Wednesday, April 13, 2011

JANGAN PERANGKAP SAYA....

Oleh Roslan Bian ( AgendaDaily )

Jika pembangkang ingat boleh gertak atau desak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud supaya segera lepaskan jawatan Ketua Menteri dan tidak bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak, lupakan sahaja acah-acah seumpama itu.

Senang kata, Taib bukan anak kecil yang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP serta PAS boleh ‘gigit’ walaupun tempoh 30 tahun Taib jadi Ketua Menteri modal besar pembangkang dalam kempen mereka di bumi Kenyalang ketika ini.

Taib sendiri sedar perangkap yang dipasang pembangkang dan beliau tidak mudah makan umpannya.

Ketika diasak wartawan untuk mendapatkan komen berhubung isu itu, Taib yang bertanding mempertahankan kerusi di DUN Balingian berkata, beliau juga tidak akan tunduk desakan seumpama itu.

“ Pembangkang tidak boleh perangkap saya. Kita bukan bodoh . Kita akan lakukan dengan cara yang betul,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri satu majlis di sebuah hotel di Kuching.

Malah, ramai wartawan kecewa kerana Taib terus tutup mulut dan beredar tanpa mahu memberi ruang soalan-soalan lain diajukan kepadanya.

Bukan rahsia lagi setelah beliau mengumumkan pelan peralihan kuasa selepas pilihan raya negeri ke 10 bahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga beri jaminan mengenai proses pertukaran pucuk pimpinan Sarawak.

Bagaimanapun, apabila Taib dalam ucapan di Konsert 1 Malaysia di Padang Bandaran Kuching malam tadi menyatakan akan melepaskan jawatan itu ‘beberapa tahun’ lagi, ramai wartawan memburunya pagi ini untuk dapatkan komen lanjut.

Apapun, Taib yang berjumpa dengan sekumpulan media awal pagi tadi juga tidak menyatakan bila akan melepaskan jawatan.

Ada sumber menyatakan kepada Agendadaily, beliau mungkin berbuat demikian pada pertengahan penggal DUN Sarawak iaitu sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

Ini bagi membolehkan beliau memastikan penggantinya kelak dapat meneruskan pembangunan Sarawak.

Agendadaily difahamkan, Taib sudah memutuskan siapa penggantinya dikalangan pemimpin PBB yang seangkatan dengan beliau.

Antara nama yang disebut-sebut adalah Tan Sri Adnan Satem yang bertanding di DUN Tanjong Datu, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan (DUN Bukit Sari) dan Datuk Amar Zohari Tun Abang Openg yang mempertahankan kerusia DUN Satok.

Ketika banyak pihak berteka taki siapa antara mereka bertiga, Taib dalam pertemuan itu membayangkan penggantinya sudahpun dikenalpasti dan berada dalam saf pimpinan beliau.

Pemimpin itu berusia 50 hingga 60 tahun, tidak pernah menentangnya dan paling muda dalam kepimpinan yang seangkatan dengannya.

Malah, pengganti tersebut khabarnya sudah mendapat sokongan pemimpin lain dalam PBB dan komponen BN di Sarawak.

Justru itu, pembangkang tidak perlu bimbang Taib tidak mengotakan katanya untuk melepaskan jawatan cuma kini BN perlu kekal dua pertiga di Sarawak dan masa akan menentukan siapa bakal menduduki kerusi Ketua Menteri Sarawak kelak.-12/4/2011.

No comments: