Thursday, April 14, 2011

JANGAN BAWA BUDAYA BURUK

Oleh Roslan Bian ( AgendaDaily )

Sayang Sarawak sungainya sempit,

Nakhoda kapal bersusah hati,

Pilihanraya Sarawak semakin sengit,

Pembangkang dan BN berkempen tak henti.

Jika lirik lagu Sayang Sarawak boleh diubah, pasti lirik di atas sesuai dan amat menarik bagi menggambarkan suasana pilihanraya negeri ke-10 itu.

Berbaki dua hari menjelang hari pengundian pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) dan pembangkang kini sudah di tahap gear empat dalam kempen masing-masing.

Segala modal dan strategi kempen hampir pasti digunakan sama ada oleh BN yang berusaha mengekalkan majoriti dua pertiga mahupun pembangkang yang kekal dengan misi bagi menafikan majoriti tersebut.

Seperti dijangka, pilihanraya ini amat sengit malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengakuinya pada Rabu.

Bagaimanapun, Pengerusi BN itu masih yakin, komponen BN mampu mempertahankan majoriti dua pertiga daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi sepenuhnya.

Pembangkang pula cuba gembar gembur mereka yakin konon dapat merampas sehingga 30 kerusi, berbanding sembilan yang dimenangi pada pilihanraya lalu.

Para pemerhati yang faham sangat mengenai rentak politik Sarawak menilai congak ikut mana sekalipun angka itu adalah mengarut.

Nampaknya setakat ini paling yakin ialah DAP yang bertanding 15 kerusi berbanding 49 kerusi oleh PKR manakala lima lagi PAS.

Jika memasang telinga di kem-kem pembangkang, mereka percaya DAP dapat 13 kerusi, PKR lapan dan PAS, dua kerusi.

Mereka dakwa jumlah 23 itu adalah jangkaan ‘paling sedikit’ .

Dalam perang saraf pilihanraya ada juga yang dakwa angka itu berubah kepada 28 atau 30 sekaligus akan menafikan majoriti dua pertiga BN.

Ini termasuk beberapa kerusi daripada 26 yang ditandingi SNAP yang buat keputusan tidak mahu bergabung dengan pembangkang setelah tidak capai persefahaman dalam pengagihan kerusi dengan PKR.

Perang saraf ini adalah sebagai usaha untuk menarik sokongan golongan atas pagar untuk menyokong DAP, PKR, PAS mahupun SNAP.

Strategi kempen pembangkang amat berbeza kerana sebelum ini mereka kerap menyatakan ‘tidak ada peluang menang’ demi raih simpati pengundi-pengundi bagi menyokong mereka.

Di pihak BN pula, kempen menarik golongan Cina yang dikatakan masih menolak BN giat dilakukan selain menjawab isu penentangan rakyat terhadap kepimpinan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri selama 30 tahun.

Tidak hairanlah, Najib ketika berkempen di Sadong Jaya mahu jentera BN tumpu perhatian mendapatkan sokongan pengundi di kawasan bandar yang dikatakan lebih memihak kepada pembangkang.

Isu sensitif seperti isu agama juga mencengkam BN dan pertemuan Najib dengan pemimpin Kristian pada petang Rabu dijangka menjernihkan suasa keruh berhubung isu itu.

Bagaimanapun di sebalik semua itu, BN melalui parti PBB yakin dapat memenangi kesemua 35 kerusi yang ditandingi.

Manakala SUPP pula bertanding 19 kerusi, PRS (9) dan SPDP (8) kerusi.

Tiga parti itu ini diharap menyumbangkan sekurang-kurangnya 17 kerusi lagi bagi membolehkan BN menang dua pertiga.

Sebenarnya, selain satu pilihanraya yang sukar dan sengit, baik BN mahupun pembangkang, masing-masing menanti ‘gelombang’ oleh lebih 900,000 pengundi pada 16 April.

Tandatanya yang semua orang menunggu jawapan adakah isu Taib yang paling rancak dimainkan pembangkang akan menjadi ‘perangkap‘ kepada BN atau tidak.

Di celah-celah berbagai-bagai spekulasi biasa semasa musim pilihanraya, kesungguhan Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terus menerus turun ke serata ceruk Sarawak sepanjang kempen 10 hari telah menjadi pendorong kepada jentera BN untuk memastikan majoriti dua pertiga tetap dalam gengaman. - 13/4/2011.

No comments: