Kecoh satu Bukit Putra. Radja, beruk putih ditangkap oleh manusia ketika sibuk mencari makan di bawah bukit. Lima orang manusia dikatakan berhempas-pulas untuk menangkap Radja. Mereka menggunakan jaring dan buluh panjang. Jaring dilempar kepada Radja, beliau dapat membolosnya. Radja menyergah mereka. Taringnya yang tajam ditunjukkan untuk menakutkan manusia. Mereka berundur.
Radja tidak menyerah kalah. Beberapa orang manusia berjaya digigitnya. Mana yang sempat. Ada di tangan manakala beberapa lagi di kaki. Akhirnya, Radja tersungkur apabila kepalanya diketuk dengan buluh panjang. Darah merah mengalir. Walaupun, Radja seekor beruk putih, darahnya tetap merah, seperti beruk lain. Tiada bezanya.
Ketika diheret turun, dada Radja masih berombak. Radja masih hidup ketika dibawa oleh manusia berpakaian seragam berwarna biru. Mereka memikulnya beramai-ramai menggunakan jaring dan buluh panjang. Dibawa terus di atas lori biru. Terus hilang daripada pandangan beruk-beruk yang turut menyaksikan kejadian yang menyedihkan itu.
Radja, ialah beruk albino. Badannya besar sedikit daripada beruk-beruk di Bukit Putra termasuk diriku. Oleh kerana berlainan kulit rupa, masyarakat beruk menganggapnya sebagai raja. Tetapi bukan raja manusia, yang disembah dan disanjung. Radja hanyalah dianggap sebagai raja beruk dari kacamata masyarakat beruk. Mereka memerlukan seekor beruk yang boleh dibuat simbol raja. Aku hanya ketua perwakilan beruk. Tetapi untuk memulakan sesuatu upacara, Radjalah diberi penghormatan.
Banyak bapa beruk yang menyerahkan anak dara mereka kepada Radja. Harapan mereka ialah untuk mendapatkan cucu putih. Tetapi harapan mereka meleset. Anak beruk yang dilahirkan tidak putih. Macam beruk biasa juga. Akhirnya masyarakat beruk faham Radja muncul dalam seribu ekor beruk. Tidak hairanlah Radja dipuja sehinggalah manusia membawanya entah kemana. Sedih berbaur marah. Ingin diganyang manusia itu tetapi apakan daya, mereka mempunyai senjata. Selain buluh panjang, ada manusia yang membawa parang panjang. Tidak kurang juga yang membawa tali kapal.
"Apa kita nak buat tok?" tanya Biola. "Nak buat apa? Kita tidak boleh melawan manusia," kataku ringkas. "Tapi kita boleh serang manusia lain" tambahnya. "Mengapa pula nak serang manusia lain. Manusia yang tangkap lain, yang kita nak serang lain. Tidak bolehlah begitu. Kita tunggu sajalah. Anggaplah Radja sudah mati. Anggaplah Radja sudah tiada lagi. Kita hiduplah seperti biasa." kataku lagi. Biola yang mempunyai bentuk tubuh seperti alat muzik manusia terus berhenti bertanya. Begitu juga beruk yang lain. Mereka terus bersembang mengenai Radja.
Faham dengan kata-kataku tadi mereka terus bersurai. Seribu macam persoalan dalam fikiran mereka. Aku memahami perasaan itu. Radja sudah tiada lagi. Bukit Putra tidak mempunyai raja lagi. Apakah mungkin dalam sepuluh tahun lagi wujud beruk albino? Apakah ada beruk lain yang boleh dilantik menjadi raja? Persoalan ini terus bermain dalam benak otakku. Tetapi aku yakin, Radja akan sentiasa di hati beruk Bukit Putra.
Tuesday, July 24, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment