Saturday, July 21, 2007

ORANG DI BELAKANG TABIR


(Ada orang di belakang kerusi ini. Mereka tidak kelihatan kerana di luar frame kamera ini. Mereka ada tetapi di belakang. Orang di belakang. Gambar oleh IY.)

Minggu ini, saya bertemu dua yang gemar berperanan sebagai orang di belakang tabir. Itu pengakuan dan kemahuan mereka. Mahu terus menjadi orang di belakang tabir. Bukan takut ke hadapan tetapi biarlah bos yang menonjol bukan diri sendiri. Bukan lumrah dunia.

Pertama, saya menemui seorang penerbit teater. Beliau bukan pelakon atau pengarah teater tetapi sebagai penerbit. Tidak hairanlah tidak ramai yang mengenalinya seperti peminat teater mengenali Fauziah Nawi atau Datuk Faridah Merican. Bagaimanapun, di kalangan penggiat teater, penerbit ini memang dikenali ramai terutama tugasnya yang cemerlang. Teruskan berteater dan menjadi orang di belakang tabir.

Kedua ialah seorang setiausaha politik. Beliau tidak mahu menonjol diri. Malah, beliau pernah menegur bosnya yang memuji beliau di hadapan orang ramai. Alasannya, jika dipuji, beliau tidak boleh membuat kerja.

Baginya, yang penting ialah bos bukan dirinya. Malah dalam pertemuan politik tanpa kehadiran bosnya, beliau akan mendahului dengan salam dan permohonan maaf daripada bos yang tidak berada di situ. Sebagai setiausaha politik, tugas utamanya ialah memastikan politik bos sentiasa "tip top" dan menyerahkan laporan yang tepat dan benar. Bos mesti didulukan bukan politik diri sendiri.

Tidak mahu jawapan seperti ini - "semua ok bos" atau "beres" atau "jangan bimbang dan risau, semua terjamin lancar" atau "bos disukai ramai di sini" atau "bos mesti menang punya" atau "bos akan menang dengan majoriti tinggi".

Ada contoh yang memaparkan disebabkan tindakan orang kuat atau orang belakang yang suka membodek bos dan tidak bekerja dengan baik, nyaris-nyaris seorang pemimpin kecundang ditelan oleh lawannya. Lumrah dunia.

Jadilah "orang belakang" yang baik, bukan suka "main belakang" yang membawa maksud suka menikam orang dari belakang. Fikir-fikirkanlah jika hendak hidup lama dalam politik.

No comments: