Sunday, January 31, 2010

SELALU BERSEMUKA DENGAN RAKYAT





Selepas tamat majlis Dialog Idealisme Generasi Muda antara Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dengan pertubuhan bukan kerajaan, mahasiswa dan blogawan di Angkasapuri, saya mengiringi MY ke keretanya. Itupun kerana RTM sebagai tuan rumah, yang menganjurkan majlis itu ialah JASA di bawah kawan baik, Datuk Fuad Hassan.

Dalam perjalanan itu, MY bertanya kepada saya, "Bagaimana jawapan yang diberikan?". Terus terang saya menjawab, "bagus dan menyakinkan". Malah saya dapat merasakan semua pihak yang berada dalam Auditorium Perdana, Angkasapuri semalam, puas hati dan selesa dengan segala jawapan di majlis dialog membabitkan lebih 1,000 orang itu.

Bagi saya, jawapan itu tidak penting. Yang lebih penting ialah proses bersemuka dengan rakyat dan memberikan peluang kepada mereka untuk bertanya soalan dan memberi pandangan. Itu sebabnya pelbagai soalan timbul termasuklah yang "sudah terang" tetapi yakinlah bahawa inilah pendekatan terbaik untuk merapatkan kerajaan dengan rakyat.

Pendekatan bersemuka atau engagement ini memang dinanti-nantikan oleh rakyat sejajar dengan laungan Gagasan 1Malaysia iaitu Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. Jika anggota kerajaan percaya dengan gagasan ini mereka perlu bertindak sekarang untuk mengutamakan rakyat dan memastikan rakyat di bawah mendapat yang terbaik.

Malah dalam majlis dialog itu, seorang mahasiwa bertanya apakah yang boleh mereka sumbangkan untuk kepentingan negara kerana dalam hatinya terbuku untuk menggemblengkan tenaga dan kudratnya menyokong rancangan kerajaan.

Menjawab soalan itu, MY berkata mereka perlu yakin dengan apa yang dibuat oleh kerajaan dan berusaha menerangkan kepada rakyat bahawa kerajaan tidak pernah berhenti berfikir untuk membantu rakyat. Ini yang dilakukan sejak merdeka.

Generasi muda juga perlu memperbetulkan kekeliruan yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang hanya tahu membangkang apa yang dilakukan oleh kerajaan. Mereka ini adalah pihak yang sentiasa mengambil 'political mileage' untuk semua perkara yang menguntungkan mereka. Teguran membina memanglah dialu-alukan tetapi yang menghancurkan negara perlu ditentang setiap masa.

Tidak hairanlah jari telunjuk pembangkang sentiasa menghadap ke depan untuk menyalahkan orang lain sedangkan jari itu sepatutnya menghala ke arah mereka yang memperlihatkan pentadbiran berceramuk sehingga menyebabkan rakyat menderita.

Sebagai contohnya, lihatlah negeri yang mereka perintah yang banyak menimbulkan masalah kepada rakyat. Janji sebelum pilihanraya manis tetapi apabila sudah menang lain pula tariannya. Malah tarian itu kebanyakan sumbang.

Akhirnya rakyat terpaksa meminta bantuan Kerajaan Pusat untuk memastikan mereka tidak terus kecundang dalam hidup akibat perbuatan golongan yang 'cakap tidak serupa bikin'.

Saturday, January 30, 2010

PAKAT-PAKAT BANGKANG PECAH

Krisis Pakatan Pembangkang semakin parah terutama di Pulau Pinang.

Penolakan secara terbuka antara pemimpin parti dengan parti yang lain amat ketara.

Pertikaian sesama sendiri itu kini sudah berada pada tahap serius. Oleh itu, idak mustahil krisis itu akan menular ke negeri negeri lain pula. (Pecah di Selangor? Retak di Kelantan dan Gaduh di Kedah? Perrrggghh)

Itu kata Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak pagi ini.

DS Najib juga memberitahu keretakan yang berlaku dalam pakatan pembangkang bukanlah disebabkan oleh UMNO sebaliknya kelemahan mereka sendiri.

Ikutilah Berita Nasional RTM jam 8 malam ini.

(Renungan Rimau: Kalau pembangkang nak bergaduh sekalipun, pastikan rakyat Malaysia tidak rugi atau mengalami nasib malang. Yang penting rakyat, bukan pemimpin tertentu. Jika PM memulakan usaha menyatupadukan rakyat negara ini, berilah sokongan padu agar negara kita tidak hangus. Tengoklah rakyat di Pulau Pinang dan Selangor yang sudah pening kepala. Ada yang menyesal, ada yang kecewa. Apa nak buat? Eksperimen yang dijalankan 'meletup' dan kehidupan pun makin teruk. Tukar kerajaan ni jangan buat-buat eksperimen. Pakat-pakatlah sokong kerajaan sekarang. Pakatan? Pakat-pakatlah suruh dia orang buat haluan masing-masing. Pas, buat hal sendiri, DAP buat hal sendiri. PKR...ah ini yang pening sikit. Mungkin boleh masuk PAS atau DAP dan bubarkan Parti Kenakan Rakyat. Amacam.)

Thursday, January 28, 2010

KERAJAAN REDHA PILIHAN RAKYAT

Perubahan besar dan bermakna yang dijanjikan kerajaan tidak akan dihentikan, sehingga rakyat merasai sendiri hasilnya.

Mereka kini berhak menghakimi sendiri perubahan yang dilaksanakan, khususnya inisiatif enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional, N-K-R-A yang memberi impak terus kepada rakyat.

Dan apabila tiba masanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan...kerajaan redha dengan pilihan rakyat.

Perdana Menteri melancarkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan P-T-K Satu Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur, pagi tadi.

Perubahan besar dan bermakna yang telah, sedang dan akan dilakukan kerajaan bakal mengubah landskap sosioekonomi negara.

Dalam laporan yang akan membentangkan semua inisiatif N-K-R-A itu, rakyat boleh mengetahui perkembangan seperti peratus rakyat yang sudah keluar dari kelompok miskin tegar, projek jalan raya yang dibina, kadar jenayah dan indeks rasuah terkini.

Pada masa sama, rakyat akan dimaklumkan senarai pemegang kontrak projek kerajaan.

Buku jadual itu memberikan garis kasar terhadap program yang khusus, kos dan jangka masa pelaksanaan.

Ikuti Berita Nasional RTM jam 8 malam ini.

Wednesday, January 27, 2010

MAAF SECARA RASMI

Penulis blog, Aduka Taruna yang didakwa menghina Almarhum Sultan Johor perlu meminta maaf secara formal di mahkamah, iaitu di hadapan hakim yang bakal membicarakan kes itu.

Menteri Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim berkata, ia terserah kepada hakim untuk memutuskan sama ada menerima atau tidak, permohonan maaf tersebut.

Menurut Dr Rais, Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (S-K-M-M) telah diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap penulis blog terbabit, setelah siasatan selesai dijalankan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 dan 232 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Mengikut Seksyen 233, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum 50 ribu ringgit atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sementara seksyen 232 pula, jika disabitkan kesalahan boleh didenda 30 ribu ringgit atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau menjelaskannya pada sidang media selepas mesyuarat pasca Kabinet di ibu negara.

Pada masa sama, penulis blog itu perlu mengemukakan permohonan maaf secara terus kepada pihak istana Johor.

Ikuti Berita Nasional jam 8 malam ini.

Saturday, January 23, 2010

SURAT LAYANG KERJA PENGECUT

Ketika bersembang dengan kawan semalam, ada yang bertanya: "Duduk di RTM dah dapat surat layang?" Ada juga, jawab ringkas.

Apa isinya? Macam-macam.

Tak risau ke? Nak risau apa, kerana apa yang ditulis mengarut saja.

Ada surat layang tu, kadangkala ada isi juga? Ia bergantung apa yang ditulis.

Jadi, kamu punya? Setakat ini, nak buat cerita saja.

Apa yang kamu buat? Hanya Allah yang menentukannya.

Siapa yang suka buat surat layang ini? Tak tahulah. Mungkin si pengecut.

Ada yang takut untuk menyatakan yang benar? Apa yang ditakutkan.

Diambil tindakan? Jika kita benar, cakap je, jangan berselindung.

Melainkan kita bersalah? Ya, melainkan kita hendak mereka-reka cerita.

Thursday, January 21, 2010

ADA YANG TIDAK KENA DALAM PKR

Pembubaran PKR Bahagian Kuala Selangor, jelas menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena dengan parti dan kepimpinannya. Itu pandangan seorang penganalisis politik dalam Berita Nasional RTM sebentar tadi.

Bagi Profesor MADYA DR AHMAD NIDZAMMUDIN SULAIMAN, ketidakmatangan pemimpin dan ahli PKR menjurus kepada pelbagai masalah yang berlaku beberapa bulan sebelum ini.

Pergolakan yang berlaku memberi imej buruk kepada pakatan pembangkang sekaligus menjejaskan kredibiliti PKR di dalam pentabdiran negeri.

Malah, perasaan tidak puas hati di kalangan sesetengah pemimpin dan anggota akar umbi membawa kepada beberapa krisis pergolakan Bahagian di Sabah, Peletakan jawatan Setiausaha Agung, segala-galanya menjurus kepada persepsi umum PKR semakin berpecah.

Menurutnya apa yang diperjuangkan parti iaitu ketelusan tidak diamalkan seperti yang dicakap.

Profesor Dr Ahmad menyifatkan kerjasama antara pembangkang tergugat dengan masalah dalaman parti yang sering bergolak.

Baginya, jika bahagian yang kecil gagal dipimpin, bagaimana pula dengan negeri yang lebih besar.

Krisis terbaru ibarat menepuk air di dulang...terpercik pada muka sendiri.

Wednesday, January 20, 2010

JANGAN MEMALUKAN ORANG MELAYU

Oleh Abdul Aziz Ismail (AgendaDaily)

SEORANG kawan wartawan dari seberang tambak yang rajin mengikuti perkembangan politik di negara ini menghantar email kepada penulis – setelah membaca buku tulisan Barry Wain, Malaysian Maverick : Malaysian In Turbulant Times - berpendapat wujud unsur-unsur halus dan terancang untuk memalukan orang Melayu, Umno dan kerajaan Malaysia.

Dan yang lebih ketara, pengarang sengaja memperlekeh kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia keempat dengan dakwaan sentimen melulu dan menimbulkan fakta sejarah yang mengelirukan.

Barry Wain kelihatan tidak suka Mahathir dan ketara mendedahkan cerita memburuk-burukkan bekas perdana menteri yang banyak berjasa kepada negara dan disegani diperingkat antarabangsa. Barry cuba menutup kemasyhuran nama dan sumbangan Mahathir sebagai pemimpin Islam yang masih dihormati dan lantang bersuara menentang agenda barat/ zionis yang menindas umat Islam serata dunia terutama di Palestin.

Sahabat yang sudah meneliti kandungan buku itu berkata, ini mungkin agenda asing dari barat atau sekutunya di rantau sebelah sini yang cuba menidakkan jasa Mahathir kepada kemajuan dan pembangunan negara yang sudah dikagumi dunia dengan idea serta dan ilham beliau yang diakui kebanyakan negara membangun dan Islam.

Menurut beliau , buku itu ditulis sedemikian rupa dengan motif negatif untuk menguji tahap kesabaran dan kebijaksanaan orang Melayu serta kebijaksanaan pemimpin negara di bawah Datuk Seri Najib untuk menangani kandungan buku tersebut yang jelas sengaja menafikan sumbangan besar Mahathir.

Mahathir didakwa memerintah selama 22 tahun secara kuku besi (diktator) dan membazirkan duit rakyat sebanyak RM 100 billion dengan pelbagai projek mega yang dikatakan kononnya tidak menguntungkan dan memberi faedah kepada rakyat. Mahathir didakwa cuba membuat kelainan dengan melaksanakan projek-projek pembangunan mega yang menguntungkan diri dan menjulang namanya (maverick) tetapi membawa kesan sedikit kepada kebaikan negara.

Mahathir dituduh membelanjakan banyak duit kerajaan sesuka hati dalam projek besar yang dikatakan berubsur agenda peribadi dan sesetengahnya membazir duit rakyat. Soalnya, benarkah semua tuduihan itu? Apakah benar sebesar itu jumlah pembaziran yang dilakukan Mahathir (RM 100 billion) - yang boleh menyebabkan negara jadi muflis sekarang ini jika dakwaan itu benar?

Benarkah semua projek Mahathir membazirkan duit negara dan rakyat Malaysia? Apakah projek PLUS, KLIA, MSC, Menara Berkembar Petronas, Proton, Pelabuhan Tanjung Pelepas, pembangunan Putrajaya dan banyak lagi itu tidak memberi faedah kepada rakyat dan negara?

Apakah Barry – dikatakan salah seorang pakar pemikir (think-tank) bagi pemerintah Singapura – buta mata dan sejarah tentang semua kejayaan yang sudah dibina diktator Mahathir dan dinikmati rakyat selama 22 tahun pemerintahannya?

Banyak negara dan pemimpin negara dunia ketiga dan Islam seluruh dunia mengakui dan memuji kebolehan Mahathir sebagai pemimpin negara membangun yang berjaya kecuali penulis upahan seperti Barry yang sebenarnya menafikan sejarah pembangunan Malaysia yang dicipta di zaman Mahathir?

Kenapa sekarang apa yang disebut Barry sebagai kelemahan dan kediktatoran Mahathir diungkit dan dibangkit secara berlebihan setelah beliau lama bersara? Kenapa tidak buku itu ditulis di zaman Mahathir masih menjadi perdana menteri supaya beliau dan kerajaan dapat menjawab? Sebenarnya siapa dalang di belakang Barry yang telah mengokestrakan penulisan buku tersebut?

Apakah motif sebenar bekas editor Asian Street Journal itu memilih Malaysia dan Mahathir menjadi bahan kritikannya dan tidak pemimpin dan negara Asia lain yang lebih bermasalah dan lebih berkuku besi dari Mahathir? Mengapa Barry menulis buku itu mengenai Malaysia dan pemimpinnya sedangkan jika beliau berani mengkritik pemimpin Asia lain seperti di Singapura, beliau bakal menerima nasib yang amat malang - dikenakan saman berjuta-juta dollar?

Sahabat saya itu berpendapat buku itu seharusnya tidak dibenarkan beredar di negara ini kerana ia menggambarkan imej buruk negara dan boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu dan rakyat Malaysia yang mencintai negara ini kerana argumen yang dibentangkan berlandaskan fakta samar, diceduk di sana sini dan tidak tepat serta ditulis mengikut sentimen pengarang yang ketara bencikan Mahathir – atas sebab-sebab agenda peribadi yang tidak diketahui.

Barry juga cuba mahu mengelirukan rakyat kebanyakan tentang fakta sejarah dan tahap kemajuan yang sudah tercipta dan terbina lama dalam pemerintahan Dr Mahathir dengan membangkitkan isu-isu kelemahan-kelemahan lama yang sudah ketinggalan zaman dan tidak sepatutnya diungkit, tidak relevan dan jauh lebih kecil dibandingkan sumbangan besar Mahathir kepada kepesatan kemajuan dan pembangunan negara yang sudah diciptnya.

Barry menuduh Mahathir sebagai pemimpin diktator dari Asia yang amat berkuasa dan mementingkan agenda diri padahal beliau lupa ada pemimpin Asia lain lebih kejam - yang diketahui lebih zalim dan lebih berkuku besi dari Mahathir? Pemerintahan siapa lebih toleran dan bertolakansur jika dibandingkan bekas pemimpin Asia lain yang pernah menjadi diktator dan lama memerintah dibandingkan dengan Mahathir?

Siapa lebih bertimbangrasa dan menghormati suara rakyat di mata pemimpin- pemimpin parti pembangkang di bandingkan dengan bekas perdana menteri Singapura yang ketara lebih kejam dan zalim dari Mahathir? Semua orang tahu berapa banyak pemimpin pembangkang yang jatuh muflis di negara jiran itu akibat tindakan mahkamah yang sengaja dikenakan dan diatur ke atas mereka kerana kritikan yang tidak seberapa terhadap dasar pemerintah Singapura?

Barry sepatutnya mencungkil dan mendedah kisah sebenar kediktatoran dan kekejaman dasar pemimpin Singapura yang lebih ketara kejam dari Mahathir - jauh lebih toleran dan beradab? Barry ketara menulis buku itu dengan mesej memburuk-burukkan pemimpin dan negara Malaysia dengan dakwaan yang sengaja dicungkil untuk tatapan rakyat bukan Melayu supaya membenci Mahathir.

Jelas tulisan Barry sudah menjadi kecaman kebanyakan rakyat Malyisa yang celik sejarah dan cintakan negara ini kecuali segelintir mereka yang berfikiran seperti Barry yang sengaja memperkecil kebolehan pemimpin-pemimpin Melayu.

Jika Barry menulis buku yang sama menghentam semua bekas perdana menteri Singapura - termasuk yang sekarang - beliau boleh digelar penulis jantan yang hebat, tapi beranikah beliau berbuat demikian? Beliau tidak akan berani kerana sedar, takut dan mungkin sudah faham kekejaman pemimpin negara jiran itu yang bersedia membawa siapa saja – termasuk Barry – ke mahkamah dengan saman jutaan ringgit atas dakwaan membawa fitnah dan mengkritik dasar pemerintah yang kononnya tidak benar.

Beliau berani menghentam pemimpin Malaysia kerana undang-undang negara ini agak fleksibel tidak seperti di Singapura. Kerajaan menganggap apa saja kritikan adalah biasa – boleh diterima dan dibenarkan dalam batas kebebasan yang dibenarkan. Namun tulisan Barry agak keterlaluan dan bermotif tidak baik. Sepatutnya beliau boleh didakwa di mahkamah atas dakwaan yang keterlaluan jika Mahathir berhasrat berbuat demikian.

Penubuhan Suruhanjaya Diraja tidak perlu kerana sebuah buku yang dianggap remeh, tidak relevan dan menyebabkan nama beliau disanjung dalam isu terpencil yang menguntungkan dirinya tetapi tidak membawa faedah kepada negara. Barangkali Barry lebih suka bukunya dilarang beredar di negara ini supaya namanya boleh dijulang.

Namun beliau lupa perkara sebaliknya boleh berlaku. Beliau juga boleh menjadi sasaran kritikan dan ancaman kepada rakyat yang setia di negara ini yang mungkin boleh bertindak di luar jangkaan dan luarbiasa terhadap diri beliau dan juga penerbit buku tersebut - berpengakalan di Singapura - jika buku itu dibenarkan beredar di negara ini dan mendapat liputan luas.

Adakah ini motif sebenar Barry dan orang-orang yang berselindung di belakangnya? Adakah beliau sengaja mencetuskan isu yang konterversi supaya rakyat boleh membenci Mahathir sekaligus pemimpin Melayu dan negara ini?

Isu pengunaaan nama Allah sudah menjadi pengajaran terbaik kepada rakyat semua kaum di negara ini bahawa isu yang sensitif dan separuh tidak benar, tidak boleh dipermain dan dipandang ringan. Mungkin pengharaman buku karangan Barry Wain itu adalah jalan terbaik untuk menimbus isu dan memadam niat jahat penulis upahan seperti beliau yang cuba mensabotaj pemimpin dan negara ini.

(Renungan Rimau : Ada orang suka 'membakar' emosi rakyat, ada orang akan berusaha 'memadamnya'. Ada orang timbulkan isu tertentu, ada orang pula akan memperbetulkan kekeliruan itu. Pembangkang membakar semangat rakyat dengan isu sensitif termasuk pembohongan, kerajaan pula terpaksa menjelaskan isu itu untuk menenangkan rakyat. Orang luar menuduh pemimpin negara, kerajaan pula mengambil usaha memperbetulkan tuduhan itu. Orang luar menghina pemimpin kita, kita perlu berganding bahu menentang golongan ini. Jadi sampai bila kita perlu menjadi 'bomba' untuk memadam 'api' yang sentiasa dihidupkan oleh orang yang terdesak. Apakah ini rancangan sistematik untuk mewujudkan keadaan tidak menentu? Adakah ada 'pemain patung-patung' di luar sana yang mahu menghuru-harakan negara ini? Fikirkanlah.)

HJ BAKAR TINGGALKAN KITA

Bos dan rakan lama di BH, Haji Bakar Ismail, kembali ke rahmatullah malam tadi.

Jenazahnya kini berada No 176, F7, Taman Melawati, Wangsamaju,

Semoga rohnya ditempatkan bersama roh orang-orang soleh.

Al-fatihah.

Monday, January 18, 2010

SATU NOMBOR SEMUA URUSAN

Kerajaan hari ini melancarkan MYID untuk menyediakan sistem penyampaian yang berkesan untuk rakyat.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh TPM, TS Muhyiddin Mohd Yassin di PICC, Putrajaya.

Kerajaan mengotakan janjinya seperti dijanjikan dalam Bajet 2010 pqdq 23 Oktober lalu.

Semua urusan dengan jabatan kerajaan boleh menggunakan nombor mykad. Satu nombor untuk menyelesaikan semua urusan.

Alangkah mudah dan menyenangkan rakyat. Melainkan nombor kad pengenalan pun kita lupa. Perrrrgggh.

Tahniah.

Tuesday, January 12, 2010

RAMALAN TOK NUJUM POLITIK 'TEPAT'

Semalam ketika bersembang dengan seorang rakan, beliau berkata seorang 'tukang tilik politik' telah meramalkan pelbagai peristiwa yang akan berlaku di negara ini.

Anehnya ramalan tukang tilik ini benar-benar berlaku kerana beliau mungkin benar-benar mengetahui peristiwa itu menerusi rangkaian politiknya atau ramalan 'agak-agak' untuk 'preempting' sesuatu isu.

Tok Nujum ini juga pernah 'meramalkan' kerajaan berubah kerana ahli Parlimen akan bertindak lompat melompat.

Ketika bercakap di Australia tukang tilik itu berkata masyarakat di Malaysia tidak puas hati mengenai beberapa isu membabitkan agama. Oleh itu, satu isu besar akan berlaku yang menyebabkan perbalahan antara penganut Kristian dan Islam. Wah betullah ramalan tok nujum itu.

Baru-baru ini tok nujum itu meramalkan mengenai sesuatu keputusan mahkamah berhubung satu isu besar di negara ini?. Apakah ramalan tok nujum itu tepat?

Monday, January 11, 2010

JANGAN PERCAYA KHABAR ANGIN

"Jangan mudah percaya khabar angin, sebaliknya dapatkan pengesahan daripada pejabat polis berhampiran". Itu ingatan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar .

Tan Sri Ismail menyentuh mengenai khabar angin dakwaan insiden terbaru pembakaran gereja.

Ditanya sama ada tangkapan sudah dibuat terhadap pihak yang terbabit, katanya tangkapan belum dibuat dan polis sedang menyiasat dengan teliti kes berkenaan.

Tan Sri Ismail sebelum itu bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Sri Mahmood Adam mengadakan pertemuan dengan duta dan pesuruhjaya tinggi asing di Putrajaya.

Pertemuan bertujuan memberi taklimat mengenai situasi semasa negara berikutan insiden minggu lalu.

Tan Sri Ismail memberi jaminan keadaan di seluruh negara masih aman dan terkawal.

Ikuti Berita Nasional jam 8 malam di RTM.

(Renungan Rimau : Tidak payahlah menyebar khabar angin yang akan menyusahkan ramai pihak. Mereka yang ada 'penyakit' ini perlu memikirkan bahawa kesan khabar angin itu boleh membakar negara ini. Marilah kita mencari penyebar khabar angin ini dan tanya apa sebenarnya penyakit yang dialami. Berubat dan bertaubatlah.)

Sunday, January 10, 2010

BERUBAT DAN BERTAUBAT

Saya dapat merasakan bagaimana sukarnya untuk menjadi Perdana Menteri, apatah lagi ketika ini yang menyaksikan ramai 'pelakon politik' yang bersandiwara dengan kata-kata dan memainkan emosi rakyat pelbagai kaum. Tindakan mereka mampu merosakkan negara.

Ketika ramai pemimpin BN mengambil pendekatan untuk memastikan apa yang dihamburkan tidak mengecewakan mana-mana pihak, semua pemimpin pembangkang pula memainkan sandirawara politik untuk bercakap di sini lain, di sana pula lain. Amat menyedihkan.

Mungkin ini kelebihan mereka ketika ini berbanding pemimpin BN tetapi hakikatnya apa yang dilakukan lambat-laun akan menghancurkan negara ini. Percaya terutama jika kita mengambil pelbagai isu ketika ini seperti kalimah Allah. Ia semakin meruncing.

Ketika ramai umat Islam tahu bahawa Allah SWT adalah nama tuhan mereka, ada pihak pula yang ingin mencabar arahan KDN agar nama itu tidak digunakan.

Tujuan sebenar mereka membawa isu itu ke mahkamah, hanya Allah SWT saja yang tahu tetapi umum pasti tertanya-tanya mengapa setelah sekian lama kita memahaminya mengikut Perlembagaan, ia timbul bagaikan api kecil yang akan menjadi besar apabila dicurah dengan minyak tanah oleh golongan oportunis.

Ketika pemimpin BN meminta rakyat bertenang, sandiwara politik ini terus dimainkan dengan membawa fakta sejarah membabitkan Munshi Abdullah dan dakwaan penggunaan itu sudah lama digunakan oleh gereja di Sabah dan Sarawak.

Mereka inilah yang satu ketika dulu pernah mempertikaikan Munshi Abdullah yang dituduh sebagai talibarut Inggeris yang berusaha mengelirukan umat Islam ketika itu. Mereka juga pandai berseloka dengan membawa isu tiada Majlis Fatwa yang membantah ketika itu yang secara tidak langsung menunjukkan pendekatan sandiwara politik yang paling memualkan. Bertaubatlah.

Hakikatnya semua tahu bahawa ramai paderi di Sabah dan Sarawak datangnya dari Indonesia yang membawa bersama mereka bible berbahasa Indonesia yang memaparkan perkataan Allah dan bonda Allah yang dibenarkan oleh pemerintah di republik itu. Tidak di negara ini.

Ketika ini pula mereka mengatakan apa salahnya menggunakan Bahasa Malaysia. Ahh..siapakah mereka ini. Tolonglah selidik latarbelakang mereka agar tidak ada rahsia tertentu seperti pembinaan 'terowong rahsia' menghubungi beberapa sekolah agama Kristian di Perak yang kini terbongkar. Apakah sebabnya terowong itu dibina? Entahlah. Buntu.

Oleh itu, berusahalah memberhentikan sandiwara politik ini termasuk pemimpin yang mengaku diri mereka pejuang Islam atau tok guru agar isu ini tidak bertukar menjadi minyak panas yang akan mengalir ke dalam api kecil sehingga menghanguskan negara ini.

Saya masih mahu hidup dalam negara yang aman. Saya tidak tahulah orang lain kerana saya bukanlah orang yang mahu menghalalkan cara untuk mencapai matlamat. Janganlah berfikir, kita menang dulu, kemudian kita ubahlah perangai kita. Ketika itu, mungkin ramai yang akan menuntut janji mereka dan usaha berkeras tidak mampu menyelesaikan masalah.

Percayalah ketika negara sudah hangus dan tiada lagi keharmonian, tidak usahlah mahu menjadi Perdana Menteri lagi, mahu menjadi rakyat negara inipun, ramai yang akan berkata, "saya tidak mahu tinggal di negara ini kerana ia sudah hancur. Hangus menjadi debu."

Tolonglah fahami penderitaan yang dialami oleh rakyat negara ini.

Yang masih pekak, mintalah berubat. Atau bertaubat.

Friday, January 8, 2010

JANGAN GUGAT KEHARMONIAN NEGARA

Tindakan yang melampaui batas dan nyata mengancam keharmonian negara.

Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak mengutuk keras tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mencetuskan insiden kebakaran gereja pagi tadi.

Polis juga diarah meningkatkan kawalan keselamatan semua rumah ibadat di seluruh negara.

Amaran tegas Datuk Seri Najib, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang mengenepikan undang-undang.

Bercakap dalam sidang media di Putrajaya, Perdana Menteri juga menasihatkan orang ramai agar bersabar dan menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat...

Sehubungan itu, pihak tertentu tidak seharusnya mengeruhkan keadaan dengan menunding jari kepada pihak lain berhubung insiden itu.

Ikuti Berita Nasional jam 8 malam di TV1.

Thursday, January 7, 2010

KLINIK 1MALAYSIA UNTUK RAKYAT



Klinik 1Malaysia hanya kenakan bayaran RM1 sahaja dan dibuka hingga jam 10 malam,kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Klinik 1Malaysia pertama di Pantai Dalam Kuala Lumpur pagi Khamis.Sebanyak 44 Klinik 1 Malaysia di seluruh negara sudah beroperasi sejak 1 Januari baru ini.-
7/1/2010

SAKSIKAN HIMPUNAN KHAZANAH TEKSTIL

Muzium Tekstil Negara yang menghimpunkan pelbagai khazanah tekstil di Malaysia akan dibuka kepada orang ramai mulai Sabtu ini.

Dengan hanya satu ringgit bayaran masuk bagi dewasa dan percuma untuk pelajar, pengunjung dapat melihat sendiri kehalusan dan nilai estetika koleksi tekstil dan barang kemas lama dari masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Kewujudan Muzium berkenaan bagi Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim diharap dapat menarik minat rakyat terhadap sejarah dan warisan negara.

Beliau menjelaskan, tempoh mewujudkan muzium yang menelan belanja 18 juta ringgit ini agak lama iaitu sejak 2006, ia kerana pihak muzium mementingkan ketelitian terutama dalam aspek pengumpulan pelbagai koleksi tekstil.

"Saya rasa ini satu pencapaian yang amat gemilang bagi jabatan muzium,kita juga perlu meninjau tekstil itu dari segi sejarah dalam satu pengertian tekstil yang kita lihat tadi termasuklah artifak barang kemas lama-lama dan juga barang-barang yang bernilai dalam zaman dahulu dapat memberi kita imbasan sejarah yang amat kental dan bererti" kata Dr Rais.

DSU Dr Rais bercakap sidang media selepas membuat lawatan ke Muzium Tekstil Negara yang terletak di Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara.

Dalam perkembangan lain, beliau melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Jabatan Muzium yang mencatatkan penerimaan 2.9 juta pengunjung bagi 20 buah muzium di bawahnya sepanjang tahun lalu.

Peningkatannya yang menjangkau 600 ribu pengunjung berbanding tahun 2008 melambangkan masyarakat Malaysia kini lebih berminat dengan sejarah.

Wednesday, January 6, 2010

AL-FATIHAH UNTUK ALLAHYARHAM TOKMAT

Oleh Dr Rais Yatim

PEMERGIAN Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, bekas Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung Umno ke rahmatullah tanggal 1 Januari lalu begitu mendalam kesannya bagi saya.

Sebagai seorang sahabat lama, kami sering berhubung melalui telefon bimbit, terutama menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS). Suara sengau-paraunya payah dilupai.

Sebelum zaman canggih IT (teknologi maklumat), kami berhubung hanya melalui telefon talian. Banyak peristiwa dan liku-liku pahit getir perjuangan politik tanah air yang dilalui bersama, terutama yang berkaitan Umno.

Siapa pun setuju jika dikatakan pemergiannya mengejutkan walaupun sudah dalam keadaan kurang sihat seketika akibat sakit buah pinggang. Rasakan tak percaya yang beliau telah dahulu menemui Allah. Tetapi Tuhan lebih mengetahui segala-galanya akan untung nasib seseorang insan itu.

Allahyarham jumpa saya sehari setengah sebelum beliau pulang ke rahmatullah. Allahyarham menemui saya di pejabat saya di Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur pada tengah hari Rabu 30 Disember 2009. Walaupun beliau datang dengan anakandanya, Nur Jasni yang bertanyakan hal pembangunan ICT di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Tok Mat sentiasa mengalihkan tajuk cakap kepada perkara berkaitan Umno dan orang Melayu, di samping kerja Menteri Penerangan yang amat diminatinya.

Beliau asyik melihat ubahsuai dalaman Bangunan Sultan Abdul Samad yang baru disiapkan. Beliau melirik pandangan ke ruang tamu yang dihias dengan gambar lama daripada arkib dan koleksi khas penulis. Beberapa minit selepas melihat-lihat dinding yang penuh gambar itu, Tok Mat duduk dengan sokongan tongkat. Saya bertanya sama ada kena guna tongkat hari-hari untuk bergerak ke sana ke mari.

"Sekarang dah tak boleh jalan tanpa benda ni Rais," katanya sambil menggoyang-goyangkan tongkatnya. Lepas sejenak beliau mengimbas kembali bagaimana pada 1975 beliau sering mengunjungi Allahyarham Datuk Harun Idris, bekas Menteri Besar Selangor merangkap Ketua Pergerakan Pemuda Umno pada ketika itu di Bangunan Sultan Abdul Samad ini. Tok Mat secara kebetulan adalah Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda pada zaman itu. Datuk Harun pula semacam hero perjuangan Pemuda yang kadangkala menggegarkan pimpinan Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn pada masa itu.

Walaupun Mohamed tampak cengkung sedikit dan perlahan dalam pertuturan, pemugaran dirinya masih kemas dan senyum 'budak'nya ketika beliau sendol dan 'bulat' muka dulu masih terserlah. "Apa macam kerja? Tentu susah sebab banyaknya media baru," dia mengeluarkan pendapat. Saya menjawab ya saja kerana memang benar, dunia internet sudah membawa taufan baru kepada perjuangan asas Umno dan Barisan Nasional (BN) sendiri.

Beliau menoleh kepada gantungan foto Tun Dr Mahathir Mohamad dengan saya dan Allahyarham Yasser Arafat di dinding tamu. "Wah you ada jumpa Arafat, ya?"

"Masa tu kan jadi Menteri Luar. Tak lama lepas tu langsung keluar..." saya jawab dengan seloroh. Beliau ketawa. Memang benar, pada 1987 pergolakan Umno Team A dan Team B amat menggegarkan susulan keputusan mahkamah mengharamkan Umno mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini Tok Mat bertemu dan berinteraksi dengan saya beberapa kali. November lalu beliau ke Angkasapuri. "Saja nak tengok pejabat lama," katanya sambil senyum lebar. Saya bawa beliau melihat kembali ruang pejabatnya di Tingkat 8 Angkasapuri yang dihuninya sebagai Menteri Penerangan hampir 15 tahun dalam tempoh dua kali perjawatan.

Saya bawa beliau tengok barisan gambar bekas Menteri Penerangan di ruang tamu. Dekat foto lamanya (lihat foto) Tok Mat berhenti sejenak. "Mudanya orang ni�" dia gelak sambil menunjuk kepada gambar beliau ketika jadi Menteri Penerangan dulu. "Masa tu bulat lagi," saya mencelah sambil disambut ketawa berdekah-dekah bersama pegawai yang hadir. Nama jolokan 'Mat Bulat', yang dipopularkan Dr Mahathir lekat kekal dengan Allahyarham. Beliau senang juga dengan nama tambahan itu.

Tok Mat, seperti penulis, pernah jadi Menteri Penerangan dua kali. Kali pertama bagi tempoh 1978-1982. Penulis dilantik ke jawatan itu oleh Dr Mahathir bagi tempoh 1984-1986. Kali kedua Tok Mat jadi Menteri Penerangan ialah 1987, selepas beliau menunaikan tanggungjawab selaku Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Bilik Menteri Penerangan itu macam dulu juga walaupun sudah satu dekad ditinggalkannya. Ayat Kursi di siling bilik itu masih seperti dulu malah almari buku dan rak perhiasannya tak berubah. Cuma kerusi tamu tidak jenis dulu lagi. "Banyak peristiwa kita di sini," beliau menghalakan pandangan ke pemandangan sekeliling jendela gelas pejabat Tingkat 8 itu. Saya lantas teringat kembali, di sinilah Tok Mat minta saya jadi Pengerusi Panel Penilai 1997, iaitu Jawatankuasa Penilaian Budaya Penyiaran yang ditubuhkannya pada tahun itu, selepas Parti Melayu Semangat 46 dibubarkan pada 1996.

Menurut Tok Mat di bilik Menteri Penerangan inilah beliau dan pegawai Kementerian Penerangan memeras otak bagaimana menjayakan kempen Setia Bersama Rakyat yang dipopularkan sebagai Semarak beberapa tahun selepas bubarnya Umno pada 1988 atas perintah mahkamah. Pada masa itu penulis bersama Datuk Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah), Datuk Shahrir Samad, Datuk Paduka Rahmah Osman, Datuk Zainal Abidin Zin dan lain-lain berada di dalam kumpulan atau Team B yang berlainan pendapat dan perjuangan dalam arena Umno.

"Di tempat you duduk tulah saya berhitung dengan banyak pihak bagaimana orang Melayu yang berpecah dalam Umno harus disatukan kembali." Tok Mat mengingatkan saya. "Dari sini jugalah saya panggil Datuk Seri yang masa tu buat PhD Law di London supaya kembali kepada Umno." Macam semalam saja rasanya ingatan beliau itu.

Terasa janggal juga mendengarkan ini semua lantaran peranan aktif saya dalam politik Parti Melayu Semangat 46 pada masa itu. Pada 1995 memang Tok Matlah antara yang berusaha gigih untuk membawa semula ahli Parti Melayu Semangat 46 ke pangkuan Umno atas dorongan Dr Mahathir dan persetujuan Tengku Razaleigh selepas Umno diharamkan pada 1988.

Wajar diakui, tanpa pengaruh dan bimbingan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn selaku penasihat utama Team B dan kemudian Parti Melayu Semangat 46, berkemungkinan pergerakan bangkangan parti itu tidak begitu jauh jangkauannya.

Pada perjumpaan Angkasapuri itu saya diminta Tok Mat supaya melancarkan buku sulungnya Umno: Berakhirnya Sebuah Impian, penulisan 170 muka yang banyak memuatkan peristiwa dan analisis politik perjuangan beliau dari 1965 hingga bersara 1999.

Datuk Nur Jazlan, anak sulung beliau yang menggantikannya sebagai Ahli Parlimen Pulai mengaturkan pelancaran buku itu dengan jayanya minggu kedua November 2009. Sebagai bekas Setiausaha Agung Umno dan BN yang paling lama berkhidmat, Tok Mat mempunyai banyak pengalaman yang boleh diteladani. Ketahanannya menerima cabaran ketika memimpin Pemuda, politik sukarnya di Johor di bawah bahang ketokohan Musa Hitam dan Allahyarham Osman Saat; sebagai Ahli Parlimen Pulai hampir 40 tahun dan perubahan nilai serta hala tuju yang banyak dibincangkannya dengan saya.

Beliau naik dari bawah bermula dari Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan Datuk Sardon Zubir (1965), Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan (1969-70), Timbalan Menteri Kewangan (1973-74), Timbalan Menteri Perdagangan (1975-1978), Menteri Penerangan (1978-1982). Jawatan ini disandang semula selepas berkhidmat sebentar sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia. Dr Mahathir meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Penerangan (1990-1999). Setakat ini rekod lama berkhidmat sebagai Menteri Penerangan memang dipegang beliau walaupun penulis juga merasa ke jawatan itu dua kali hingga kini.

Saya bangga dapat bertemu dan berceloteh dengan sahabat lama saya Tok Mat di Angkasapuri pada majlis pelancaran bukunya di Hotel Equatorial, November lalu dan pertemuan di Bangunan Sultan Abdul Samad sehari setengah sebelum beliau meninggal dunia dalam tidur. Umno banyak terhutang budi padanya.

Yang paling terpahat di benak saya ialah kata-kata Tok Mat: "Orang Melayu ni jam tak sedar diri. Hulu pisau bagi kat orang , kita pegang matanya. Parah." Dalam banyak-banyak cakapnya di bangunan warisan itu, inilah yang berulang kali menempelak pemikiran saya.

Selamat bersemadi di sisi Allah sahabatku. Jasamu dikenang.

(Renungan Rimau : Al-fatihah. Ketika saya bertemu Tok Mat di Hotel Equatorial, November lalu, soalan pertama ditanyanya ialah "Kamu dah kaya?". Berderau darah saya. Saya menjawab, "Tak. Saya akan begini jika terus bekerja. Yang penting bahagia.". Ketika meminta beliau menandatangani buku yang ditulisnya, saya bertanya kepada Tok Mat mengapa tanya saya dah kaya? "Yelah, kamu berniaga. Berniaga apa sekarang?" Saya menjawab, "Saya di RTM sebagai Ketua Pengarah". "Oh begitu. Baguslah. Buat yang terbaik." Rupanya, pertanyaan kaya beliau itu kerana menyangka saya kini masih berniaga. Bukan perkara lain. Minta dijauhkan.)

YANG SALAH SUDAH DIHADAPKAN

Kes kehilangan dua enjin pesawat TUDM bernilai lebih 100 juta ringgit.

Dua individu termasuk seorang anggota TUDM berpangkat sarjan dihadapkan ke mahkamah Sesyen Petaling Jaya pagi ini.

Sarjan N Tharmendran, 42 tahun, dituduh bersubahat dengan laskar udara kanan, Mohamad Shukri Mohamad Yusuf, melakukan kecurian dalam gudang material udara, matra 1,pangkalan udara TUDM, Sg Besi iaitu dua enjin pesawat.

Dia didakwa mengikut seksyen 380 kanun keseksaaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pengarah syarikat, K Rajandran Prasad pula dituduh dengan sengaja menolong menghapuskan harta curi iaitu 2 enjin pesawat f5-e.

Rajandran didakwa mengikut seksyen 414 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun dan boleh di kenakan denda jika di sabit kesalahan.

Hakim Aslam Zainuddin membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin 150 ribu ringgit setiap seorang dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Februari ini.

Ikuti Berita Nasional di RTM pada jam 8 malam ini.

Tuesday, January 5, 2010

SELALULAH UCAPKAN TERIMA KASIH

Posting Ketiga - 6.15 petang

Saya ucapkan terima kasih kepada jurulatih bolasepak negara yang menyatakan Sukan Terbaik Hanyalah di RTM.

Baginya, setakat ini RTM telah memberikan liputan terbaik untuk penontonnya.

Posting Kedua - 2.35 petang


Saya ucapkan terima kasih kepada polis kerana sudah menyiapkan siasatan berhubung kehilangan enjin kapalterbang .

Semalam AG berkata ia membabitkan hanya pegawai rendah saja.

Oleh itu, berita yang digembar-gemburkan selama ini membabitkan pegawai berpangkat satu bintang tidak betullah.

Ejen kenit memberitahu saya bahawa enjin tu sebenarnya bukanlah enjin baru. Mahu dilupuskan setelah cukup tahun. Pasti ia sudah dibuka daripada kapalterbang. Kalau tidak bayangkan terpaksa membukanya satu persatu.

Macam jual besi buruk sajalah agaknya. Tapi mahallah sedikit.

Posting Asal - 1.09 petang

Bilakah kali terakhir kita mengucapkan terima kasih?

Mengapa pula kita mengucapkan perkataan hikmat itu?

Bagi saya, perkataan terima kasih itu perlu diucapkan selalu terutama kepada pihak yang membantu kita. Tidak kira apa bentuk bantuan yang diberikan.

Jika jiran anda menghantar semangkuk lauk, kita ucapkan terima kasih.

Jika suami memberikan kita bunga, kita ucapkan terima kasih.

Begitu juga jika isteri membelikan kita minyak wangi, kita ucapkan terima kasih.

Jangan hanya senyum dan mengangguk. Ucaplah terima kasih.

Ucapan terima kasih adalah amalan nilai murni.

Terima kasih kerana membaca.

Monday, January 4, 2010

UTAMAKAN KEPENTINGAN RAKYAT

Terlalu banyak berpolitik keterlaluan mendatangkan kerugian. Ada yang berpolitik seperti budak-budak. Ada yang sanggup melakukan apa saja demi mencapai cita-cita mereka.

Tahun lalu dicemari dengan politik keterlaluan yang merugikan rakyat.

Untuk itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim mahu situasi itu tidak wajar dibiar berlarutan.

Amalan berpolitik jangan disalahguna kerana ia sepatutnya membawa kebaikan.

Bermula politik jalanan hingga ke Dewan Rakyat, menimbulkan pelbagai polemik politik yang tidak mendatangkan sebarang manfaat.

Paling mengecewakan, gagasan Satu Malaysia sejak diperkenal Perdana Menteri turut dipolitikkan secara keterlaluan oleh pihak yang cuba menggagalkan usaha murni kerajaan itu.

Pemimpin yang sebenar adalah pemimpin yang memelihara perjuangan untuk rakyat yang diwakili, bukan individu yang tersasar dari matlamat sebenar.

Ikuti Berita Nasional malam ini di TV1 jam 8 malam.