempatan di pasaran. Ditambah lagi dengan majalah luar negara. Berebut-rebut untuk mencari pembaca. Apatah lagi jika sesuatu majalah itu mempunyai isi kandungan yang hampir sama. Menggunakan isu dan gambar yang sama. Umpamanya perkahwinan artis atau raja. Lupakanlah.

Namun, jika Cik Adik tetap berdegil, semangat berkobar-kobar dan tidak peduli, silakanlah. Tetapi ingat dan sedarlah bahawa untuk enam bulan pertama, wang yang dilaburkan akan hangus begitu saja. Untuk tiga bulan pertama tiada wang yang akan masuk tetapi banyak pula akan keluar. Bersedialah untuk dimasukkan dalam senarai individu yang muflis. Sama ada Cik Adik, kawan atau pun pelabur budiman. Ada individu yang melabur dalam bidang penerbitan, bukan saja tidak dapat untung tetapi jatuh bankrap.

Jika Cik Adik bersemangat, degil dan tidak pedulikan nasihat orang, teruskanlah.

Pertama perlu mempunyai pasukan pengarang yang cemerlang dan berpengalaman. Mampu mencernakan artikel yang bermutu dan bermaklumat. Kedua ialah advertising team yang mantap dan berpengalaman. Jangan hanya bergantung kepada circulation saja kerana waima perubahan musim saja, jualan majalah anda akan berubah. Sebagai contoh, selepas hari raya, jualan majalah akan merosot. Sebab, duit dah habis ditabur ketika berbelanja untuk persiapan hari raya. Ini bukan pelik tetapi cerita benar. Suratkhabar lagi teruk. Musim hujan juga boleh menyebabkan jualan akhbar merosot. Itulah alasan yang diberikan oleh circulation team NSTP ketika saya bertugas dulu. Perrrggghh. Bersedialah untuk menghadapi peperangan.

TIADA DUIT ELOK DUDUK DI KAMPUNG (1)

Jika anda tiada duit, lebih baik duduk di kampung. Jangan tinggal di bandar-bandar besar terutama di Kuala Lumpur. Percaya dan yakinlah. Saya mempunyai alasan kukuh menyokong nasihat itu bermula dengan tempat tinggal anda.

1. Rumah. Jika di kampung, anda sudah pasti mempunyai sebuah rumah. Setidak-tidaknya rumah ibu bapa. Itulah tempat berteduh. Di bandar, sudah pasti anda perlu menyewanya. Berapa jumlah sewanya pula? Di Kampung Chubadak, Sentul, pada tahun 1980, anda boleh sewa RM70 sebulan. Tahun 2007, sewanya sudah naik hingga RM300. Di Bangsar, dulu boleh sewa RM1,000 sebulan kini sewa sebuah rumah teres dua tingkat boleh mencecah RM4,000. Begitu juga di Subang Jaya dan Taman Tun Dr Ismail, sewa rumah kini tidak kurang daripada RM1,500. Jika anda ingin menyewa pangsapuri, ia juga bermula dengan RM300 ke atas. Jika gaji anda RM700, lupakan saja untuk tinggal di bandar. Nak tumpang kawan atau saudara. Sambil bila? Lama-kelamaan sudah pasti sindiran tajam akan diluahkan. Umpamanya, " sampai bila rumah kita ni akan ada penumpang?". Perrrgggh. Nak buat rumah setinggan dah tak boleh lagi. Kerajaan Negeri ada matlamatnya untuk menghapuskan setinggan. Nak tinggal dalam hutan berhampiran bandar, nanti disalahsangka pula sebagai pendatang tanpa izin. Nak tidur di bawah jambatan atau tempat menunggu bas, akan termasuk dalam kategori gila pula.

2. Makan Minum. Di kampung, anda boleh makan dan minum apa saja jika tinggal di rumah ibu bapa. Merekalah yang menanggungnya. Anda juga boleh makan buah-buahan yang terdapat di sekeliling rumah atau rumah saudara-mara. Di bandar, apa saja yang hendak dimakan atau minum perlu dibayar. Waima air kosong sajapun kini berharga 30 sen di restoran mamak. Apatah lagi nak ambil buah rambutan rumah jiran, mungkin anda akhirnya bermalam di jel. Harga gula-gula pun sudah naik 10 sen satu gula. Sambil bila boleh tahan makan satu gula saja. Roti pun sudah berharga RM1, yang boleh "tahan perut" selama sejam. Selepas itu, anda akan kelaparan. Nak buat teh, perlu ada air panas. Air panas juga dikenakan bayaran. Di kampung, anda boleh bercucuk tanam di keliling rumah. Di bandar, semuanya simen dan batu. Sayur-sayuran bertaubat untuk tumbuh. Di kampung, anda boleh mengail untuk mendapatkan ikan sembilang atau haruan. Bakar dan cecah dengan air asam. Masak nasi panas dan siapkan sambal belacan. Di bandar, ikan pun mati dalam sungai yang penuh toksid. Nak beli asam jawa dan belacan perlu naik bas pergi ke Tesco atau Giant. Terpaksa keluar duit lagi.

3. Pakaian. Di kampung, anda boleh pakai baju lama. Tiada orang akan peduli. Di bandar, anda perlu mempunyai satu set pakaian untuk seminggu. Apatah lagi jika anda bekerja. Mesti yang bersih dan cantik. Di kampung, tidak perlu kerana mungkin anda berada di rumah sepanjang masa atau bekerja di kebun atau kilang papan. Begitu juga bekerja di kedai baiki motor. Jika pergi ke pekan di kampung, tidak perlu memakai pakaian mahal. Tshirt pagoda, kain pelikat dan selipar jepun pun dah cukup. Di bandar, semua orang memakai pakaian yang ada jenama. Tidak kira buatan Siam atau China. Yang pasti ada jenama. Itupun kena bayar RM20 untuk sehelai kemeja-T. Jika hendak beli kemeja yang baik, sekurang-kurangnya kena keluar RM50. Di kampung, anda boleh pakai kain pelikat seharian. Tidak dibandar, mungkin orang kata anda baru bersunat. Di kampung, lepas cuci pakaian boleh menyidainya di keliling rumah. Di bandar, nak sidai di mana? Silap-silap dapat saman DBKL. Pakaian pula kena hantar dobi. Itu keluar duit lagi. Kasut jangan cerita. Di bandar, mesti yang baru dan cantik. Tidak boleh kelabu dan berabuk. Di kampung, tidak kisah. Capal lama pun dah dianggap cantik dan bergaya. Seluar kecil kena bertukar setiap hari. Di kampung, tidak pakai pun tak apa jika sepanjang hari duduk di rumah. Siapa hendak perasan?

Berjumpa lagi. Sekadar merapu untuk menggelakkan lebih ramai orang datang ke bandar.

Tuesday, July 24, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (26)

Kecoh satu Bukit Putra. Radja, beruk putih ditangkap oleh manusia ketika sibuk mencari makan di bawah bukit. Lima orang manusia dikatakan berhempas-pulas untuk menangkap Radja. Mereka menggunakan jaring dan buluh panjang. Jaring dilempar kepada Radja, beliau dapat membolosnya. Radja menyergah mereka. Taringnya yang tajam ditunjukkan untuk menakutkan manusia. Mereka berundur.

Radja tidak menyerah kalah. Beberapa orang manusia berjaya digigitnya. Mana yang sempat. Ada di tangan manakala beberapa lagi di kaki. Akhirnya, Radja tersungkur apabila kepalanya diketuk dengan buluh panjang. Darah merah mengalir. Walaupun, Radja seekor beruk putih, darahnya tetap merah, seperti beruk lain. Tiada bezanya.

Ketika diheret turun, dada Radja masih berombak. Radja masih hidup ketika dibawa oleh manusia berpakaian seragam berwarna biru. Mereka memikulnya beramai-ramai menggunakan jaring dan buluh panjang. Dibawa terus di atas lori biru. Terus hilang daripada pandangan beruk-beruk yang turut menyaksikan kejadian yang menyedihkan itu.

Radja, ialah beruk albino. Badannya besar sedikit daripada beruk-beruk di Bukit Putra termasuk diriku. Oleh kerana berlainan kulit rupa, masyarakat beruk menganggapnya sebagai raja. Tetapi bukan raja manusia, yang disembah dan disanjung. Radja hanyalah dianggap sebagai raja beruk dari kacamata masyarakat beruk. Mereka memerlukan seekor beruk yang boleh dibuat simbol raja. Aku hanya ketua perwakilan beruk. Tetapi untuk memulakan sesuatu upacara, Radjalah diberi penghormatan.

Banyak bapa beruk yang menyerahkan anak dara mereka kepada Radja. Harapan mereka ialah untuk mendapatkan cucu putih. Tetapi harapan mereka meleset. Anak beruk yang dilahirkan tidak putih. Macam beruk biasa juga. Akhirnya masyarakat beruk faham Radja muncul dalam seribu ekor beruk. Tidak hairanlah Radja dipuja sehinggalah manusia membawanya entah kemana. Sedih berbaur marah. Ingin diganyang manusia itu tetapi apakan daya, mereka mempunyai senjata. Selain buluh panjang, ada manusia yang membawa parang panjang. Tidak kurang juga yang membawa tali kapal.

"Apa kita nak buat tok?" tanya Biola. "Nak buat apa? Kita tidak boleh melawan manusia," kataku ringkas. "Tapi kita boleh serang manusia lain" tambahnya. "Mengapa pula nak serang manusia lain. Manusia yang tangkap lain, yang kita nak serang lain. Tidak bolehlah begitu. Kita tunggu sajalah. Anggaplah Radja sudah mati. Anggaplah Radja sudah tiada lagi. Kita hiduplah seperti biasa." kataku lagi. Biola yang mempunyai bentuk tubuh seperti alat muzik manusia terus berhenti bertanya. Begitu juga beruk yang lain. Mereka terus bersembang mengenai Radja.

Faham dengan kata-kataku tadi mereka terus bersurai. Seribu macam persoalan dalam fikiran mereka. Aku memahami perasaan itu. Radja sudah tiada lagi. Bukit Putra tidak mempunyai raja lagi. Apakah mungkin dalam sepuluh tahun lagi wujud beruk albino? Apakah ada beruk lain yang boleh dilantik menjadi raja? Persoalan ini terus bermain dalam benak otakku. Tetapi aku yakin, Radja akan sentiasa di hati beruk Bukit Putra.

Monday, July 23, 2007

BAPA KEMERDEKAAN, BAPA MALAYSIA (1)



Perdana Menteri Pertama, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah seorang penulis terbilang. YTM Tunku menulis untuk keharmonian dan kesejahteraan Malaysia. Dalam tulisannya, YTM Tunku menegur dan menasihati kita. Untuk itu, saya akan memaparkan lontaran pemikiran YTM Tunku dalam artikelnya yang disiarkan dalam buku Challenging Times terbitan Pelanduk Publications untuk renungan kita bersama. Lontaran pemikiran itu adalah satu panduan kepada rakyat negara ini untuk terus bersatu-padu demi sebuah negara bernama MALAYSIA. Negaraku gagah gemilang.

UMNO must stay united (9 May 1983)

“I would like to see UMNO continue to give the lead with a good example to the other members of Barisan Nasional. They must avoid all costs cliques and grouping within the party.”


”Saya mahu melihat UMNO terus memimpin dengan memberikan teladan yang baik kepada ahli Barisan Nasional yang lain. Mereka perlu mengelakkan sepenuhnya kewujudan klik dan kumpulan di dalam parti.”

Sunday, July 22, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (25)

Jinnah baru balik bersama anaknya, Jibam dan Sirimau. Mereka datang membawa buah-buahan yang diberikan oleh Tok Yem. Ini bukan pertama kali Jinnah dan Sirimau datang menemuiku. Hampir setiap bulan mereka datang. Bersembang denganku mengenai macam-macam cerita. Yang paling banyak ialah gelagat manusia yang disampaikan oleh Sirimau.

Pertemuan kali ini, Sirimau menceritakan mengenai keadaan pembantu rumah dari negara jiran. Menurutnya, perkara ini banyak didengarnya daripada perbualan Tok Yem dengan rakan-rakannya dalam banyak pertemuan mereka. Ada peristiwa yang menyedihkan dan tidak kurang pula yang menyayatkan hati. Yang terbaru membabitkan Nita yang bekerja dengan satu keluarga Cina di Puchong. Aku menangis mendengar cerita itu.

Nita diperlakukan oleh seperti anjing selama dua tahun bersama dengan keluarga berkenaan. Malah lebih teruk daripada anjing. Walaupun tuannya kaya, Nita ditempatkan di sebuah pondok yang dibina di belakang rumah. Berdekatan dengan lubang kumbahan najis. Pondok itu dibuat daripada zink. Bayangkan betapa panasnya di waktu siang. Itulah yang dialami oleh Nita sejak mula dihantar oleh agensi pekerjaan ke rumah itu. Amat menyedihkan.

Rutin harian Nita ialah menyiapkan sarapan pagi, memberi makanan kepada anjing dan adakalanya terpaksa memandikannya. Ini dibuat dua minggu sekali. Seterusnya, beliau diminta membasuh tiga buah kereta milik tuannya. Setelah habis membasuh kereta dan mencuci pakaian, barulah Nita boleh menikmati sarapan pagi. Sarapannya ialah lebihan makanan yang ditinggalkan oleh keluarga berkenaan. Sungguh menyayatkan hati. Adakalanya beliau hanya makan roti keras yang dibuang oleh anak tuannya.

Nita tidak dibenarkan mengambil sebarang makanan di dalam peti sejuk kerana puannya telah membuat satu senarai makanan dalam peti itu. Jika ada makanan yang hilang, Nitalah orang pertama yang akan dituduh. Ini menyeronokkan anak tuannya apabila Nita dipukul kerana dituduh mencuri makanan, sedangkan ia dilakukan oleh mereka. Antara denda yang dikenakan oleh puannya ialah terpaksa membasahkan seluruh baju dan tidak dibenarkan menyalin pakaian kering. Kena bekerja walaupun baju dan kainnya basah. Nita akan menggigil hingga ke malam. Adakalanya beliau dipukul menggunakan penyapu atau batang mop. Yang mana sempat dicapai oleh puannya. Sungguh menyedihkan.

Nita juga diminta membersihkan najis dua ekor anjing tuannya. Namun, beliau bersyukur keluarga itu tidak makan babi. Maka itu, Nita tidak perlu menyamak anggota tubuhnya. Beliau hanya perlu berbuat demikian jika emak tuannya datang ke rumah. Hanya emak tuannya yang makan babi dan selepas membasuh pinggannya, beliau akan menyamak tangannya. Nita berjaya melarikan diri apabila seorang wanita pengemis Bangladesh datang ke rumah tuannya. Wanita itu membantunya sehinggalah beliau dapat pulang ke negara asal, bulan lalu.

Kedua ialah kejadian yang menimpa Surami yang berasal dari Pulau Jawa. Beliau tinggal bersama dengan keluarga Melayu. Surami dibuat seperti hamba abdi oleh keluarga itu. Kerja Surami ialah memasak, membasuh pinggan dan baju selain mengemas rumah setiap hari. Beliau juga terpaksa membuat kerja-kerja berat seperti mengangkat pasu, memikul batu-bata dan kampit simen. Surami juga perlu membantu tuannya membancuh simen. Ini kerana tuannya suka membina patung-patung daripada simen. Surami teruk dikerjakan dari Isnin hinggalah Ahad. Tiada waktu rehat untuk Surami. Beliau tinggal di bilik belakang yang dibuat daripada papan dan beratapkan plastik.

Namun, Surami tidak boleh tahan dengan tindakan seorang anak remaja tuannya yang menceroboh masuk ke biliknya hampir setiap malam. Anak lelaki itu memaksa beliau melakukan seks luar tabii. Setelah tidak tahan dengan perangai remaja itu, Surami mengadu kepada puannya. Bukan dibantunya tetapi Surami dipukul kerana menuduh anak lelaki yang disifatkan oleh ibunya sebagai seorang yang alim. Setelah tiga bulan bekerja di situ, Surami berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis menerusi bantuan seorang lelaki yang menemuinya merayau-rayau di jalan raya.

Aku menitiskan airmata ketika mendengar cerita ini daripada Sirimau. Betapa buruknya perangai manusia. Tidak ubah seperti binatang. Aku, seekor beruk tidak tergamak untuk berbuat seperti itu. Manusia seperti ini perlu digantung hidup-hidup kerana tidak menghormati maruah orang lain. Yang menyedihkan ialah kerana hanya membayar gaji yang tidak seberapa, pembantu rumah dibuat seperti hamba abdi. Inilah kegiatan hamba abdi zaman moden yang banyak diamalkan tidak mengira bangsa dan keturunan.

SASTERAWAN NEGARA TERBILANG


(Inilah siling yang perlu kutatapi setiap hari selama sebulan setengah di UMMC. Gambar IY)

Sasterawan Negara (SN), Datuk A Samad Said seorang yang gemar berjalan bagi menyihatkan badan. Pak Samad dari Melaka ini juga mempunyai kegemaran untuk menaiki tangga bangunan yang rendah seperti tiga atau empat tingkat walaupun disediakan lif. Alasannya ialah inilah cara untuk bersenam tanpa perlu mengeluarkan wang untuk membeli pelbagai peralatan bersenam.

Jumaat lalu, saya diberitahu oleh seorang teman bahawa Pak Samad pernah berjalan kaki ke KLIA sebelum terbang ke destinasi lain. Perrrggghh. Ini satu tindakan yang "luarbiasa" apatah lagi ia membabitkan seorang sasterawan yang suka menjaga kesihatan. Kegemaran suka berjalan ini perlu diikuti oleh generasi sekarang bagi memastikan mereka boleh terus hidup melebihi umur 70 tahun seperti Pak Samad.

Datuk A Samad juga mempunyai formula terbaik apabila membicarakan cara pemakanannya. Beliau hanya makan masakan yang baru dimasak seperti tomyam, sup, mi atau mihun goreng dan menggelakkan menikmati makanan yang sudah lama dimasak. Oleh itu, isterinya, Rashidah Dahan (RD) yang gemar makanan Padang perlu memasaknya untuk sekali makan kerana Pak Samad makan ketika lauk itu masih panas. Jika hendak mengulangi makanan yang sama, RD perlu masak sekali lagi. Satu tabiat yang baik dan menyegarkan.

Bagi mereka yang mengenali rapat Pak Samad, beliau adalah seorang yang kuat disiplin dan sentiasa memenuhi temujanjinya. Apakan tidaknya, segala urusan beliau diuruskan sendiri dengan bantuan "diari" yang sarat dengan pelbagai maklumat. Pak Samad akan menulis segala-galanya dalam diari istimewanya yang akan dibawa ke merata tempat. Sunguh luar biasa dan sifat terpuji.

Ketika saya di UMMC tahun lalu, kedatangan pelawat berjaya mengurangkan penderitaan yang dialami. Namun, kehadiran Pak Samad sebanyak dua kali berjaya mempercepatkan proses penyembuhan penyakit saya dengan sikap berhemah dan penuh sopan. Kehadirannya amat menghiburkan. Malah, dalam setiap lawatannya, beliau menghadiahkan saya bukunya yang sesuai dibaca sepanjang masa.

Saya sempat menulis nota pendek mengenai kehadiran Pak Samad pada 23 Ogos 2006 yang ditujukan kepada DRH.

"Yang.., pertemuan dengan Pak Samad amat menyegarkan. Insan ini begitu istimewa. Penuh puitis dah humor.

Yang.., aku mahu jadi Pak Samad. Setidak-tidaknya keluhuran peribadinya. Dia kata hidupnya panjang kerana Tuhan mahu dia membantu orang. Dia akan melaksanakannya.

Yang.., berbual dengan Pak Samad tiada penghujungnya. Insan 71 ini amat perhatin mengenai alammya, kesihatan, logika, puitis sesuatu perkara itu.

Pak Samad humor orangnya. Berbicara pasal umur. Abdullah Hussein yang jatuh dan dibubuh besi kakinya berusia 86 tahun. Aku kata ia bonus, tapi Pak Samad mencelah ia ex-gratia. Katanya, kalau Star (akhbar) itu bonus dan ex-gratia lebih enam bulan. Kami tergelak terhibur.

Yang.., hari ini istimewa. Kita sama-sama temui insan mulia."

Saturday, July 21, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (24)

Aku boleh merasai kemarahan mereka. Api kemarahan membuak-buak di dada mereka. Inilah gara-gara Sitos yang menyebabkan banyak beruk terbunuh oleh senapang manusia. Sitos yang garang telah menyerang seorang anak manusia. Habis digigit anak itu sehinggakan mukanya berdarah. Oleh kerana sakit hati manusia terus membalas dendam. Mereka datang beramai-ramai membawa senapang dan mula menembak beruk di Bukit Putra. Menembak tidak tentu hala. Satu demi satu terkulai layu. Ada di atas pokok dan ada yang mati tersungkur di atas tanah ketika mencari makanan. Mereka tidak sempat lari.

Kini, beruk-beruk lari bersamaku ke gua di atas Bukit Putra. Manusia tidak mengetahui kewujudan gua berkenaan. Kami bersembunyi dan tidak membuat bising. Ada lebih seratus beruk yang mencari perlindungan di gua itu. Yang lain, entah apa nasib mereka. Ada yang bersembunyi di atas pokok besar dan berdiam diri ibarat mayat yang terkujur layu. Ada yang bersembunyi di batu-batu besar di gaung. Entahlah.

Yang menyedihkan aku ialah cerita daripada beberapa ekor beruk yang datang kemudian. Sepanjang perjalanan, mereka melihat banyak beruk mati terbongkang dikerjakan oleh manusia. Ada yang pecah kepalanya. Ada yang terburai perut dek penangan peluru kapur yang mengena sasaran. Darah mula mengalir di Bukit Putra. Tiada belas kasihan. Tiada lagi kelembutan manusia. Inilah gara-gara Sitos yang jahat dan kejam.

Sejak sekian lama, Sitos ini menjadi bahan cemuhan masyarakat beruk di Bukit Putra. Sitos seekor beruk yang bukan saja hodoh dari segi fizikalnya tetapi juga dihatinya. Banyak anak beruk menjadi mangsanya. Beruk betina menjadi pemuas nafsu Sitos. Mereka dirogol dan dibunuh dengan kejam. Anak beruk juga tidak terlepas daripada nafsu syaitan Sitos. Mereka dibunuh dengan kejam dan ada yang menjadi bahan makanan Sitos. Darah merah masih terlekat di bulu Sitos. Petualang masyarakat beruk.

Tetapi kali ini Sitos tersalah langkah. Anak manusia yang lalu di bawah bukit dikerjakannya. Sempat anak kecil itu lari meminta tolong. Maka bermulalah pemburuan manusia yang ingin membalas dendam. Ada juga manusia yang membawa anjing garang yang sentiasa menyalak. Namun, yang menakutkan ialah muncung senapang yang sentiasa mencari mangsanya. Terkena peluru, terkulai layu. Amat memilukan.

Menjelang malam, tiada lagi kedengaran bunyi tembakan. Manusia sudah kembali ke rumah mereka. Aku bertekad untuk mencari Sitos, petualang yang kejam dan tidak berhati perut. Aku mahu Sitos dihapuskan. Esok pagi, kami akan mencari Sitos. Jika berjaya mencarinya, kami akan menghapuskannya. Sitos terlalu kejam untuk dibiarkan hidup. Sitos perlu dihilangkan daripada muka bumi ini.

ORANG DI BELAKANG TABIR


(Ada orang di belakang kerusi ini. Mereka tidak kelihatan kerana di luar frame kamera ini. Mereka ada tetapi di belakang. Orang di belakang. Gambar oleh IY.)

Minggu ini, saya bertemu dua yang gemar berperanan sebagai orang di belakang tabir. Itu pengakuan dan kemahuan mereka. Mahu terus menjadi orang di belakang tabir. Bukan takut ke hadapan tetapi biarlah bos yang menonjol bukan diri sendiri. Bukan lumrah dunia.

Pertama, saya menemui seorang penerbit teater. Beliau bukan pelakon atau pengarah teater tetapi sebagai penerbit. Tidak hairanlah tidak ramai yang mengenalinya seperti peminat teater mengenali Fauziah Nawi atau Datuk Faridah Merican. Bagaimanapun, di kalangan penggiat teater, penerbit ini memang dikenali ramai terutama tugasnya yang cemerlang. Teruskan berteater dan menjadi orang di belakang tabir.

Kedua ialah seorang setiausaha politik. Beliau tidak mahu menonjol diri. Malah, beliau pernah menegur bosnya yang memuji beliau di hadapan orang ramai. Alasannya, jika dipuji, beliau tidak boleh membuat kerja.

Baginya, yang penting ialah bos bukan dirinya. Malah dalam pertemuan politik tanpa kehadiran bosnya, beliau akan mendahului dengan salam dan permohonan maaf daripada bos yang tidak berada di situ. Sebagai setiausaha politik, tugas utamanya ialah memastikan politik bos sentiasa "tip top" dan menyerahkan laporan yang tepat dan benar. Bos mesti didulukan bukan politik diri sendiri.

Tidak mahu jawapan seperti ini - "semua ok bos" atau "beres" atau "jangan bimbang dan risau, semua terjamin lancar" atau "bos disukai ramai di sini" atau "bos mesti menang punya" atau "bos akan menang dengan majoriti tinggi".

Ada contoh yang memaparkan disebabkan tindakan orang kuat atau orang belakang yang suka membodek bos dan tidak bekerja dengan baik, nyaris-nyaris seorang pemimpin kecundang ditelan oleh lawannya. Lumrah dunia.

Jadilah "orang belakang" yang baik, bukan suka "main belakang" yang membawa maksud suka menikam orang dari belakang. Fikir-fikirkanlah jika hendak hidup lama dalam politik.