Friday, April 8, 2011

TV-i UNTUK REMAJA

Oleh Ibrahim Yahaya

Pelancaran TV-I Ahad ini adalah manifestasi kesungguhan KPKK khasnya RTM untuk mendekati golongan remaja yang sudah mula tertumpu ke stesen lain yang menyajikan program remaja yang digemari mereka. Usaha untuk menyediakan saluran untuk remaja ini bermula apabila Menteri KPKK, DSU Dr Rais Yatim meminta RTM pada tahun lalu agar melihat kesan kepada saluran Muzik Aktif yang disiarkan di Saluran 180 Astro. Daripada kajian dijalankan saluran itu mula mendapat sambutan baik daripada generasi muda namun usaha untuk menyediakan pelbagai maklumat selain muzik perlu diadakan sejajar dengan peranan KPKK dan RTM untuk menyebarkan program dan dasar kerajaan yang bermanfaat untuk rakyat. Antaranya ialah Gagasan 1Malaysia, mencegah jenayah, budi bahasa, nilai murni dan memartabatkan bahasa Kebangsaan,

Pelancaran Muzik Aktif pada 16 Mac 2009 oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebenarnya bertujuan untuk menyediakan sumber tenaga ke arah Program Pendigitalan RTM yang akan dimulakan pada 2012. Apabila bermulanya program itu, sebanyak 18 saluran baru akan disediakan dan RTM akan mengambil 7 saluran termasuk 1 saluran HD. Saluran lain akan digunakan oleh pemain utama penyiaran iaitu dari Kumpulan Media Prima atau syarikat telekomunikasi yang berminat untuk memiliki satu saluran. Hub penyiaran tv digital ini sudah tentulah ditadbirkan oleh sebuah organisasi yang berkecuali atau neutral untuk melihat kepada kandungan bahan yang akan disiarkan. Menuju ke arah itu, RTM memulakan saluran Muzik Aktif untuk memastikan apabila program itu dilaksanakan sumber tenaga mencukupi dan yang penting ia terlatih untuk melaksanakannya.

Saluran 180 mendapat sambutan remaja dan golongan yang gemarkan muzik di mana kita boleh melihat bagaimana gerai dan restoran membuka Saluran Muzik Aktif untuk menonton video klip penyanyi tempatan termasuk dari Sabah dan Sarawak. Setelah hampir dua tahun dilaksanakan maka kementerian merasakan bahawa perlu dilihat bagaimana saluran itu boleh digunakan untuk mendekati remaja. Beberapa program remaja disediakan bermula akhir tahun lalu dan kini berita yang dikenali sebagai I-U sudah mula disiarkan. I-U dipersembahkan dalam bentuk yang lebih santai di mana dua penyampai akan menyampaikan pelbagai berita dalam keadaan 'berdiri' sambil berbual mengenai topik-topik menarik. Ini sudah tentu berbeza dengan penyampaian saluran RTM yang lain di mana dilihat begitu formal dan serius.

Selain itu, sempena sambutan ulangtahun ke 50 Orkestra RTM, pelbagai program hiburan diadakan termasuk Program Flash Mob dan persembahan di stesen LRT. Program hiburan ini dibuat begitu santai membabitkan pemain muzik dan penyanyi yang mengadakan persembahan di stesen LRT sekitar Lembah Klang. Program ini mendapat sambutan baik di mana orang ramai terhibur dengan persembahan yang diadakan secara santai di samping memberi peluang kepada masyarakat mendekati penyanyi tempatan seperti Alyah, Sarah dan Anna Rafali. Flash Mob pula membabitkan penyertaan pelajar yang bermain pelbagai peralatan muzik di sekolah untuk mengadakan persembahan bersahaja di kompleks beli-belah di mana ia boleh dinikmati oleh pengunjung di situ.

Oleh itu, pelancaran TV-I ini diharapkan akan dapat menarik lebih ramai penonton remaja melihatnya selain menikmati pelbagai program termasuk hiburan dan muzik. Banyak program sudah dirancang untuk disiarkan dalam TV-I termasuk program membabitkan masyarakat di Sabah dan Sarawak. Ia juga memberi ruang kepada karyawan yang terbabit dalam penerbitan video klip untuk berkarya dengan lebih baik di samping memberi peluang kepada karyawan tempatan menjual program bagi golongan remaja ke TV-I. Apa yang lebih menarik pelancarannya akan diadakan di RTM Sarawak sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 10 selain perlantikan Ketua Pengarah RTM yang baru dari Sarawak iaitu Datuk Norhyati Ismail. Tahniah kepada KPKK dan RTM.

No comments: