Thursday, April 7, 2011

PRN SARAWAK KE 10 (2)

Oleh Ibrahim Yahaya

Menang? Menang. Berapa kerusi? Adalah..mungkin macam dulu atau bertambah. Kalah? Kalah. Berapa kerusi? Adalah...ia bergantung kepada apa yang berlaku dalam 10 hari ini. Pelbagai soalan, pelbagai jawapan. Berapa kerusi yang akan dimenangi oleh BN? Berapa kerusi pula yang akan dimenangi oleh pembangkang? Persoalan sekarang daripada 71 kerusi itu, berapa yang akan dimenangi oleh BN. Soalan seterusnya adakah BN akan mendapat majoriti dua pertiga.

Jika ditanya pemimpin BN, sudah tentu mereka yakin bahawa BN akan tetap mendapat majoriti dua pertiga. Berapa? Sudah tentulah yang paling minimum iaitu 48 kerusi. Yang paling tinggi...cakap betul-betul? Boleh mencapai 63 kerusi. Yakin? Aukk. Jika BN mendapat 63 kerusi maka pembangkang pula akan mendapat 8 kerusi. Macam sekarang? Tak tahulah. Dua pertiga melambangkan pelbagai perkara dan signal. Dua pertiga juga membolehkan segala yang dirancang boleh dilaksanakan jika diadakan undian di DUN. Hakikatnya, BN mahu dua pertiga selepas mendapat mandat daripada rakyat.

Bagi pembangkang, mereka yakin jumlah kerusi yang akan dimenangi akan bertambah. Berapa rasanya....mungkin beberapa kerusi lagi. Berapa? Mungkin empat..lima kerusi? Atau sekali ganda....15 atau 16 kerusi. Persoalannya...Apa alasan rakyat mengundi pembangkang? Apakah politik pembangunan yang dibawa oleh BN tidak laku di negeri ini? Ataupun, rakyat mahu perkara lain termasuk kepemimpinan. KM Sarawak sudah menyatakan akan berundur selepas PRN Sarawak ini. Jadi..bagaimana? Ini persoalan yang perlu dilihat oleh BN bagi memastikan bahawa ada jalan penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan oleh rakyat terutama di bawah. Inilah yang perlu dijawab dalam Manifesto BN yang akan diumumkan oleh KM di Sibu pada 2.30 petang ini.

Antara perkara yang selalu dibangkitkan ialah mengenai isu rasuah, NCR dan juga peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat dan usahawan. Sudah pasti isu itu akan dijawab dalam manifesto BN pada petang ini di samping idea baru yang dapat membantu melestarikan kehidupan rakyat pada masa akan datang. Isu tanah yang sering dibangkitkan oleh pembangkang terutama dengan memainkan isu sensitif yang membuat ada kumpulan yang tidak puas hati perlu ditangani dengan baik. Jaminan kerajaan negeri sejak sekian lama perlu diperkukuhkan lagi terutama dengan memberikan pemahaman kepada rakyat bahawa nasib mereka akan dibela.

Di bidang pekerjaan, rakyat sudah tentu mengharapkan kerajaan negeri menyediakan pekerjaan kepada mereka, terutama anak-anak lepasan sekolah dan universiti. Dengan harga barang yang berbeza dengan 10 tahun lalu, rakyat sudah tentu mahu kerajaan negeri membantu mereka dalam menyediakan pekerjaan. Usaha memperkenalkan SCORE yang menjanjikan pekerjaan dan perniagaan sudah tentu disokong oleh rakyat terutama golongan usahawan. Ini perlu dipamerkan agar keikhlasan untuk melihat rakyat mampu hidup mengharungi pelbagai cabaran pada masa akan datang dirasai dan dijiwai.

No comments: