Sunday, April 10, 2011

TURUN PADANG TEMUI RAKYAT

Oleh Ibrahim Yahaya

Portal berita Malaysian Insider hari ini menyiarkan berita bahawa kedatangan Perdana Menteri ke Sarawak untuk menjelajah seluruh Sarawak sebagai petanda jelas BN sudah merasai kehangatan kempen pilihan raya. Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dikatakan berada di sini untuk membantu BN bagi mengekalkan pemerintahan di Sarawak yang selama ini dianggap sebagai deposit tetap BN.

Menurut portal itu lagi, BN dilihat berhadapan dengan tekanan hebat daripada pembangkang khususnya di kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina di mana pengundi-pengundi dilihat sudah mula menerima agenda “undi untuk perubahan” yang dibawa pembangkang. Di Kuching, Sibu dan Miri, ceramah-ceramah kendalian DAP menarik ribuan hadirin - keadaan yang jarang dilihat di Sarawak di mana pengundi-pengundi lazimnya dianggap sebagai berhati-hati dan konservatif dalam menunjukkan sikap mereka.

Di pihak lain, PKR — satu lagi komponen PR, kelihatan yakin akan menerokai laluan lebih baik di sekurang-kurangnya 12 kerusi khususnya Batu Lintang, Saribas, Ba’kelalan, Layar, Krian, Opar, Bengoh, Tarat, Batang Ai, Engkilili, Senadin dan Batu Danau.

Laporan itu menyebut di sebalik taktik kempen pembangkang yang membadai kali ini, parti-parti Sarawak kelihatan memulakan kempen yang agak menjemukan dalam usaha mempertahankan pentadbiran negeri, menggunakan cara lama — mengadakan majlis bertemu rakyat yang formal dan pertemuan yang diserikan dengan kehadiran menteri-menteri persekutuan. Malah, kempen BN juga dikatakan dibayangi laporan dan dakwaan rasuah membabitkan TS Taib Mahmud — ketua menteri Sarawak paling lama memegang jawatan.

Laporan seumpama ini sudah tentu tidak menghairankan pembaca di seluruh negara. Laporan 'separuh benar' ini boleh merosakkan pemikiran masyarakat.

Pertama kedatangan PM ke Sarawak perlu dilihat bagaimana pemimpin tertinggi kerajaan turun padang untuk menemui rakyat. Ini bukan satu perkara yang pelik kerana sudah dibuat selama ini di seluruh negara. Apa salahnya PM turun padang bertemu rakyat? Kedua, dengan bertemu rakyat ini segala persoalan atau pertanyaan boleh dikemukakan terus kepada beliau ini secara langsung mengetepikan tuduhan atau tohmahan pembangkang yang sentiasa menaburkan perkara yang menguntungkan mereka. Ketiga, inilah masa yang paling baik bagi PM untuk turun menjelaskan apa yang akan berlaku kepada Sarawak pada masa hadapan termasuk peralihan pemerintahan daripada TS Taib Mahmud kepada pemimpin baru. Hanya PM saja yang mampu untuk menerangkan segala-galanya kerana beliau adalah pemimpin tertinggi BN yang mahu melihat rakyat di seluruh negara mendapat faedah daripada pemerintahan Kerajaan BN.

Selain itu, kedatangan rakyat ke ceramah pembangkang sebenarnya untuk mengetahui apa yang ingin 'dihamburkan' kali ini seperti juga ceramah yang mereka lakukan selama ini. Antara perkara yang menarik perhatian orang ramai sudah tentu usaha untuk 'memalukan' sesetengah pemimpin dengan mengatakan mereka sudah lama memerintah negeri ini. Pembangkang tidak sekali-kali menyatakan apa yang sudah dibuat oleh pemimpin itu demi untuk memajukan negara ini. Sudah tentu orang ramai ingin mengetahui 'rahsia' lain mengenai pemimpin BN. Mereka seterusnya menyatakan mempunyai bukti-bukti kukuh sebanyak beberapa kotak untuk mensabitkan pemimpin tertentu. Hakikatnya sehingga hari kiamat, bukti itu tidak ada malah kotak itu pun sudah hilang oleh tsunami yang melanda kehidupan mereka.

Gambaran bahawa kempen pembangkang mendapat perhatian manakala kempen BN tidak ramai perlu diperbetulkan. Ini adalah satu kenyataan rambang dan dilihat bertujuan untuk menidakkan kehadiran orang ramai di kempen BN. Sebenarnya mereka lupa bahawa dalam setiap pilihan raya termasuk pilihan raya kecil, ramai penduduk akan tertumpu di kempen pembangkang untuk mendengar apa yang ingin disampaikan dan seterusnya membuat keputusan mereka. Sudah tentulah mereka pun mengetahui apa yang sudah dilaksanakan oleh BN yang pasti akan disampaikan dalam kempen BN. Sudah pasti mereka akan ramai jika ada pemimpin BN yang membawa 1001 macam cerita mengenai pemimpin pembangkang. Namun, ini bukan strategi pemimpin BN untuk memburuk-burukkan pemimpin lawan tetapi menyatakan yang benar apa yang sudah dilakukan selama ini untuk Sarawak. Bagi yang menghadiri kempen BN yang dihadiri oleh bekas penyokong DSAI, mereka akan dapat melihat bilangannya ramai untuk mendengar cerita DSAI selama ini termasuk video seks yang dikaitkan dengan beliau baru-baru ini. Ini memaparkan kempen memburuk-burukkan pemimpin dan bercakap 'separuh benar' digemari masyarakat dan ia adalah perkembangan yang tidak sihat untuk negara.

Apa yang menarik ialah portal berita itu sudah mengetahui 'perjalanan' Perdana Menteri di negeri itu. Persoalannya daripada mana mereka mendapat maklumat ini sehinggakan lengkap dengan tempat yang ingin dilawati. Ini pelik kerana perjalanan PM adalah satu perkara rahsia demi keselamatan beliau.

Di bawah ini, dinyatakan 'perjalanan' PM dengan terperinci yang disiarkan oleh portal berita berkenaan.

DS Najib yang berada di sini Khamis lalu akan mengetuai kempen di Sarawak dengan jadual yang ketat mulai hari. Beliau dijadual akan berada di kawasan-kawasan yang dilihat panas seperti Kuching, Miri dan Sibu. Pengerusi BN ini akan tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuching di sini pada pukul 7.40 petang ini sebelum mengadakan pertemuan dengan para pemimpin di Majlis Perbandaran Kuching Selatan pada pukul 8.30 malam.

Esok, presiden Umno ini akan menghadiri majlis gotong-royong di Pasar Rakyat Stutong pada pukul 8.10 pagi sebelum bergerak ke Pekan Saratok di Betong, pukul 9.15 pagi dan kemudian menghadiri majlis bertemu rakyat di Masjid Kampung Beladin dan majlis seterusnya di Betong, Bandar Sri Aman dan Lubok Antu.

Najib akan kembali ke Kuching untuk menghadiri majlis makan malam 1 Malaysia dan kembali ke ibu negara pada pukul 10 malam.
Beliau akan kembali ke Kuching pada Selasa.

Rabu ini, Najib akan memulakan lawatan pada pukul 8.30 pagi di Engkili dan disusuli dengan kunjungan ke Sebuyau, Sadong Jaya, bandar Bau di Tasik Biru, KMC Flats di Kuching, dan menghadiri solat dan makan malam di Masjid Darul Farhanah dan kemudian menghadiri majlis Lembaga Pembangunan 1 Malaysia di SK Merpati Jepang sebelum bertolak ke Miri pada pukul 10 malam.

Keesokan hari, Najib akan melancarkan klinik bergerak bot 1 Malaysia di Sungai Baram, Marudi seawal 8.15 pagi dan kemudian bergerak ke Bario, Ba’Kelalan, Lawas, Limbang dan menghadiri majlis makan malam di Dewan Dato Permaisuri, Permyjaya di Miri dan seterusnya terbang ke Sibu pada pukul 10 malam. Sehari sebelum pengundian, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan penduduk Kapit pada pukul 9.30 pagi dan kemudian menyertai majlis di Masjid Nurul Islam, Song.

Pelbagai persoalan boleh dikemukakan hasil daripada penulisan 'perjalanan PM' di portal berkenaan. Bagaimana portal berita ini mengetahui jadual PM dengan begitu terperinci? Siapakah yang menyerahkan maklumat perjalanan itu? Adakah dengan melaporkan secara terperinci perjalanan PM akan membantu meramaikan orang?

No comments: