Saturday, April 9, 2011

KADAR PREMIUM TANAH TERENDAH

MENJAMIN hak rakyat Sarawak terhadap tanah mereka dan kadar premium tanah terendah terus terpelihara, adalah antara janji Barisan Nasional (BN) dalam Manifesto bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 yang dilancarkan di sini, semalam.

Manifesto bertemakan ‘Jaminkan Masa Hadapan Anda Dengan BN’ itu menggariskan sembilan teras utama dalam usaha untuk mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya negeri pada 16 April ini, dengan slogan ‘Rakyat Makmur Kehidupan Selesa Negeri Aman’. Pelancaran manifesto itu dilancarkan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada satu majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan MUC, di Sibu, Khamis lalu.

Abdul Taib berkata, manifesto dalam bahasa Melayu, Iban, Cina dan Inggeris itu jelas serta mudah untuk difahami kerana BN mempunyai rekod baik dan jentera tersusun untuk melaksanakan transformasi untuk negeri ini.

“Tidak ada pihak lain yang dapat melakukan seperti yang dilakukan oleh BN selama ini dan inilah janji yang kami mahu teruskan,” katanya.

Berdasarkan manifesto itu dan bertepatan dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, BN Sarawak berjanji untuk meningkatkan kualiti hidup golongan miskin dan kurang bernasib baik serta memastikan mutu jalan raya, bekalan air dan elektrik, khidmat kesihatan dan perumahan sentiasa dipertingkatkan, selain perancangan jelas untuk memastikan Sarawak muncul negeri terkaya di Malaysia.

Bagi tanah NCR yang dijadikan isu oleh pembangkang, ia menyatakan bahawa BN komited untuk melaksanakan pendaftaran 1.5 juta hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dalam Sistem Pendaftaran Tanah.

Kerajaan BN juga memberi jaminan akan meneruskan pengukuran keliling tanah NCR dalam mengatasi kebimbangan pemilik tanah terbabit.

Setakat ini, seluas 499,625.93 hektar kawasan sudah diluluskan bagi pelaksanaan Konsep Baru Pembangunan Tanah NCR dan 15,442 pemilik tanah bakal mendapat manfaat.

Manifesto berkenaan turut mendedahkan fakta betapa kerajaan BN sentiasa berusaha memberikan keselesaan dan tidak membebankan rakyat, dengan rakyat Sarawak menikmati kadar premium pembaharuan tempoh surat hak milik terendah di Malaysia.

Malah, secara perbandingan penduduk di negeri yang diperintah pembangkang, terpaksa membayar kadar premium sehingga 41 kali ganda lebih tinggi, turut dimuatkan dalam manifesto berkenaan.

Selain menjamin hak rakyat ke atas tanah mereka, BN turut memberi jaminan akan terus memelihara keamanan, keharmonian, kestabilan dan tadbir urus baik untuk Sarawak; memelihara alam sekitar, budaya, warisan dan kepercayaan semua kaum; menyedia peluang pekerjaan untuk semua dan menyediakan peluang pendidikan sempurna bagi anak negeri ini. (Sumber : 1Sarawak.com.my)

No comments: