Jinnah baru balik bersama anaknya, Jibam dan Sirimau. Mereka datang membawa buah-buahan yang diberikan oleh Tok Yem. Ini bukan pertama kali Jinnah dan Sirimau datang menemuiku. Hampir setiap bulan mereka datang. Bersembang denganku mengenai macam-macam cerita. Yang paling banyak ialah gelagat manusia yang disampaikan oleh Sirimau.
Pertemuan kali ini, Sirimau menceritakan mengenai keadaan pembantu rumah dari negara jiran. Menurutnya, perkara ini banyak didengarnya daripada perbualan Tok Yem dengan rakan-rakannya dalam banyak pertemuan mereka. Ada peristiwa yang menyedihkan dan tidak kurang pula yang menyayatkan hati. Yang terbaru membabitkan Nita yang bekerja dengan satu keluarga Cina di Puchong. Aku menangis mendengar cerita itu.
Nita diperlakukan oleh seperti anjing selama dua tahun bersama dengan keluarga berkenaan. Malah lebih teruk daripada anjing. Walaupun tuannya kaya, Nita ditempatkan di sebuah pondok yang dibina di belakang rumah. Berdekatan dengan lubang kumbahan najis. Pondok itu dibuat daripada zink. Bayangkan betapa panasnya di waktu siang. Itulah yang dialami oleh Nita sejak mula dihantar oleh agensi pekerjaan ke rumah itu. Amat menyedihkan.
Rutin harian Nita ialah menyiapkan sarapan pagi, memberi makanan kepada anjing dan adakalanya terpaksa memandikannya. Ini dibuat dua minggu sekali. Seterusnya, beliau diminta membasuh tiga buah kereta milik tuannya. Setelah habis membasuh kereta dan mencuci pakaian, barulah Nita boleh menikmati sarapan pagi. Sarapannya ialah lebihan makanan yang ditinggalkan oleh keluarga berkenaan. Sungguh menyayatkan hati. Adakalanya beliau hanya makan roti keras yang dibuang oleh anak tuannya.
Nita tidak dibenarkan mengambil sebarang makanan di dalam peti sejuk kerana puannya telah membuat satu senarai makanan dalam peti itu. Jika ada makanan yang hilang, Nitalah orang pertama yang akan dituduh. Ini menyeronokkan anak tuannya apabila Nita dipukul kerana dituduh mencuri makanan, sedangkan ia dilakukan oleh mereka. Antara denda yang dikenakan oleh puannya ialah terpaksa membasahkan seluruh baju dan tidak dibenarkan menyalin pakaian kering. Kena bekerja walaupun baju dan kainnya basah. Nita akan menggigil hingga ke malam. Adakalanya beliau dipukul menggunakan penyapu atau batang mop. Yang mana sempat dicapai oleh puannya. Sungguh menyedihkan.
Nita juga diminta membersihkan najis dua ekor anjing tuannya. Namun, beliau bersyukur keluarga itu tidak makan babi. Maka itu, Nita tidak perlu menyamak anggota tubuhnya. Beliau hanya perlu berbuat demikian jika emak tuannya datang ke rumah. Hanya emak tuannya yang makan babi dan selepas membasuh pinggannya, beliau akan menyamak tangannya. Nita berjaya melarikan diri apabila seorang wanita pengemis Bangladesh datang ke rumah tuannya. Wanita itu membantunya sehinggalah beliau dapat pulang ke negara asal, bulan lalu.
Kedua ialah kejadian yang menimpa Surami yang berasal dari Pulau Jawa. Beliau tinggal bersama dengan keluarga Melayu. Surami dibuat seperti hamba abdi oleh keluarga itu. Kerja Surami ialah memasak, membasuh pinggan dan baju selain mengemas rumah setiap hari. Beliau juga terpaksa membuat kerja-kerja berat seperti mengangkat pasu, memikul batu-bata dan kampit simen. Surami juga perlu membantu tuannya membancuh simen. Ini kerana tuannya suka membina patung-patung daripada simen. Surami teruk dikerjakan dari Isnin hinggalah Ahad. Tiada waktu rehat untuk Surami. Beliau tinggal di bilik belakang yang dibuat daripada papan dan beratapkan plastik.
Namun, Surami tidak boleh tahan dengan tindakan seorang anak remaja tuannya yang menceroboh masuk ke biliknya hampir setiap malam. Anak lelaki itu memaksa beliau melakukan seks luar tabii. Setelah tidak tahan dengan perangai remaja itu, Surami mengadu kepada puannya. Bukan dibantunya tetapi Surami dipukul kerana menuduh anak lelaki yang disifatkan oleh ibunya sebagai seorang yang alim. Setelah tiga bulan bekerja di situ, Surami berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis menerusi bantuan seorang lelaki yang menemuinya merayau-rayau di jalan raya.
Aku menitiskan airmata ketika mendengar cerita ini daripada Sirimau. Betapa buruknya perangai manusia. Tidak ubah seperti binatang. Aku, seekor beruk tidak tergamak untuk berbuat seperti itu. Manusia seperti ini perlu digantung hidup-hidup kerana tidak menghormati maruah orang lain. Yang menyedihkan ialah kerana hanya membayar gaji yang tidak seberapa, pembantu rumah dibuat seperti hamba abdi. Inilah kegiatan hamba abdi zaman moden yang banyak diamalkan tidak mengira bangsa dan keturunan.
Sunday, July 22, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Sdr Ibrahim,
Ada satu ayat Quran yang menyebut mengenai "syaitan-syaitan jin dan syaitan-syaitan manusia." Syaitan di kalangan manusia paling teruk kerana syaitan jin boleh dihalau menggunakan ayat Quran.
Satu lagi ayat Quran menyebut: Allah menjadikan manusia sebaik-baik kejadian tetapi boleh bertukar menjadi seburuk-buruk perangai kerana menurut jejak langkah syaitan.
Akulah syaitan itu!!!
Post a Comment