Wednesday, July 25, 2007

HIKAYAT JINNAH BROK (27)

Aku dengar seperti ada beruk memanggilku. Apabila menjengok ke bawah, terpacaklah Jinnah, Jibam, Sirimau dan Biola. Aku turun ke pangkal pokok. Biola menunjukkan kepadaku gambar Radja dalam suratkhabar terbitan manusia. Terbitan hari ini. Terpampang tajuk dalam akhbar itu. Beruk Albino dijadikan bahan kajian. Biola menggelengkan kepala. Aku mengerti perasaan Biola.

Sirimau yang mendapat maklumat daripada Tok Yem, menjelaskan beruk albino jarang dijumpai di negara ini. Itulah yang menyebabkan Radja begitu istimewa. Radja satu dalam seribu. Menurut cerita, sepasukan ahli sains Universiti Kebangsaan Malaysia telah melihat Radja beberapa bulan lalu. Itupun secara kebetulan ketika mereka mengkaji flora dan fauna di Bukit Putra. Mereka memerhatikan dari jauh segala tindak-tanduk Radja ketika di bawah bukit. Mereka meneropong cara Radja berjalan dan memanjat pokok. Cara Radja mencari makan dan bergaul bersama beruk yang lain. Mereka berminat untuk membuat kajian. Mereka meminta bantuan penguatkuasa tempatan untuk menangkap Radja, raja beruk di Bukit Putra.

Dalam laporan berita itu juga, beberapa ahli sains itu amat marah cara petugas pihak berkuasa tempatan mengendalikan penangkapan Radja. Mereka hairan mengapa seluruh badan Radja luka dan kepalanya berdarah teruk. Namun itulah yang mereka dapat daripada kumpulan orang yang suka menggunakan tenaga kekuatan untuk menunjukkan kuasa. Menggunakan kekerasan kerana mereka ada kuasa. Kuasa untuk memukul. Bagi ahli sains, penangkapan Radja perlu dilakukan secara baik dan berhemah. Bukan cara ganas dan boleh membawa mati. Bukan menyiksakan.

Gambar dalam suratkhabar itu, mengikut Sirimau, menjelaskan Radja sedang tidur setelah diberikan suntikan ubat penenang. Tetapi aku melihat gambar Radja seolah-olah dia sudah mati. Terlentang di atas katil bercadarkan kain biru. Aku sedih. Begitu juga Jinnah dan Biola. Air mata berlinangan dalam kelopak mata Biola.

Biola adalah pembantu khas Radja. Dialah yang menguruskan segala bentuk persiapan apabila sesuatu upacara dijalankan. Dalam ertikata lain, Biola adalah pegawai khas Radja. Tetapi perangainya baik dan bersopan santun tidak seperti sesetengah pihak. Lebih sudu dari kuah. Jadi pegawai khas macam jadi timbalan kepada orang besar itu. Ini tak boleh, itu tak boleh. Pelbagai peraturan dikenakan. Pegawai khas itu pula yang pandai-pandai buat keputusan. Sedangkan ketuanya tidak cakap apa pun. Amat menghairankan.

Menurut Sirimau lagi, Tok Yem juga ada menyatakan sebenarnya universiti tempatan banyak membuat kajian. Berpuluh ribu kajian sejak merdeka lagi. Tetapi hasilnya tidak digunakan. Tidak nampak. Buat apa buat kajian kalau tidak digunakan. Dimanakah salahnya? Sepatutnya hasil kajian yang dibuat boleh digunakan untuk memperbaiki sesuatu produk atau pemahaman mendalam mengenai sesuatu kehidupan. Apakah kajian itu dijalankan tidak sepenuhnya? Apakah kajian itu separuh masak saja? Apakah ada faktor yang menyebabkan hasil kajian tidak membantu negara ini? Mungkin ada, tetapi tidak banyak. Itulah beberapa perkara yang perlu dijelaskan oleh manusia.

Tok Yem berharap kajian terhadap Radja akan dapat membuahkan penemuan baru dalam dunia sains. Setidak-tidaknya gelagat beruk-beruk di Malaysia. Bukannya banyak beruk putih di negara ini. Sudah tentu ada sejarah evolusinya.

Menurut Tok Yem penemuan beruk putih di Putra Hait itu adalah satu perkara menakjubkan. Ia mungkin petanda baik untuk penduduk Putra Hait. Sesuatu yang putih itu biasanya baik. Kecualilah benda putih yang ditemui pada waktu malam yang boleh membuat manusia pengsan. Bagi Tok Yem, beruk putih itu perlu diberikan nama Putra sempena nama Bukit Putra, di mana Radja ditemui. Ini akan memudahkan rakyat negara ini mengenali Putra dan mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa. Adakah Putra yang dicadangkan oleh Tok Yem itu akan terus menjadi raja beruk atau hanya seekor beruk kajian? Beruk yang dikaji oleh semua pihak terutamanya ahli sains tempatan. Selamat menjalankan kajian. Selamat dikaji Sang Putra.

No comments: